
Oleh SITI SARAH NURUL LIYANA
PENGGERA telefon bimbit berbunyi pada pukul 6 pagi, menandakan waktu untuk Intan (bukan nama sebenar) bersiap ke tempat kerja.
Pekerja swasta yang tinggal keseorangan di sebuah rumah studio itu terkejut, apabila baju teddy bear (patung beruang) miliknya berada di sisinya ketika dia bangun tidur.

Seingat Intan, baju patung beruang berwarna merah itu tidak pernah dibuka dan dibasuh sejak sekian lama.
Sebelum ini, teddy bear pemberian bekas teman lelakinya tidak pernah dialih dan masih terjaga rapi di depan kabinet televisyen.
Intan yang berpisah secara baik dengan teman lelakinya itu mahu menyimpan patung tersebut kerana ia menyimpan seribu satu memori indah.

Pelik betul, macam mana baju ni boleh ada di sini. Siapa pula yang gatal tangan tanggalkan baju patung ni?” getusnya dalam hati.
Enggan terlalu memikirkan soal itu, Intan memasang semula baju teddy bear tersebut sebelum segera bergerak ke pejabat.

Ketika pulang ke rumah pada waktu senja, Intan sekali lagi terkejut melihat pakaian teddy bear tersebut kembali tertanggal dan kini kedudukan patung kesayangannya itu beralih arah.

Tanpa memikir panjang, Intan segera memasukkan teddy bear tersebut di dalam plastik besar dan membuangnya di dalam tong sampah di luar rumahnya.

Namun ketika Intan selesai menunaikan solat maghrib dan sedang bersiap sedia untuk membaca al-Quran, tiba-tiba dia terdengar sayup-sayup suara ‘orang’ menangis di tepi tingkap rumahnya.
Suara menangis itu berlarutan sehingga kira-kira 10 minit.

Intan yang ketakutan cuba untuk tidak mengendahkan perkara itu dan meneruskan aktiviti membaca al-Quran meskipun tergagap-gagap.
“‘Benda’ tu sedih ke aku buang dia? Minta maaflah aku bukan tak sayang teddy bear tu tapi aku terpaksa buang, elak mudarat dekat aku kemudian hari,” katanya dalam hati.

Selepas selesai membaca Al-Quran, Intan segera menghubungi rakan sekerjanya, Zikry (bukan nama sebenar) untuk berkongsi dilema yang dialami.
Menganggap Intan sebagai teman baiknya selain mempunyai serba sedikit tentang pengetahuan agama, Zikry menasihati Intan supaya membakar teddy bear tersebut meskipun sudah terlalu sayang.

Setahu aku, apa-apa sahaja barangan yang mempunyai cukup sifat seperti manusia sudah tentu akan ada ‘benda’ (makhluk halus) yang berminat untuk menginap di dalamnya.
“Lagi pun, patung itu sudah lama terletak di situ. Aku rasa lebih baik kau hapuskan. Risau ‘benda’ tu tersuka dekat kau,” kata Zikry.

Dengan segera, Intan mengambil semula patung kesayangannya itu dan membakarnya.
Semenjak itu, tiada lagi gangguan serupa mengganggunya.
Intan juga tidak berani lagi untuk menyimpan sebarang patung di dalam rumahnya.
