
Sejak kecil wanita itu tidak pernah bertemu dengan neneknya memandangkan mereka duduk berjauhan dipisahkan Laut China Selatan.
Malah, ibunya juga jarang bercerita tentang nenek walaupun pernah beberapa kali dia bertanya tentangnya.
Oleh kerana itu, wanita asal Kuala Lumpur, Arisa (bukan nama sebenar) tidak pernah mengambil tahu tentang neneknya sehingga pada suatu hari keluarga dimaklumkan bahawa dia sudah meninggal dunia.
“Ketika itu saya masih di tingkatan lima dan sekitar bulan Mac, ketika di rumah, ibu mendapat panggilan telefon dari seorang lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai Pak Su.

Selepas panggilan tamat, ibu terus bergegas ke ayah dan tidak lama kemudian menyuruh saya dan adik-adik berkemas untuk pulang ke kampung di Sarawak kerana nenek sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Panorama baru-baru ini.
Tambahnya lagi, perjalanan pulangnyq pada hari itu dipermudahkan meskipun semuanya termasuk pembelian tiket dilakukan pada minit terakhir.
Ini juga merupakan kali pertama Anisa pulang ke kampung nenek di sebelah ibu dan perjalanan memakan masa hampir sehari kerana perlu menempuh perjalanan sehingga empat jam di jalan selepas tiba di Sarawak kemudian melintas sungai menaiki bot.

Setelah tiba di kawasan kampung, suasana di sana agak sepi memandangkan hari sudah malam dan penduduk sudah ada di dalam rumah masing-masing.
Apabila sampai di rumah nenek, mereka disambut oleh Pak Su yang datang memeluk ibu sambil menangis.

Kami dibawa melihat jenazah nenek yang masih belum dikebumikan kerana nenek pernah berpesan jika dia meninggal dunia, jasadnya boleh ditanam selepas ibu pulang menziarah terlebih dahulu,” ujarnya yang merupakan satu-satunya anak perempuan daripada tiga beradik.
Awalnya keadaan baik-baik sahaja, namun selepas Anisa melihat jenazah nenek buat pertama kali dirinya merasa tidak sedap hati.
Malah, ketika sedang mencium jenazah nenek dia turut merasa seolah ada suara yang berbisik di telinganya namun perkataan yang disebut tidak jelas kedengaran.

Dalam keadaan pengebumian sedang diuruskan, Anisa tidak memberitahu apa yang terjadi kepada dirinya dan membiarkan ia sahaja.
Keadaan menjadi lebih aneh ketika pengebumian yang mana Anisa sering melihat kelibat wanita tua yang melihatnya dari jauh.

Selepas selesai pengebumian, Anisa dan keluarga memilih untuk menetap sehari lagi untuk membantu menguruskan majlis tahlil.
Awalnya semua berjalan lancar, namun begitu, ketika waktu senja dek kerana penat Anisa terlelap sebentar di bilik neneknya yang mana ketika itu dia membantu mengemasnya.

“Ketika itu, apa yang saya ada bermimpi ketika tidur, didatangi seorang wanita tua yang mirip arwah nenek.

“Wanita itu seolah menunjukkan sesuatu di almari yang mana terdapat sebuah kotak kayu yang terletak di dalam laci,” ceritanya.

Kongsinya lagi, selepas terjaga, dia terus ke almari tersebut dan menemukan kotak kayu berkenaan dan selepas dibuka terdapat sebuah keris lama dan kertas dengan tulisan jawi.

Anisa yang ingin tahu tentang kedua barangan tersebut telah membuka keris berkenaan dan membaca tulisan tersebut.
Selepas itu keadaan seperti kabur dan dia tidak ingat apa yang berlaku, namun menurut cerita ibunya, dia mendengar Anisa mula meracau seolah diserang histeria.

Ibu bercerita saya meracau dengan suara yang berbeza, sekejap tergelak, menangis, dan menjerit-jerit.
“Orang ramai mula menahan saya daripada meronta-ronta kemudian Pak Su membawa seorang ustaz datang mengubati saya,” kongsinya.

Keadaan agak kecoh ketika itu, ketika ustaz bertanya tentang siapa makhluk di dalam badan Anisa, ia menjawab bahawa dirinya adalah nenek.
Namun selepas di asak dengan bacaan ayat suci al-Quran, makhluk itu kemudian mengaku bahawa ia adalah pendamping nenek.

Katanya dia mencari pengganti memandangkan tiada waris sah termasuk ibu yang mahu mewarisinya.
Mengetahui hal itu, ustaz kemudian mengeluarkan makhluk tersebut dari badan Anisa dan mengurung makhluk itu dalam sebuah balang kaca yang kemudian ditutup dengan kain putih.

Saya tersedar selepas semuanya selesai, kepala saya berasa berat dan badan sakit-sakit.
“Saya bertanya apa yang berlaku kepada ibu dan kemudian dia menceritakan segala-galanya termasuk kenapa dia jarang mahu pulang bertemu nenek,” katanya lagi.

Selepas insiden itu, tiada lagi suara bisikan dan kelibat nenek tua yang dirasakan oleh Anisa.
Dan makhluk yang dikurung tersebut sudah ditanam di dalam tanah agar ia tidak datang menganggu lagi.
