Oleh GHAZALI ALIAS
SEJAK kecil, pemuda itu sentiasa melihat datuknya mengubati orang kampung yang datang ke rumah untuk mendapatkan rawatan tradisional.
Hal itu membuatkan dirinya tertarik untuk belajar tentang ilmu tersebut supaya satu hari nanti dia boleh membantu mereka yang didalam kesusahan.
Namun, menurut jejaka asal Seri Menanti, Negeri Sembilan, Aziz ( bukan nama sebenar), dia tidak pernah menyangka untuk belajar ilmu tersebut ada banyak persyaratan yang perlu dipatuhinya.
“Keluarga saya menetap di kampung dan datuk tinggal hanya di sebelah rumah, oleh sebab itu saya selalu pergi ke rumahnya.
“Memang di kampung, atuk merupakan seorang dukun yang mewarisi ilmu perubatan tersebut sejak turun-temurun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Tambah bapa kepada dua cahaya mata itu, sebagai cucu sulung sejak kecil dia sering mengikut datuknya mencari akar kayu untuk dibuat ubat dan juga menyiapkan barang-barang yang diperlukan semasa berubat.
Katanya lagi, sepanjang dia membesar dia memang terdedah dengan persekitaran perubatan tradisional, malah semasa di usia belasan tahun dia sudah belajar cara mengurut orang daripada datuknya.
Bagaimanapun, pada masa itu pemuda berketurunan Minangkabau itu tidak pernah memahami sepenuhnya sisi mistik disebalik seni perubatan yang diamalkan oleh datuknya itu.

Saya pernah diberitahu bahawa keturunan atuk mempunyai saka keturunan warisan salah silah keluarganya yang berasal dari Padang, Indonesia.
“Tetapi ketika itu saya hanya dimaklumkan bahawa saka itu merupakan saka harimau putih yang kononya tidak mempunyai sebarang sisi gelap atau sangkut paut pemujaan,” ujarnya.
Kongsinya lagi, dia megetahui hal tersebut juga daripada perbualan-perbualan saudara mara apabila mereka berkumpul di kampung.
Oleh kerana itu, Aziz tidak meletakkan rasa sangsi terhadap amalan perubatan yang diamalkan datuknya, malah berminat untuk belajar.
Namun, apabila semakin dewasa dan banyak perkara yang dia ketahui, timbul beberapa hal yang menimbulkan keraguan terhadap amalan datuknya itu.
Kata Aziz, ada beberapa rutin datuknya yang dilihat terpesong seperti menyediakan makanan sedulang setiap kali malam Jumaat untuk diletakkan di bawah rumah, mengasaplan keris dengan asap kemenyan dan lain-lain lagi.
“Saya cuba tanya kepada datuk tentang apa sebenarnya saka tersebut, namun dia sering mengelak untuk menjawab dan berkata suatu hari saya akan tahu sendiri.
“Ada ketika datuk akan keluar ke hutan sendiri dan pulang keesokkannya yang membuatkan saya tertanya-tanya tentang apa yang dia lakukan,” jelasnya.

Pertanyaaan Aziz itu akhirnya terjawab pada saat datuknya sudah uzur, ketika itu dia susah menenetap di Kuala Lumpur dan bekerja di sana.
Pada masa datuknya sudah sakit, dia sering bertanyakan Aziz dan mahu berjumpanya, namun dia tidak dapat sering pulang kerana kesibukkan kerja.
Apabila datuknya semakin uzur, ketika itu dia semakin kerap mahu berjumpa Aziz hingga pada satu hari dia berkeras mahu cucunya pulang.
“Saya pulang ke kampung dan berjumpa datuk dan alangkah terkejutnya melihat keadaannya yang sedang sekarat.
“Datuk memanggil saya duduk di sebelahnya dan mengatakan bahawa dia mahu mewarisi sakanya kepada saya,” katanya.
Namun begitu, Aziz berat hati untuk menerima, malah bapanya juga tidak setuju supaya dia mengambil saka itu.
Malah, bapanya juga menceritakan bahawa sebenarnya atuknya mewarisi saka harimau merah berantai yang diketahui merupakan amalan syirik.
Melihat keadaan datuk yang semakin meneruk kerana belum dapat melepaskan saka kepada waris, Aziz kemudian memanggil seorang imam.
“Semasa imam datang, saya terkejut kerana menurutnya datuk sudah lama meninggal dan badannya hanya dihuni oleh jin saka miliknya.
“Pada hari itu imam mengubati datuk, badannya diletakkan di atas tanah selama sehari kemudian atap diatas katilnyab perlu dibuka,” ujarnya.
Selepas tiga hari dirawat oleh imam, akhirnya saka itu berjaya dilepaskan dan datuknya telah pergi untuk selamanya.
Kata Aziz melihat perkara itu dia bersyukur kerana tidak menerima saka tersebut dan berharap tiada lagi pewaris yang mengamalkannya.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI