MMToon

TERPERANGKAP DENGAN HANTU LIF

Oleh SITI SARAH NURUL LIYANA

SABTU itu, Maya (bukan nama sebenar) perlu masuk ke pejabat untuk mengambil dokumen-dokumen yang perlu dibaca dan ditandatanganinya.

 

Ketika Maya melangkah masuk ke lobi pejabat, keadaan sunyi sepi dan hanya ada seorang pengawal keselamatan sedang duduk di tepi pintu masuk.

Nombor lif menunjukkan ia kini berada di tingkat lima, Maya menekan nombor butang ke atas sambil membelek-belek telefon bimbitnya.

Ketika pintu lif terbuka, wanita berusia 45 tahun itu terasa seperti terdapat angin kuat bertiup kencang seakan-akan menolaknya ke dalam lif.

Ujar Maya, dia menyangkakan angin kuat tersebut sebenarnya angin dari luar kerana ketika itu cuaca sedang mendung.

 

“Sewaktu saya melangkah masuk ke pejabat, cuaca memang mendung. Jadi saya tak fikir sangat bila tiba-tiba ada angin kencang.

 

“Cuma bulu roma saya naik sekejap sebab rasa dia memang kuat. Seakan-akan ada yang tolak saya pula,”katanya pada Panorama.

Wanita yang memegang jawatan sebagai ketua pegawai operasi itu mula menekan panel nombor 10 dan lif mula bergerak ke atas.

 

Tapi anehnya, lif tidak berhenti di tingkat 10, malah terus naik tingkat demi tingkat sehingga melepasi tingkat atas bangunan.

Dengan kebingungan, Maya menekan butang tingkat 10 sekali lagi, tetapi nombor di dalam lif tetap terus naik ke tingkat yang tidak wujud.

 

Jelas wanita kacukan Cina-Melayu itu, nadinya berdegup kencang dan dia cuba untuk menghubungi orang luar tetapi telefonnya tidak ada perkhidmatan.

 

“Saya dah mula diserang rasa cemas. Saya terasa macam ada makhluk hitam sedang pandang saya dari satu sudut atas lif.

“Saya duduk mencangkung dan menangis sambil membaca surah-surah yang terbit di fikiran saya. Mata saya ditutup rapat-rapat,” katanya.

Tiba-tiba lif berhenti dan pintu lif terbuka, Maya yang berada dalam keadaan takut melihat menggunakan mata ekor matanya.

 

Keadaan di luar lif seakan-akan berada di bahagian pakir kereta yang gelap gelita.


Sekali lagi, angin kuat bagaikan menolak badan Maya, tetapi kali ini dia hanya mengeraskan diri sambil membaca lagi ayat suci Al-quran.

 

Setelah angin lalu, pintu lif kembali tertutup dan pergerakan lif kembali ke bawah menuju ke tingkat 10.

 

Enggan fikir tentang kerjanya, Maya segera menekan tingkat lobi agar dia boleh keluar daripada lif dengan segera.

 

“Sewaktu saya sampai di lobi, saya segera berlari pergi ke kereta dan saya dapati pengawal keselamatan sudah tidak ada.

“Ketika mengadu dengan rakan saya, baru saya tahu tiada pegawal keselamatan yang bertugas hari minggu.

 

“Terkejut saya mendengarnya. Sehingga hari ini, saya tidak akan datang pejabat pada hari minggu lagi,” ujarnya.

 

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Imej janaan AI

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!