MMToon

HARIMAU PENUNGGU RUMAH USANG DI PINGGIR HUTAN

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

SEBELUM seseorang tokoh mahu pun selebriti dikenali kerana kejayaan mereka dalam sesuatu bidang,sudah pasti terdapat peristiwa yang melatari perjalanan hidup mereka menuju ke puncak.

Kita pernah mendengar cerita,usahawan berjaya bertaraf jutawan yang mula berniaga di pasar malam dengan untung puluhan ringgit dan kini mempunyai empayar perniagaan bernilai jutaan ringgit.

Kisah Mitos kali ini diceritakan oleh seorang kenalan yang kini hidup agak selesa sebagai usahawan walaupun tidak lagi bergelar jutawan.

Menurut Azman Mat,38,beliau berasal dari sebuah negeri di utara dan dilahirkan dalam keluarga yang susah.

“Bapa saya hanya bekerja kampung sahaja dan sering berpindah-randah disebabkan mendapat pekerjaan baharu mengusahakan kebun milik orang di serata negeri kelahiran saya.

“Saya ada enam adik-beradik yang mana saya anak kedua.Ibu saya seorang ibu penyayang dan setia mengikut ayah merantau mencari kerja,”katanya ketika ditemui di Banting baru-baru ini.

Azman berkata,kisah misteri yang ingin dia kongsikan berlaku kira-kira 25 tahun lalu,semasa ayahnya mendapat kerja mengusahakan kebun sayur dan ditugaskan menjaganya di kawasan pinggir hutan.

Katanya lagi,pemilik tanah seorang yang baik hati,memberi kemudahan tempat tinggal di pinggir hutan tersebut untuk kami sekeluarga berteduh.

“Rumah papan dua tingkat itu masih berdiri kukuh.Terdapat perabot lama seperti almari,katil dan pinggan mangkuk antik.

Namun ada satu syarat pelik yang diberi oleh pemilik tanah.Kami dilarang naik atau tidur di tingkat atas rumah yang bersaiz sederhana besar tersebut, “katanya.”

Walaupun tertanya-tanya mengapa kami sekeluarga dilarang naik ke tingkat atas rumah itu jelas Azman, ayahnya akur dengan syarat tersebut demi memastikan anak dan isteri tercinta tinggal di rumah yang selesa.

Dipendekkan kisah, dua minggu pertama katanya lagi,rumah tidak bercat yang lengkap dengan bekalan air bersih dan tenaga elektrik itu tidak menunjukkan sebarang keanehan.

“Namun pada satu malam,kami sekeluarga terdengar bunyi ngauman harimau betul-betul di depan rumah.

“Peristiwa menakutkan itu, menyebabkan adik-adik saya dan ibu menjadi panik.Bila ayah saya mengintai di celah tingkap dilihat dua ekor harimau belang yang agak besar berlegar di bawah pokok mangga di hadapan rumah, “katanya.

Azman berkata,peristiwa pelik tersebut berlangsung selama setengah jam sebelum kedua harimau tersebut ghaib begitu sahaja.

Serentak dengan itu Azman berkata,tiba-tiba keluarganya dikejutkan dengan bunyi kanak-kanak berlari di tingkat atas rumah yang menjadi zon larangan keluarga.

“Peristiwa yang menyebabkan bulu roma di tubuh meremang, berlangsung selama sejam sebelum ia berhenti sendiri.

“Ayah dan ibu menenangkan adik-adik saya yang menangis ketakutan.Ayah pada saat itu agak tenang dan tidak bertindak naik ke tingkat atas rumah,”katanya

Malam kejadian tersebut cerita Azlan lagi,kesemua yang ada dalam rumah tersebut tidak dapat tidur hingga ke waktu subuh.

Keesokan pagi Azlan berkata,ayahnya menceritakan panjang lebar dua peristiwa aneh tersebut kepada pemilik tanah.

Saya yang tidak bersekolah pagi itu akibat mengantuk,masih boleh mengingati muka pemilik tanah yang langsung tidak menzahirkan rasa hairan bila ayah saya rancak menceritakan peristiwa tersebut dari A hingga Z.”

“Malahan dia ketawa berdekah-dekah seolah-olah ayah membuat ‘stand up comedy’.Ayah jadi kehairanan dengan sikap pemilik tanah berusia 70an itu,” katanya lagi.

Pemilik rumah jelas Azman lagi,selepas mengakhiri ketawanya mula bercakap dengan nada yang serius berhubung kedua-dua peristiwa tersebut.

Azman memberitahu,pemilik tanah yang keluarganya bahasakan dengan panggilan pak haji bercerita,kedua harimau tersebut sering muncul pada malam tertentu setiap bulan sejak dia mewarisi tanah milik ayahnya 30 tahun yang lalu.

“Rumah yang didiami kami sekeluarga pula adalah rumah datuk kepada pak haji.Sebab itu rumah tersebut lengkap dengan perabot dan pinggan mangkuk.

“Tingkat atas rumah tersebut sememangnya menyimpan satu rahsia mistik hingga pak haji sendiri tidak berani menaiki rumah papan miliknya sendiri,”ujarnya lagi.

Sebagai pemilik tanah dan majikan,Azman berkata lelaki tua yang mesra itu memberi kebebasan kepada ayahnya untuk terus bekerja dan tinggal di rumah misteri tersebut.

Namun ayahnya sebagai ketua keluarga beritahu Azman lagi,meminta tempoh dua tiga hari untuk membuat keputusan sama ada kekal bekerja di tanah tersebut atau berhijrah ke tempat lain.

Ayah berbincang dengan saya dan abang yang sudah berusia belasan tahun,yang dianggapnya boleh memberi buah fikiran terbaik.”

“Soalnya adakah kami sanggup terus tinggal di rumah yang ada kelibat harimau pada waktu malam di halaman dan terus memekakkan telinga dengan bunyi tapak kaki budak berlari di tingkat atas rumah dengan sabar,” katanya.

Akhirnya jelas Azman lagi,selepas tiga hari berfikir ayah memberitahu kepada majikannya, dia sekeluarga akan terus bekerja dan tinggal di rumah misteri itu.

Keputusan tersebut terang Azman lagi,menyebabkan orang tua yang memasuki usia hampir seabad itu tersenyum gembira.

Malahan pak haji menaikkan gaji bulanan ayah yang dianggap sebagai seorang ketua keluarga yang berani dan bertanggungjawab.”

“Sejak menyatakan persetujuan untuk terus tinggal di rumah itu,gangguan dan peristiwa seram semakin menjadi-jadi pula,”katanya.

Pernah sekali Azman memberitahu,bunyi harimau mengaum seakan begitu rapat dengan dinding rumah hingga menggetarkan perasaan sesiapa yang mendengarnya.

Sekali-sekala Azman berkata,harimau tersebut akan mencakar dinding dan menggesek tubuhnya yang besar hingga bergegar rumah papan itu dibuatnya.

“Lama kelamaan kami sudah lali dengan perkara tersebut.Kami pun sudah menganggap ia sebagai penjaga rumah dan tanah kebun.

Kadang-kadang kami sekeluarga pelik, kenapa dua ekor harimau tersebut hanya datang pada waktu malam dan bukan pada waktu siang,” jelasnya.”

Dalam pada itu Azman memaklumkan,ruang misteri di tingkat atas rumah papan tersebut masih tidak dimasuki oleh setiap ahli keluarganya.

Keluarganya kata Azman, bimbang akan ternampak makhluk pelik keluar daripada celah belakang almari atau bawah katil besi antik.

“Kadang-kadang selepas mengaji Al-Quran sambil menunggu solat Isyak kami akan bersembang tentang harimau dan bunyi misteri di rumah itu.

“Masing-masing adik beradik saya dan ibu akan meneka harimau tersebut akan datang atau tidak pada waktu tengah malam,”katanya lagi.

Walaupun gangguan tersebut sering hadir, Azman berkata, keluarganya sempat menetap di rumah itu hampir 10 tahun sebelum ayahnya bertukar kerja pengawal keselamatan di bandar berhampiran kampung tersebut.

Pada masa yang sama, Azman berkata pemilik tanah sudah semakin uzur atas faktor usia dan berniat untuk menjual tanah dan rumah di pinggir hutan itu.

“Pengalaman misteri tersebut pada saya, mengajar saya dan adik-beradik satu perkara. Jika keluarga kita susah, kita perlu berani menghadapi setiap ujian yang mendatang.

“Setelah hidup tenang dan senang dengan kerjaya yang stabil dan bisnes mencatatkan keuntungan hari ini.Ia mengajar saya,untuk terus hidup kita tidak boleh memilih ujian yang Allah berikan tetapi kita boleh memilih untuk menghadapinya dengan berjuang dengan berani dan sabar,”jelasnya mengakhiri pertemuan.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. – Ilustrasi janaan AI

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2025, MMTOON
Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)

error: Content is protected !!