MMToon

DIHANTUI SAKA IBU

Oleh GHAZALI ALIAS

SEPANJANG berkahwin, wanita itu menjalani kehidupan normal sebagai pasangan suami isteri pada umumnya.

Meskipun dia lebih tua daripada suami, kehadirannya dalam keluarga pihak lelaki diterima baik terutama oleh ibu mertua.

Satu perkara yang Linda (bukan nama sebenar) kagum dengan keluarga suaminya adalah wajah ibu mertuanya yang tampak awet muda, malah pernah suatu ketika dia menganggap wanita itu kakak kepada suaminya.

Katanya, walaupun ibu mertuanya berusia 70 tahun, dia kelihatan seolah baru mencecah 40-an, namun apabila ditanya tentang rahsia awet muda, dia sering mengelak untuk menjawab.

Ibu mertua saya memang cantik, kalah anak dara, saya memang kagum sedangkan saya yang baru 30-an sudah kelihatan lebih berusia.

“Namun di sebalik kejelitaan itu dia seorang yang garang, jika ada salah di matanya habislah dibebel olehnya,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.

Tambahnya, walaupun diterima baik ia juga datang dengan pakej omelan ibu-ibu, yang dianggapnya sebagai tanda prihatin daripada orang tua.

Pernah sekali Linda terpecahkan pinggan, ibu yang berada di ruang tamu terus meluru ke dapur dan membebel kepadanya.

Masih ingat lagi kata-katanya, “habislah harta aku semua nak dipecahkan, barang ni bukan ada lagi, susah nak cari.”

Hal ini juga berlaku kepada menantu yang lain jika melakukan kesalahan di depan mata ibu mertua. Ada yang terasa hati ada yang masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Malah, harta paling berharga yang tidak boleh diusik sesiapa adalah motosikalnya yang digunakan untuk bergerak ke pekan.

Ditakdirkan umur ibu mertua tidak panjang, dia meninggal dunia pada usia 75 tahun kerana kemalangan jalan raya.

Waktu itu kami semua terkejut kerana ibu awalnya ibu baik-baik sahaja dan saya baru menelefon dia untuk meminta resepi masakan.

“Pada hari sama juga dia kemalangan di simpang jalan besar, dan keadaanya sangat parah dan dilaporkan meninggal di tempat kejadian,” ujarnya.

Katanya lagi, keadaan jasad ibu juga penuh dengan luka-luka, namun sekilas dilihat setelah meninggal barulah kelihatan memang sudah berusia.

Awalnya saya pelik tetapi kerana suami sangat berdukacita saya akhirnya mendiamkan sahaja perkara berkenaan.

Linda dan suami bersama adik beradik dan ipar yang lain tinggal di kampung ibu mertua selama lima hari bagi menguruskan majlis tahlil di masjid.

Sepanjang lima hari itu Linda sering merasa ada yang tidak kena, bulu romanya sering merinding seolah-olah ada yang memerhati dia di rumah itu.

Hal sama turut berlaku kepada biras yang lain, malah ada yang mengatakan terngiang-ngiang bebelan ibu mertua ditelinganya.

Keadaan menjadi bertambah seram apabila salah seorang biras terpecahkan pinggal semasa berkemas di dapur.

Ketika itu kami semua terdengar jelas bebelan yang sama ibu beri pada saya ketika saya pecahkan pinggan sebelum ini.

“Kami semua merinding seram, terus lari ke suami masing-masing apabila terdengar suara itu semakin kuat,” kongsinya.

Hal sama berlaku ketika suami Linda cuba menghidupkan motor ibu mertua, dia kemudian terdengar bebelan ibu yang menjerit, “Jangan sentuh motor aku!”

Selepas merasakan ada yang tidak kena, suami Linda terus mendapatkan khidmat Ustaz untuk memeriksa keadaan rumah.

Selepas diperiksa, ustaz memberitahu bahawa ibu ada membela saka dan makhluk ghaib itu tidak mahu keluar daripada rumah berkenaan.

Sejak daripada itu semua adik beradik dan ipar tidak lagi pulang ke rumah berkenaan dan hingga hari ini ia terbiar begitu sahaja.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad . Imej janaan AI

 

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2025, MMTOON
Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)

error: Content is protected !!