
Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
SETIAP kali bangunan baharu yang dijadikan pejabat, pangsapuri mahu pun kilang memulakan operasi sudah pasti ada mulut-mulut yang nakal bertanya kepada pekerja mahu pun penghuni jika lokasi baharu terbabit bersih atau sebaliknya.
Bersih yang dimaksudkan bukan bersih dan suci secara fizikal, tetapi adakah tempat yang dihuni manusia turut ‘didiami’ makhluk halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Kisah Mitos kali ini melibatkan beberapa kakitangan sebuah syarikat korporat yang beroperasi di salah sebuah bandaraya di negeri Selangor.
Menurut seorang eksekutif syarikat terbabit, Muadzam Mohamad (bukan nama sebenar) yang berusia awal 40an, kisah seram bermula apabila kesemua kakitangan syarikat mula memasuki bangunan baharu yang terletak sejauh 5 km dari pejabat lama.

Minggu pertama dan kedua, kesemua kakitangan syarikat masih sibuk menyusun fail dan membiasakan diri dengan suasana pejabat baharu.

Tiada kejadian misteri mahu pun penampakan yang menggoncang perasaan dilaporkan oleh kesemua kakitangan. Sebelum masuk pejabat, majikan turut mengadakan doa selamat dan kesyukuran memohon agar operasi pejabat baharu dipermudahkan Yang Maha Esa,” katanya ketika ditemui di Kuala Selangor baru-baru ini.

Muadzam berkata, disangka panas hingga ke petang rupanya hujan ribut di tengahari, masuk minggu ketiga gangguan misteri mula berlaku.
Jelas Muadzam, insiden pertama melibatkan seorang kakitangan wanita yang sering datang sejam lebih awal sebelum pejabat beroperasi pada pukul 8.30 pagi.

Begitulah disiplinnya kakitangan syarikat kami itu sejak dia mula bekerja sejak 10 tahun yang lalu.
Berperwatakan ramah dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja.
“Peristiwa pelik yang dialaminya pada pagi hari kejadian itu melibatkan kakitangan itu dengan seorang wanita lain yang juga berpakaian pejabat sepertinya,” katanya.

Muadzam berkata, semasa menuju ke ruang pejabatnya, kakitangan syarikat yang baru sampai terlihat seorang wanita muda dan cantik sedang duduk di kerusi empuk di kawasan menunggu di dalam pejabat tersebut.
Katanya lagi, keduanya sempat bersembang sebentar sebelum dia ke tempatnya bertugas untuk meletakkan tas tangan.

Semasa sampai di mejanya, staf tersebut baru mula terasa pelik kerana operasi pejabat belum bermula, bagaimana wanita cantik tersebut dibenarkan naik oleh pengawal keselamatan ke tingkat 3 bangunan baharu itu.

Lantas dia yang seperti tersedar dari dipukau terus menemui wanita cantik tersebut. Malangnya tiada lagi kelibat wanita itu, yang tinggal hanya bau wangi seharum kasturi,” katanya.

Oleh kerana terasa seram sejuk kakitangan terbabit katanya lagi, terus bergegas turun dengan lif ke aras bawah bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini.
Cerita Muadzam lagi, kakitangan syarikat itu pun terus bertanya pengawal keselamatan di aras tanah siapa gerangan wanita cantik yang berada di pejabatnya.

Amat mengejutkan, apabila pengawal keselamatan tersebut berkata, kakitangan syarikat itu adalah orang pertama naik ke pejabat di tingkat tiga. Tiada orang lain selain dirinya.
“Mendengar kata-kata pengawal keselamatan tersebut, kakitangan itu mula menggeletar dan mengambil keputusan untuk duduk di kerusi berhampiran. Sudah pasti wanita cantik itu bukan makhluk biasa,” katanya.

Sejak peristiwa misteri tersebut Muadzam berkata, kakitangan yang rajin datang awal itu mula hadir lewat setengah jam sebelum operasi pejabat bermula.

Namun peristiwa tersebut jelas Muadzam bukanlah yang pertama, kerana kali ini giliran kakitangan lain ‘disakat’ atau diajak bergurau oleh makhluk halus di bangunan baharu itu.
“Kali ini seorang kakitangan lelaki pula diganggu bayangan lembaga berjubah putih berambut panjang yang melintas di hadapannya, ketika bertugas lewat petang kerana menyiapkan kertas kerja.

Penampakan tersebut menyebabkan dia terperanjat hingga demam tiga hari. Sejak itu tiada lagi kakitangan yang berani datang awal dan pulang lewat dari pejabat,” ujarnya.

Peristiwa menyeramkan yang kerap berlaku cerita Muadzam lagi, menyebabkan majikan mengadakan bacaan yasin, tahlil dan doa selamat seminggu sekali.

Walaupun majlis keagamaan sering diadakan, gangguan bercorak penampakan bertukar kepada gangguan bersifat gurauan.
“Mesin pencetak bergerak sendiri tanpa diprogramkan oleh mana-mana kakitangan turut berlaku semasa waktu rehat.

Suis lampu dibuka dan dipadam secara tiba-tiba menyebabkan ada kakitangan yang trauma hingga ada yang mengambil cuti kecemasan,” katanya.

Ujar Muadzam lagi, akibat bimbang gangguan menjadi lebih menakutkan seorang ustaz mencadangkan ayat suci Al-Quran
dipasang di setiap jabatan sepanjang masa pejabat beroperasi.

Tindakan tersebut jelas Muadzam, menyebabkan gangguan semakin berkurang walaupun ada yang mengadu ternampak makhluk tertentu sekali imbas.
“Apabila ada tetamu dari luar datang ke pejabat syarikat saya,mereka akan bertanya mengapa ayat suci Al Quran berkumandang sepanjang masa.

Ada yang memandang sinis apabila diberitahu punca sebenar ayat suci Al Quran dipasang. Namun apabila diberitahu mungkin makhluk halus tersebut sedang memerhati, ada yang sedang senyum sinis terus bertukar muka menjadi pucat,” ujarnya.
Muadzam yang sudah berhenti bekerja di syarikat tersebut berkata, beliau nekad untuk bertukar kerja kerana bimbang dengan gangguan yang mungkin mendatangkan mudarat kepada keluarga.
Tambahnya lagi, sebelum bertukar pejabat baharu dia sempat bertemu dengan seorang paranormal yang menceritakan sejarah tapak di mana bangunan pejabat lamanya berada.

Saya mengambil keputusan tidak bekerja di pejabat lama kerana takut makhluk halus itu mengikutnya pulang ke rumah dan menyampuk serta mengganggu anak-anak saya.
“Paranormal itu juga membisikkan kepadanya, tapak bangunan baharu tempat dia bekerja sebelum ini pada asalnya adalah tapak tempat upacara membuang puaka dan pendamping,” jelasnya lagi.

Muadzam berkata, umat Islam seharusnya meminta perlindungan Allah dengan mendampingi Al Quran dan menunaikan ibadah seperti solat dan puasa agar diri mereka dijauhi dari gangguan syaitan, jin dan makhluk halus.
Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad . Imej janaan AI
