MMToon

DIGANGGU PENUNGGU RUMAH NENEK

Oleh GHAZALI ALIAS

SELEPAS lama tinggal di kota, lelaki itu bercadang mahu berpindah ke kampung halaman selepas mendapat tahu dia merupakan pewaris kepada rumah arwah nenek.

Umpama pucuk dicita ulam mendatang, berita bahawa dirinya merupakan pewaris rumah tersebut bagaikan rezeki yang tidak di sangka memandangkan dia dalam perancangan untuk mencari tanah di kawasan kampung.

Sebagai cucu sulung, Razak (bukan nama sebenar) mewarisi rumah pusaka arwah nenek selepas bapanya yang merupakan anak tunggal meninggal dunia sejak dia kecil.

“Selepas ayah meninggal dunia, saya dan ibu jarang pulang ke kampung nenek, ada pun setahun sekali memandangkan kampung nenek jauh di Perlis.

“Malah, kerana terlalu sibuk di kota, saya dan keluarga tidak sempat menziarah nenek di kampung dan ketika dia meninggal dunia pun, kami sampai selepas semua urusan selesai,” katanya kepada Panorama baru-baru ini.

Meskipun tidak begitu rapat dengan nenek sebelah ayah dan jarang pulang ke kampung, Razak begitu teruja mahu membawa keluarganya ke sana selepas dia merenovasi rumah tersebut.

Tambahan pula, neneknya juga mempunyai kebun getah di belakang rumah yang mana Razak bercadang mahu dijadikan kebun buah dan sayur-sayuran.

Walaupun gembira dengan warisan yang diterima, bapa kepada empat cahaya mata itu tidak menyangka bahawa dia akan berdepan pengalaman tidak di duga.

Perkara itu menjadi pengalaman Razak yang paling diingatinya dan berlaku semasa awal-awal dia mendapat rumah tersebut.

“Selepas mendapat tahu rumah itu diserahkan kepada saya oleh keluarga di sebelah ayah, saya terus merancang untuk melakukan renovasi terhadap rumah tersebut.

“Bagaimanapun, ramai kontraktor dari kampung yang menolak apabila saya mahu mengupah mereka, hingga saya terpaksa mencari di kawasan bandar.

“Awalnya saya sudah pelik dengan keadaan itu dan situasi menjadi lebih aneh selepas kontraktor yang diupah dari bandar pula berhenti kerja separuh jalan dan memulangkan wang deposit tanpa alasan yang kukuh,” ujarnya.

Memandangkan tiada lagi kontraktor yang mahu mengambil upah renovasi rumah nenek, Razak kemudian mengambil keputusan mahu melakukannnya sendiri bersama rakan yang merupakan kontraktor pembinaan di Kuala Lumpur.

Pada hari minggu, Razak pergi ke rumah nenek bersama rakannya itu untuk menyambung kerja renovasi yang ditinggalkan kontraktor sebelumnya.

“Pada hari pertama sampai, saya sudah seram sejuk dengan rumah nenek, namun tidak mengendahkan perasaan itu dan terus melakukan kerja-kerja untuk membaiki dan menambah ruang dapur serta bilik air.

“Pada saat saya mahu memecahkan dinding dapur, tukul yang saya guna terpelanting dari tangan seolah ada yang menolaknya dari tangan, kemudian saya terdengat suara orang memekik yang tidak tahu dari mana asalnya,” kongsi Razak.

Tidak hanya itu suara tersebut juga persis seperti neneknya yang membebel semasa dia tidak sengaja memecahkan pinggan sewaktu kecil dahulu.

Razak mengakui mendengar suara itu dia sudah merasa seram sejuk dan perkara itu turut dialami oleh rakannya.

Dengan berbekalkan ilmu agama yang ada, Razak cuba membaca dia dan potongan ayat al-Quran untuk mengusir anasir-anasir luar yang ada dan untuk seketika keadaan menjadi aman kembali.

Bagaimanapun, keadaan lebih teruk pada waktu malam, ketika Razak dan kawannya sedang tidur, dia mendengar ada bunyi bola yang melantun dan suara kanak-kanak tergelak.

Tidak hanya itu, dia juga mendengar bunyi tapak kaki orang berlari di dalam rumah dan itu sudah membuat dia tidak sedap hati.

Dia cuba untuk tidak menghiraukan apa yang didengarnya dan kemudian melelapkan mata hingga tertidur.

“Esoknya saya dan rakan amat terkejut kerana sedar-sedar kami sudah berada di luar rumah kerana sebelumnya kami tidur di ruang tamu.

“Hal itu membuat saya dan kawan keluar dari rumah nenek dan pergi ke rumah sepupu ayah yang ada berdekatan,” katanya.

Selepas tiba di rumah sepupu ayahnya, Razak menceritakan apa yang berlaku, namun cerita itu tidak mengejutkan saudara sebelah bapanya itu.

Sepupu bapanya yang juga merupakan seorang imam masjid memberitahu padanya bahawa apa yang berlaku pada Razak disebabkan oleh penunggu yang menetap di rumah tersebut.

Cerita sepupu bapa Razak lagi, penunggu itu bukanlah pendamping neneknya tetapi merupakan jin yang masuk ke rumah itu selepas ia sudah lama kosong.

Mendengar hal itu, Razak kemudian meminta tolong sepupu bapanya itu untuk ‘membersihkan’ rumah berkenaan dan cuba untuk menghalau ia keluar.

Bagaimanapun, hal itu begitu sukar dilakukan kerana jin tersebut berkeras tidak mahu pindah dari rumah berkenaan yang menyebabkan Razak terpaksa membatalkan hasratnya.

Rumah itu juga sehingga kini sudah lama terbiar dan tidak dikunjungi oleh Razak lagi.

 

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad bertarikh 30 Julai 2023. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!