
Oleh FADILA AWALUDIN
SEJAK di bangku sekolah rendah, Mai Mohamad mengakui sangat gemar dengan irama tradisional dan sering menonton persembahan gamelan.
Disebabkan itu, ketika usia tujuh tahun kedua orangnya telah menghantar ke sekolah seni untuk mempelajari kesenian gamelan sehingga tamat sekolah rendah sebelum berjaya melanjutkan pengajian di sebuah sekolah berasrama penuh di Selatan tanah air.

Mai yang kini berusia 29 tahun masih tidak dapat melupakan kejadian seram yang berlaku meskipun hal itu sudah lebih sedakad berlalu.
Awal memasuki sekolah asrama, semuanya berjalan dengan baik sehingga Mai berubah menjadi mudah gelisah dan ketakutan kerana merasakan seperti diperhatikan serta mengalami mimpi aneh.

Mai juga kerap mengalami mimpi pelik seperti dikejar lembaga hitam, nenek tua dan diekori anjing hitam.
“Awalnya saya tidak peduli dan anggap mimpi itu sekadar perasaan takut kerana pertama kali memasuki sekolah asrama.

Tetapi semuanya berubah ketika saya di tingkatan dua apabila berlaku kejadian misteri dan sukar diterima akal normal,” ujarnya.
Hal tidak diduga berlaku di dewan sekolah ketika Mai berjalan seorang diri untuk ke asrama selepas mengulang kaji pelajaran di perpustakaan.

Waktu itu saya terdengar alunan muzik gamelan dari dalam dewan, tetapi apabila diperiksa pintu dewan berkunci dan mustahil ada orang di dalam tambahan waktu itu pun sudah pukul 5 petang jadi kebanyakkan pelajar di asrama untuk makan malam.

“Bila tengok pintu berkunci saya biarkan saja, tetapi tiba-tiba pintu dewan terbuka, dan saya cuba melihat ke dalam untuk tahu siapa yang bermain muzik gamelan.

“Di situ saya nampak ada seorang wanita mengenakan sanggul dan kebaya kuning seperti orang zaman dulu sedang asyik menari di depan sekumpulan pemuzik,” katanya.

Alunan muzik dan gerakan tarian itu membuatkan Mai berdiri kaku dan terpukau seolah-oleh tarikat pada tarian lembut itu sehinggakan tanpa sedar Mai perlahan-lahan mendekati wanita itu dan turut menari bersama.

Mai bagaimanapun terkejut apabila melihat wajah wanita itu yang matanya berwarna hitam pekat, mulutnya tersenyum lebar dengan keadaan lidahnya sedikit terkeluar dan kulit berkerepot.

Dia rasa ingin menjerit apabila wanita itu semakin menghampirinya, tetapi mulutnya seperti terkunci dan tidak dapat berbuat apa-apa selain memejamkan mata.

Tidak lama kemudian, Mai terdengar ada suara yang memanggil namanya dan sebaik membukakan mata dia melihat kedua orang tua bersama beberapa rakan dengan guru mengelilingi di tepi katil.

“Kata mereka ada pelajar yang jumpa saya pengsan depan pintu dewan dan cikgu telah membawa saya ke klinik.

“Selepas kejadian itu, orang tua saya membawa untuk mendapatkan rawatan perubatan Islam setelah doktor memberitahu saya tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan,” katanya.

Insiden tersebut bukan sahaja meninggalkan memori seram, tetapi menyebabkan Mai berpindah sekolah dan tidak lagi aktif dengan aktiviti gamelan.
