MMToon

DIGANGGU MAKHLUK HOMESTAY LAMA

PENGALAMAN tinggal di sebuah homestay atau inap desa yang terletak di sebuah negeri di Pantai Timur itu tidak akan sesekali dilupakan seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad.

Gangguan itu biarpun hanya berlaku selama satu malam sudah cukup membuatkan Ahmad trauma dan cukup berhati-hati apabila memilih untuk tinggal di sebuah homestay

Membuka cerita, Ahmad berkata dia bersama isteri, abang sulungnya sekeluarga dan juga ibu bapa mereka sepakat untuk menempah sebuah homestay bagi menghadiri perkahwinan sepupu mereka.

“Memandangkan saya, abang sulung dan ibu sama-sama menetap di negeri yang sama iaitu Selangor, maka kami pun sepakat untuk bertolak bersama-sama ke Pantai Timur bagi menghadiri majlis perkahwinan sepupu akrab saya.

“Kami juga sepakat memilih untuk tinggal di sebuah homestay lama kerana lokasinya cukup berhampiran dengan dewan kahwin sepupu saya.

“Memandangkan bapa sudah tidak berapa sihat, maka kami tidak mahu dia tidak selesa sekiranya terpaksa berjalan jauh atau duduk di dalam kereta terlalu lama,” katanya.

Setibanya di homestay tersebut, Ahmad sudah dapat merasakan sesuatu yang tidak kena namun tidak memberitahu tentang perasaannya itu kepada sesiapa.

Menurut Ahmad, biarpun sudah diubah suai dengan cantik selain dilengkapi sebuah kolam renang dan dekorasi serba moden, rumah banglo satu tingkat yang ditempah mereka itu merupakan rumah ‘tinggal’ yang memiliki seni bina usang.

Memandangkan mereka pun sudah membayar harga homestay tersebut, maka Ahmad segera menepis rasa tidak sedap hatinya.

Apabila masuk ke dalam rumah itu, Ahmad terkejut apabila melihat bahagian dalam rumah itu nampak jauh lebih besar daripada apa yang dilhat di bahagian luar.

“Bahagian tengah rumah dibiarkan kosong dan luas, dan entah mengapa ia memberikan efek menyeramkan.

“Suasananya juga suram, biarpun pada waktu siang dan selepas kami membuka semua lampu rumah,” katanya.

Memandangkan majlis perkahwinan itu adalah pada keesokan hari, Ahmad dan keluarganya yang kepenatan mahu berehat sahaja di rumah dan hanya memesan makanan daripada aplikasi penghantar makanan.

Begitu pun, selepas membuat pesanan, makanan yang ditunggu-tunggu masih juga tidak kunjung tiba selepas lebih tiga jam.

“Saya melihat penghantar makanan itu berkali-kali membuat pusingan berhampiran homestay tersebut namun masih juga tidak kunjung tiba.

“Sebaik sahaja saya keluar dan berdiri di bahu jalan, barulah penghantar makanan itu nampak saya.

“Wajahnya ketakutan dan dia berkali-kali meminta maaf kerana tidak dapat melihat homestay yang dihuni kami, biarpun selepas melalui kawasan itu beberapa kali,” kata Ahmad.

Insiden itu menjadikan Ahmad semakin tidak sedap hati dan memberitahu hal itu kepada abang sulungnya.

Ternyata, abang sulung Ahmad juga mengalami gangguan kecil melibatkan suis lampu tandas di biliknya yang berkelip-kelip, menyebabkan isterinya ketakutan.

Namun, oleh kerana sudah terlalu penat, mereka tidak mahu melayan rasa takut itu dan menganggap semuanya hanya kebetulan.”

Selepas menunaikan solat isyak, Ahmad yang keletihan mahu segera tidur namun memandangkan katilnya terletak bersebelahan tingkap, dia ternampak kelibat seorang wanita berbaju putih yang sedang melihatnya dari luar.

“Wanita itu merenung tepat ke mata saya sambil tersenyum, menyebabkan bulu roma saya meremang.

“Saya cepat-cepat membaca apa sahaja doa yang terlintas di fikiran ketika itu dan terus masuk tidur,” kata Ahmad.

Sangkanya, gangguan itu berakhir di situ namun keesokan paginya, Ahmad mendengar bunyi tapak kaki yang kuat dari bumbung ketika sedang mandi.

Saya amat ketakutan kerana rumah ini adalah rumah banglo satu tingkat dan entah dari mana datangnya bunyi tapak kaki itu.”

“Kami sekeluarga segera bersiap untuk ke majlis perkahwinan sepupu, dan tidak sabar mahu pulang semula ke kediaman masing-masing selepas majlis tamat,” kata Ahmad.

Selepas majlis tamat, kira-kira pukul 3 petang, Ahmad dan keluarganya mahu pulang ke homestay untuk mengemas barang mereka sebelum pulang.

Begitu pun, mereka kemudiannya tersesat dan biarpun sudah melalui kawasan sama berulang kali, mereka masih tidak jumpa homestay itu.

“Kami terus berpusing dan mengikut laluan sama sehingga jarum jam menginjak pukul 7 malam.

Namun, kami masih juga tidak jumpa homestay itu, menyebabkan isteri dan ibu sudah terlalu kepenatan dan mula menangis di dalam kereta.”

“Saya terus teringat insiden lelaki penghantar makanan itu, yang juga mengalami kejadian sama. Ia menyebabkan saya benar-benar ketakutan dan hanya mahu beredar dari situ segera,” katanya.

Ahmad sekeluarga kemudiannya berjaya pulang ke rumah dengan bantuan seorang jiran. Dia kemudiannya berkongsi cerita bahawa ramai yang pernah mengalami kejadian aneh di rumah tersebut, dan hairan mengapa ia masih lagi disewakan oleh pemiliknya.

Selepas insiden itu, Ahmad cukup berhati-hati dan tidak akan sesekali menyewa homestay yang meragukan.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

 

 

 

 

 

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!