MMToon

TERKENCING DIUSIK ‘PENUNGGU’ RUMAH HANTU

Oleh SITI SARAH NURUL LIYANA

RUMAH hantu merupakan tarikan yang mendapat sambutan hangat di setiap karnival Fun Fair, terutama pada musim Halloween.

Oleh itu, rumah hantu merupakan satu tarikan yang ingin diterokai Syahid (bukan nama sebenar) bersama rakan-rakan sekampungnya.

Bagi remaja berusia 15 tahun itu, memasuki rumah hantu memberikannya lebih keterujaan berbanding permainan lain yang dianggap sebagai keanak-anakan.

Menurut Syahid, luaran rumah hantu tersebut tidak begitu menakutkan, malah nampak murah dan dekorasinya bersifat ‘tangkap muat’.

Oleh itu, dia dan rakan-rakan mencabar sesama sendiri untuk masuk ke dalam rumah hantu tersebut seorang demi seorang.

“Kami main ‘lat tali lat tali tamplom’, siapa yang ganjil masuk dahulu. Orang kemudian akan masuk 5 minit seterusnya.

“Kami berlima, jadi, saya adalah orang ketiga masuk. Pada asalnya, saya tidak takut langsung kerana hiasan luarannya yang nampak murah,” katanya kepada Panorama.

Apabila tiba gilirannya, Syahid mula melangkah masuk ke dalam ruang serba gelap dan suasana sejuk mula menyelubunginya.

Sesekali, terdengar jeritan daripada dua rakan baiknya yang masuk ke dalam rumah hantu terlebih dahulu.

Yakin dirinya tidak akan mudah dikejutkan ‘hantu jadian’, pelajar tingkatan tiga itu mencari-cari kelibat hantu yang dijangka akan menyergahnya.

Namun aneh bagi lelaki itu, ruang yang dimasukinya cuma dipenuhi hiasan-hiasan berhantu, namun tidak ada langsung perkara yang mengejutkan.

Syahid akui bahawa dia mula merasakan bahawa rakan-rakan di hadapannya itu sengaja menjerit sebagai satu perlian dan gurauan.

“Apabila saya dapati rakan-rakan saya cuma ‘menganjing’ rumah hantu tu. Saya pun terfikir untuk buat perkara sama.

“Saya panggil hantu-hantu keluar kerana saya bukan bayar untuk tengok pameran hantu sahaja.

“Saya akui, kata-kata saya agak kedengaran bongkak. Tapi memang waktu itu, saya memang kecewa melihat keadaan dalamannya,” terangnya.

Benarlah orang kata, ‘kerana mulut badan binasa’, suara jeritan rakan-rakannya itu tiba-tiba menghilang.

Rumah hantu itu jadi begitu senyap dan sunyi. Tiba-tiba terasa angin dingin menghembus di bahagian telinga Syahid.

Enggan kalah dengan perasaan takut, Syahid melajukan jejak langkahnya, namun rumah hantu itu tiba-tiba terasa begitu luas.

Sesekali, Syahid merasakan terdapat mata-mata yang memerhatikannya dari segenap sudut rumah hantu itu.

Ada kalanya, dia terasa seperti ada entiti mengekorinya dari belakang.

Namun apabila dia toleh ke belakang, hanya ada ruang kosong dengan lampu merah yang malap dan berkabus.

Kemuncak rasa panik menyelubunginya apabila dia telah berpusing di tempat yang sama dalam masa 30 minit.

“Saya panik apabila asyik tiba di hadapan pocong yang berdiri tegak dengan mata tertutup.

“Saya tak tahu itu pocong betul, orang dalam kostum atau patung. Tapi bila saya patah balik, saya tiba di hadapannya lagi,” jelasnya.

Syahid mula menarik nafas lega apabila terdengar suara rakannya dari belakang.

Detik hatinya, pasti itu Asyraf (bukan nama sebenar) yang diundi untuk masuk selepas dirinya.

Dia mula menjerit nama rakannya itu, lalu berlari ke arah datangnya suara tersebut.

Alangkah terkejutnya dia apabila suara itu datang dari pocong yang kini mula melompat-lompat.

Tanpa disedari, seluarnya basah kerana terlalu panik dengan situasi yang dihadapinya.

Akui khilaf kerana mencabar rumah hantu tersebut, Syahid mula menangis teresak-esak dan mohon maaf.

“Waktu itu, saya dah tak fikir tentang ‘anak jantan’ dah. Saya nangis sahaja puas-puas dengan sejujur hati.

“Saya nak balik rumah. Saya tak nak mati sakit jantung dalam rumah hantu itu,” luahnya.

Tidak lama kemudian, dia terasa kuku panjang menyentuh bahunya dan hantu berupa pontianak menjengah.

Hampir gugur jantung Syahid melihat rupa buruk hantu di hadapannya, namun lelaki di sebalik kostum pontianak itu segera menenangkannya.

Akhirnya, Syahid dipimpin oleh staf-staf rumah hantu itu keluar menerusi pintu tepi rumah hantu.

Kata Syahid, rakan-rakannya yang lain tidak mengalami sebarang kejadian aneh.

Bahkan kata mereka, Syahid hanya sempat masuk dalam lima minit sahaja sebelum dijumpai nangis teresak-esak.

Sehingga kini, peristiwa yang dialami menjadi bahan jenaka rakan-rakan yang tidak percaya dengan pengalamannya.

Syahid juga bersumpah tidak akan masuk rumah hantu lagi.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!