MMToon

RIDER DAPAT PESANAN MISTERI DARI RUMAH TINGGAL

Oleh SITI SARAH NURUL LIYANA

Malam itu, Amran (bukan nama sebenar) menerima pesanan daripada aplikasi Foodpanda untuk dihantar ke sebuah rumah di tingkat lima, pangsapuri lama di Kuala Lumpur.

Ketika tiba di pangsapuri tersebut, lelaki berusia 25 tahun itu mendapati keadaan sekeliling agak sunyi dan suram biarpun jam baru menunjukkan pukul 9 malam.


Tanpa mengesyaki apa-apa, anak kelahiran Johor itu segera menaiki lif dan menuju ke nombor rumah yang tertera di aplikasi Foodpanda miliknya.

Unit yang dituju agak terpencil daripada kedudukan lif, dan Amran terpaksa berjalan sedikit jauh ke arah rumah tersebut.

“Saya sudah biasa hantar makanan pada waktu malam, tapi anehnya pangsapuri tersebut agak sunyi biarpun banyak lampu menyala.

Jadi saya tidak berfikir banyak dan terus ke rumah yang dituju. Saya cuma mahu segera selesai menghantar makanan dan pulang ke rumah,” katanya kepada Cita Rasa.

Memandangkan pelanggan tersebut memilih untuk membuat bayaran secara cash on delivery, Amran mengetuk pintu rumah untuk mendapatkan bayaran tunai.

Dari luar rumah, kedengaran bunyi orang ramai berkumat-kamit seakan-akan sedang berzikir, namun pertuturannya tidak jelas.

Tidak lama kemudian, pintu dibuka perlahan-lahan oleh seorang lelaki dengan riak wajah pucat, namun tersenyum mesra menyambut makanan yang dihantar.

Ketika saling bertukar antara makanan dan duit, Amran dapat merasakan tangan lelaki itu sangat sejuk seperti ais.

Ketika dia mengangkat kepalanya untuk mengucapkan terima kasih, dia ternampak lembaga hitam bermata merah sedang berdiri di belakang pelanggan tersebut.


Hati lelaki yang sudah 10 tahun bertugas sebagai penghantar makanan itu berdebar-debar dan bulu romanya mula meremang.


Dia segera mengucapkan terima kasih dan berjalan pantas ke arah tangga untuk turun semula ke bawah.


“Saya tak berani untuk naik lif kerana saya tidak mahu terperangkap di dalamnya. Jadi, saya turun tangga dengan laju sehingga ke bawah.

Pelanggan saya itu pun hanya senyum dan tak ucap terima kasih. Pastilah saya seram sejuk dengan situasi tersebut,” katanya.

Amran turun tangga dengan laju, dia terlanggar seorang lagi penghuni yang akhirnya membuatkan mereka sama-sama tersembam ke tangga bawah.

Enggan menimbulkan salah faham, Amran segera menceritakan tentang pengalamannya, dan penghuni tersebut terkejut mendengar cerita itu.

Penghuni tersebut memberitahu Amran bahawa kediaman yang dimaksudkan sudah lama kosong setelah pemiliknya meninggal dunia sebulan lalu.

Amran menunjukkan duit yang diterima, namun hatinya semakin resah apabila melihat duit yang dimaksudkan telah bertukar menjadi daun-daun kering.

Saya memang tunjukkan duit itu sebagai bukti saya ada bertemu penghuni unit tersebut.

“Saya juga tunjuk maklumat dalam aplikasi yang menyatakan ada pesanan dari rumah itu.

Tetapi maklumat dalam aplikasi juga tidak ada. Saya bagaikan nak demam pada masa itu.

“Nasib baik encik itu percaya dan bawakan saya bertemu ustaz untuk memulihkan semangat saya,” katanya.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!