
Oleh SITI SARAH NURUL LIYANA
NABILA (bukan nama sebenar) tidak pernah bercinta sewaktu di bangku sekolah kerana dunia remajanya hanya dipenuhi buku, peperiksaan dan impian untuk melanjutkan pelajaran.
Jadi apabila wanita berusia 20 tahun itu bertemu Fikri (bukan nama sebenar) di universiti, segalanya terasa baru, berdebar dan manis pada masa yang sama.

Bak kata orang, cinta pertama ini lain sikit. Sebab itu Nabila tidak hairan apabila dirinya mula berubah perlahan-lahan.
Fikri bukan sekadar teman lelaki biasa. Dia pandai memujuk, mengambil hati dan membuat Nabila rasa istimewa.

Setiap pagi dia menunggu di pintu kolej, setiap malam menghantar pesanan “jangan lupa tidur”, seolah-olah dunia mereka hanya berdua.
Apabila rakan-rakan menegur sikap Fikri yang cemburu keterlaluan, Nabila merasakan mereka sekadar dengki kerana tidak memiliki seseorang yang benar-benar peduli.

“Ramai kawan-kawan cakap Fikri ni toksik sebab dia tak benarkan saya bersembang dengan pelajar lelaki lain atau buat aktiviti yang tak melibatkan dia.
“Pada saya, itulah tanda lelaki sayang. Dia bukan teman lelaki saya kalau dia tak ada rasa cemburu atau obses dengan saya,” katanya.

Sejak bersama Fikri, Nabila rasa hidupnya sempurna. Setiap kali dia marah atau sedih, Fikri muncul memberi kata-kata manis yang menenangkan.
Dia tidak perasan bagaimana dirinya mula menjauh daripada semua orang, sering termenung dan pelajarannya makin merosot.

Namun keluarga mula risau apabila suara Nabila yang dahulunya penuh cita-cita tinggi kini meluahkan keinginan untuk berhenti belajar dan menjadi suri rumah sepenuh masa.
Rakan-rakan dan pensyarah turut kecewa kerana Nabila sebelum ini dikenali sebagai pelajar harapan dengan prospek kerjaya yang cemerlang.
Kata Nabila, ketika itu dia benar-benar percaya peranan sebagai isteri dan ibu adalah yang terbaik buat dirinya kerana lelaki seperti Fikri.

“Ketika itu, dalam fikiran saya hanya bayangkan betapa manisnya hidup berpasangan dengan Fikri, di mana dia bekerja dan saya sediakan makan minum.
“Saya dah tak fikir tentang harapan mak dan ayah saya. Saya juga tak fikir sama ada Fikri mampu beri saya masa depan memandangkan dia pun masih seorang mahasiswa.

“Saya sanggup derhaka pada mak ayah sebab saya rasa orang tua saya cuma nak gunakan saya untuk dapat kesenangan bila saya bergaji besar nanti,” katanya.

Tanpa pengetahuan Nabila, keluarganya mendapatkan khidmat rawatan Islam untuk meneliti keadaannya yang berubah mendadak sejak menjalin hubungan dengan Fikri.
Ustaz tersebut menasihati ibunya agar memisahkan Nabila daripada rantai yang dipakainya kerana dikhuatiri rantai itu ada kaitan dengan perubahan sikapnya.

Ibunya menggunakan helah sehingga berjaya meyakinkan Nabila untuk membuka rantai perak dengan batu kecil berwarna biru kehijauan pemberian Fikri itu.
Sepanjang sebulan selepas itu, Nabila berkata dia berasa kosong dan sangat keliru dengan perasaannya sendiri.

“Tiba-tiba saya rasa Fikri ni sangat menjengkelkan, terutama sikapnya yang terlalu mengawal dan mengatur hidup saya.
“Saya mula rindu diri saya yang bercita-cita tinggi dulu. Saya juga rasa sayu bila tengok wajah mak dan ayah saya yang semakin dimamah usia.

“Saya menangis di hadapan mereka sebab saya dah hancurkan harapan mereka demi seorang lelaki.
“Saya ambil keputusan untuk putus dengan Fikri, tapi saya dapatkan nasihat ustaz dulu sebab saya takut dia tak dapat terima dan akan sihir saya cara lain pula,” katanya.
Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Imej janaan AI
