MMToon

BERSAHABAT DENGAN ROH JIRAN KONDO

CERITA tentang kewujudan makhluk halus bukan perkara baharu dalam kalangan masyarakat. Meskipun dunia sudah berdepan dengan evolusi teknologi, namun kisah sebegini tetap ada dan masih berlaku.

 

Boleh dikatakan, selagi dunia ini belum kiamat, pasti kehadiran jin dan iblis itu tetap ada dalam kalangan umat Nabi Adam.

 

Begitu juga kisah yang dikongsikan oleh Azlan (bukan nama sebenar). Meskipun tidak berlaku ke atas dirinya, tetapi insiden yang berlaku itu secara tidak langsung melibatkan tempat dia bekerja.

Ceritanya bermula apabila Azlan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah perumahan kondominium di Pulau Pinang. Tugasnya yang mempunyai shif pagi dan malam itu, sudah menjadi rutin buat Azlan bagi memastikan keselamatan penduduk kawasan perumahan itu.

 

Bekerja di perumahan elit, jadi tidak ramai yang beramah mesra dengan Azlan kecuali seorang penghuni bernama Razak. Razak bersama isterinya Mawar baru saja tinggal di salah satu unit di tingkat 20.

Disebabkan Azlan dan Razak berasal dari negeri yang sama iaitu Johor, jadi hubungan mereka menjadi mudah akrab. Jadi Azlan juga mengetahui kalau adik Razak iaitu Elena turut tinggal bersama di rumah itu.

 

Kata Razak, adiknya itu berdepan dengan masalah depresi dan perlukan pengawasan dan sokongan lebih-lebih lagi setelah kematian kedua-dua orang tua mereka.

Apa yang mengejutkan ayah mereka meninggal dunia akibat serangan jantung dua minggu sebelum kejadian sama menimpa ibu mereka.

 

Jadi Azlan sesekali membuat rondaan di tingkat 20 bagi memastikan Elena tidak keluar rumah seorang diri. Razak sering berjalan-jalan di depan rumah Razak, dan setiap kali itulah dia akan mendengar Elena sedang berbual sambil ketawa.

Awalnya Azlan fikir Elena sering berbual di telefon, tetapi ketika dia bertanya kepada Razak, temannya itu memberitahu ada seorang wanita bernama Melati sering berkunjung ke rumah mereka.

 

Kata Elena, Melati tinggalkan di tingkat yang sama dengan mereka cuma selang tiga unit rumah. Awalnya Razak berasa senang hati kerana adiknya itu kini mempunyai teman untuk berbual.

 

Tetapi setelah tiga bulan berlalu, tiba-tiba keadaan Elena pengsan dan terpaksa dikejarkan ke hospital. Doktor memberitahu tubuh Elena lemah kerana kekurangan zat makanan. Bahkan, fizikalnya semakin kurus dan menunjukkan seperti sudah dua minggu tidak mendapat makanan.

Razak dan Mawar menjadi hairan kerana mereka tidak mendera apatah lagi tidak memberi makan kepada Elena. Setiap hari Mawar akan menyediakan makanan untuk Elena sebelum keluar bekerja.

 

Razak turut meninggalkan wang buat Elena sekiranya dia ingin membeli sebarang keperluan atau pergi ke kedai yang ada di tingkat lapan.

 

Disebabkan keraguan itu, Razak dan Mawar nekad untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mereka bagi mengawasi keadaan Elena.

Setelah Elena dibenarkan pulang, dia kembali seperti rutin kebiasaannya. Elena terus dikunjungi oleh temannya, Melati. Tetapi kali ini keadaan Melati sedikit berbeza apabila terdapat kesan luka dan lebam pada muka serta badannya.

 

Kata Melati, dia sering dipukul oleh suaminya jika lambat melakukan kerja rumah atau tertidur jika suaminya pulang lewat malam. Melati ibaratkan itu sudah biasa dan lali dengan sikap suaminya.

Kemudian, selepas tiga hari CCTV dipasang, Razak dan Mawar melihat semula rakaman video aktiviti Elena di rumah. Alangkah terkejut apabila mereka melihat Elena seperti sedang bercakap dengan seseorang dan berbual-bual.

 

Sesekali dia kelihatan ketawa, sesekali pula sedih dan menangis. Kemudian makanan yang disediakan di atas meja Elena membawanya ke tandas manakala pinggan kosong pula diletakkan di dalam sinki.

 

Sedang mereka menonton rakaman, tiba-tiba kedengaran suara teriakan Elena dari dalam bilik. Sebaik tiba, mereka mendapati Elena sedang duduk di tingkat dan ingin melompat ke bawah.

Mujur Razak segera bertindak pantas dan menarik Elena sebelum adiknya itu tiba-tiba pengsan. Sebaik tiba di hospital, doktor menasihati agar Elena mendapatkan perawatan secara spiritual kerana masalah skizofrenia yang dialami adiknya disahkan sudah pulih, tetapi tiba-tiba sikap Elena berubah mendadak selepas tinggal bersama dengan Razak dan Mawar.

 

Setelah mendapatkan rawatan perubatan Islam, keadaan Elena sebaik baik. Razak dan Mawar juga sudah berpindah ke rumah baharu dan tidak lagi tinggal di Pulau Pinang.

Sebelum Razak secara rasmi ingin meninggalkan bangunan rumah lamanya, dia sempat bertemu dengan Azlan dan seorang pegawai keselamatan bernama Ahmad.

 

Mereka berbual dan Razak kemudian menceritakan kisah yang berlaku kepada Elena. Alangkah terkejutnya apabila Ahmad memberitahu dahulu pernah ada kejadian seorang wanita bernama Melati terjun dari balkoni rumah kerana kecewa ditinggalkan suami.

Katanya, suaminya sering mendera sehinggakan mengurungnya di rumah selama beberapa hari. Kesabaran Melati menemui noktah apabila suaminya itu pulang bersama perempuan simpanan dalam keadaan mabuk tanpa menghiraukan diri.

 

Jadi pada malam itu, Melati nekad terjun dari balkoni dan tuduhnya ditemui berhampiran kolam renang di tingkat lapan. Razak dan Azlan yang mendengarkan cerita Ahmad itu terkejut kerana Elena bukannya mengalami skizofrenia, tetapi memang benar didatangi roh Melati yang bergentangan di kawasan perumahan itu.

 

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Imej janaan AI

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!