
PERISTIWA menyeramkan itu masih segar dalam ingatan seorang anak kelahiran sebuah negeri di selatan tanah air, yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Abu.
Menceritakan kisah seramnya, Abu yang tidak pernah percaya dengan hantu atau perkara-perkara mistik mengakui terkejut apabila berdepan peristiwa menyeramkan, tatkala pulang ke kampung halaman sempena Hari raya Aidiladha empat tahun lalu.

Ujar Abu, beberapa hari sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha, dia memulakan perjalanan pulang ke kampungnya.
Waktu Maghrib sudah masuk sekitar 20 minit, lalu Abu yang sudah pun memasuki susur berhampiran kampungnya, nekad untuk berhenti solat di sebuah surau kecil yang terletak kira-kira 10 kilometer dari kediamannya.

Surau itu agak usang, dengan cat dinding yang pudar serta lampu neon yang berkelip-kelip. Abu menolak pintu kayu yang berkeriuk, lalu melangkah masuk.

“Alhamdulillah, sempat juga saya solat di situ, sementara waktu Maghrib masih berbaki,” jelas Abu.

Di dalam surau, kelihatan seorang lelaki sudah berada di saf hadapan, sedang rukuk.
Abu hanya sempat menjeling sekilas lalu, sebelum mengambil wuduk di kolah kecil di tepi surau. Airnya terasa dingin, seolah-olah mencengkam tulang.

Selesai berwuduk, Abu berdiri di saf kedua. Dia mengangkat takbir dan memulakan solat.
Bacaan dari lelaki di hadapan kedengaran perlahan tetapi mendayu, membuat bulu roma Abu meremang. Ada sesuatu yang aneh, namun Abu cuba menumpukan pada solatnya.

Saat Abu sujud, dia terasa satu hembusan angin dingin melalui tengkuknya. Bau yang tengik, seperti bau bangkai, mula memenuhi ruang. Abu cuba menenangkan diri.
“Mungkin ini sekadar perasaan saya,” katanya.

Selesai memberi salam, Abu mendongak. Lelaki itu masih berdiri di hadapan, tegak tanpa bergerak.
Abu berkata, dia juga terkejut kerana tubuh lelaki itu cukup tegap dan amat tinggi, jauh lebih tinggi daripada ketinggian lelaki normal.
“Assalamualaikum, pakcik,” saya memberanikan diri menyapa lelaki itu.

Tiada sahutan. Lelaki itu perlahan-lahan menoleh.
Ketika wajahnya terbias cahaya lampu surau, jantung Abu bagai terhenti. Lelaki itu tiada wajah! Kosong, licin, seolah-olah kulit putih pucat menutup segalanya. Tiada mata, tiada hidung, tiada mulut.
Abu kaku, hanya mampu beristighfar berkali-kali, dengan suara yang bergetar. Lelaki itu kemudian kembali menunduk, seolah-olah menyambung solat, namun gerakannya perlahan, seperti tidak berpijak di bumi.

Dengan tubuh menggigil, Abu bingkas bangun. Dia berlari keluar dari surau tanpa menoleh ke belakang. Bunyi derap langkahnya bergema dalam kegelapan.
Setibanya di rumah, Abu terus menceritakan perkara itu kepada ibunya, yang kebingungan melihat wajah anak bujangnya itu yang pucat lesi.

“Saya beritahu ibu, bahawa di surau hujung kampung itu, ada orang solat, namun tiada wajah,” katanya.
Sejak malam itu, Abu tidak lagi singgah di surau usang tersebut.
Malah, setiap kali melintasi jalan itu menjelang malam, dia akan mempercepatkan langkah.

Bayangan lelaki tanpa wajah itu kekal menghantui ingatannya, terutama setiap kali Aidiladha semakin hampir.
Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad
