
INSIDEN itu berlaku hampir lapan tahun lalu, ketika Aina (bukan nama sebenar) bergelar pramugari junior untuk sebuah syarikat penerbangan terkemuka.

Dia ketika itu ditugaskan untuk satu penerbangan jarak jauh yang mengambil masa kira-kira 14 jam, yang juga merupakan pengalaman pertamanya diganggu sesuatu ketika bertugas.
Ujar Aina, kesemua kru kabin yang bertugas akan diberikan waktu rehat selama tiga jam, yang lazimnya digunakan untuk melelapkan mata sebentar di bunk bed yang disediakan.

“Ketika itu, saya berehat bersama seorang rakan iaitu Zai. Namun, akibat terlalu penat, pantas sahaja mata saya terlelap.
“Tidak lama selepas itu, saya rasakan kaki saya diusik perlahan. Namun, saya hanya mengabaikannya kerana menganggap ia adalah usikan Zai, memandangkan dia adakalanya suka bergurau begitu,” ujar Aina.

Belum sempat tidur lena, telinga Aina pula ditiup kuat beberapa kali.
Aina membuka matanya lalu menoleh ke sisi. Namun, tiada sesiapa di situ, menyebabkan dia mula terasa takut.

Namun, rasa penat lebih menguasai diri, menyebabkan Aina kembali berbaring dan cuba melelapkan mata.
Beberapa minit kemudian, dia mendengar bunyi orang menangis dari dalam ruangan kargo, menyebabkan dia terkejut dan membatalkan hasratnya untuk tidur.

“Tempat tidur saya terletak betul-betul di sebelah ruang kargo pesawat.
“Bunyi tangisan itu kedengaran sayup sahaja namun memang dari arah ruangan kargo, menyebabkan bulu roma saya meremang,” katanya.

Di katil sebelah, Aina ternampak Zai yang sedang berbaring membelakanginya. Dia kemudian menyoal, adakah Zai juga mendengar bunyi yang sama.
Namun, wanita itu hanya mendiamkan diri, barangkali sedang lena diulit mimpi.

Memandangkan matanya sudah segar, Aina kemudiannya pergi ke tandas untuk mengemaskan semula ikatan pada rambutnya.
Ketika itu, dia terlihat Zai yang sedang bersiap sedia menyediakan makanan untuk diberikan kepada penumpang.

“Di hati saya, terdetik rasa terkejut kerana bukankah Zai sedang tidur di sebelah saya? Cepat betul dia kembali bertugas untuk menyediakan makanan pula.
“Namun, apa yang menjadikan suasana lebih menyeramkan adalah apabila Zai memberitahu saya bahawa dia sama sekali tidak turun ke ruangan rehat kami sepanjang syif tersebut,” kata Aina.

Setibanya di destinasi, Aina menceritakan perkara tersebut kepada kru yang lain dan dia terkejut apabila mendapat tahu bahawa dalam pesawat itu sebenarnya ada mayat yang diterbangkan untuk dikebumikan di sebuah destinasi lain.
Sehingga kini, biarpun sudah lama berlalu, Aina berkata insiden tersebut adalah satu perkara yang tidak mungkin dilupakannya sepanjang bergelar anak kapal.
