
Oleh SITI SARAH NURUL LIYANA
SETIAP anak perantauan pasti memahami perasaan ingin segera pulang ke kampung sebaik sahaja cuti bermula.
Begitulah juga buat Johan (bukan nama sebenar) yang membawa beg pakaian bersamanya ke pejabat pada hari terakhirnya bekerja.

Lelaki dalam lingkungan usia 30-an itu nekad untuk terus pulang ke kampungnya di Hutan Melintang, Perak sebaik sahaja habis kerja.
Fikirannya hanya tertumpu pada senyuman yang terukir di bibir ibu dan ayahnya saat dengan tiba di pintu rumah mereka nanti.

Namun pada malam itu, dia pulang lewat 12 malam kerana dia mahu menyiapkan kerja-kerja agar cutinya tidak diganggu.
Setelah berpuas hati dengan hasil kerjanya, anak bongsu kepada lima beradik itu mulakan perjalanan menerusi laluan jalan lama.

Menurut Johan, laluan yang agak sunyi pada waktu malam itu merupakan laluan kebiasaannya sejak sepuluh tahun bekerja di ibu kota.
“Saya sudah biasa memandu ikut jalan ini walaupun ia sunyi selepas pukul 12 malam. Saya tak rasa takut pada mulanya.

Tapi malam itu berbeza kerana saya tiba-tiba terasa ingin ke tandas. Jadi saya pasang waze untuk cari stesen berdekatan,” katanya.
Kendaraannya mengikut jalan yang disarankan waze dan berhenti di sebuah stesen minyak di tengah-tengah kawasan kelapa sawit

Lampu di stesen minyak tersebut agak malap dan Johan mengagak bahawa stesen itu sudah tutup berdasarkan keadaannya yang sunyi.

Tanpa melengahkan masa, Johan segera mencari tandas untuk melunaskan ‘hajatnya’ yang dari tadi tidak henti-henti membuatkan perutnya tidak selesa.
Sewaktu dalam tandas, dia terdengar bunyi kasut tinggi datang dari pintu utama sehingga menghala ke arah tandas sebelahnya.

Terasa angin sejuk menghembus saat wanita itu saat kasut wanita berwarna merah melalui hadapan tandasnya bersama bau bunga melur yang cukup kuat.
Pintu tandas di sebelahnya ditutup dengan kuat bagaikan hentakkan angin sehingga menyebabkan Johan tersentak.

Pada mulanya, Johan hanya memikirkan mungkin tandas wanita sudah terkunci pada waktu malam sehingga wanita itu perlu menggunakan tandas lelaki.
Saya agak terkejut. Tapi saya faham. Saya rasa dia sudah tidak mampu tahan sakit perut dan ingin segera masuk ke dalam tandas.
“Sewaktu saya keluar bilik air. Saya jerit beritahunya bahawa saya sedang basuh tangan. Takut dia tidak sedar kehadiran saya dan keluar dalam keadaan tidak sopan,” ujarnya.

Setelah selesai, Johan menuju keluar dari tandas dan dia dapati hanya satu kenderaan sahaja di hadapan tandas stesen itu.
Johan mula rasa seram sejuk memikirkan bagaimana wanita berkasut tinggi boleh berada di kawasan tersebut sekiranya dia tidak menaiki kereta.

Tiba-tiba, kedengaran pintu tandas yang dimasuki wanita itu dibuka perlahan-lahan dan bau melur semakin kuat.

Tanpa melengahkan masa, Johan segera menaiki keretanya dan memecut laju tanpa memandangkan ke arah tandas itu lagi.

Biarpun sudah semakin jauh dari tandas tersebut, bau bunga melur masih lagi ada biarpun dia sudah tiba di kampungnya.
Kata Johan, bau tersebut hanya hilang setelah berkemundangannya azan Subuh pada keesokan harinya.
