INI merupakan kali pertama wanita itu berkunjung ke Kuantan, Pahang dan dia amat teruja kerana lokasi tersebut merupakan percutian pertamanya bersama rakan-rakan selepas memasuki dunia pekerjaan.
Berasal dari Sabah, dia yang baru menetap di Kuala Lumpur tertarik untuk ke sana kerana sering melihat perkongsian tentang kafe-kafe viral di ibu negeri Pahang itu.
Menurutnya pekerja swasta Alina (bukan nama sebenar), dia dan rakan-rakan bergerak satu kereta ke sana dan memulakan perjalanan selepas semua orang habis bekerja di hari Jumaat.
“Ini merupakan percutian singkat dihujung minggu sebab itu selepas sahaja habis waktu bekerja kami semua pulang dan memulakan perjalanan selepas waktu isyak.

Memang sebelum bergerak kami tidak sempat untuk makan malam dan memutuskan untuk makan setelah tiba di Kuantan,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.
Tambahnya, perjalanan mereka ke Kuantan memakan masa kira-kira empat jam, sejam lewat kerana ada rakan-rakan yang ingin singgah ke kawasan rehat dan rawat (R&R) dan membeli kudapan.

Ceritanya lagi, setibanya di sana dia rakan-rakan memasuki jalan dari tol Gmbang dan memutuskan untuk melalui jalan Gambang-Kuantan kerana ingin singgah di kedai makan sekitar dalam perjalanan.
Semasa sedang mencari kedai makan, dia terlihat ada sebuah premis yang masih dibuka ditepi jalan dengan nama Adik Manja dan entah mengapa dia mahu singgah di kedai tersebut.

Rakan-rakannya juga hanya bersetuju dan berhenti di kedai berkenaan dan meletakkan kenderaan di kawasan berhampiran.
“Kedai tersebut kelihatan sepeerti kedai makan biasa tetapi sangat terang dengan lampu dan kelihatan ramai orang makan di situ.

Tetapi bila tiba di sana, suasana restoran tersebut dikatakan agak suram, dengan pekerja yang hanya duduk di dapur dan pelanggan lain yang kelihatan berborak tanpa sebarang bunyi perbualan yang didengari,” ujarnya.
Katanya lagi, oleh kerana mereka semua sudah lapar, dia dan rakan-rakan tidak mengendahkan keadaan tersebut dan terus memesan makanan.

Malah, ketika memesan makanan pekerja kedai itu hanya menganggukkan kepada tanpa berkata apa-apa.
Agak aneh tetapi padanya yang lapar, semua itu tidak mengapa dan apabila makanan sudah tiba mereka melahapnya tanpa rasa sangsi. Setelah selesai, rakannya membayar dahulu jumlah harga semua makanan tersebut menggunakan wang tunai.

Selepas selesai membayar makan mereka menyambung perjalanan ke Kuantan, namun semasa kereta bertolak Alina menoleh melihat kedai itu kembali dan dia merasa ada yang aneh kerana semua pekerja dan pelanggan berdiri di depan kedai melihat mereka.
Kerana kereta semakin menjauh dan mengantuk kekenyangan dia tidak mengambil pusing tentang situasi itu dan fokus untuk ke destinasi.

Pada keesokkan harinya, semasa berjalan-jalan di sekitar Kuantan, Alina tidak tahu mengapa dia sering teringat akan kedai berkenaan dan teringat akan kesedapan makanan tersebut.
Dia kemudian mengajak rakannya untuk makan di sana pada belah malam, dan mereka semua setuju.
“Selepas berbincang tiba-tiba saya terdengar rakan saya membebel kerana dalam tasnya terdapat daun-daun kering dan awalnya menyangka salah seorang kami mengenakan dia.
“Tetapi selepas semua menafikannnya, kami bertatapan dan terdiam, malah fikiran kami teringat akan kedai Adik Manja kerana hanya rakannya itu yang membayar makanan di sana,” katanya.
Bagi mendapatkan kepastian, Alina dan rakan-rakan menaiki kereta dan menuju ke lokasi kedai tersebut dan setibanya di sana mereka terkejut melihat restoran yang dikunjungi itu kelihatan usang dan sudah lama ditinggalkan.
Pada ketika itu, banyak perkara yang bermain di fikiran, kedai apakah ini dan apa yang mereka makan di kedai berkenaan semalam.
Rasa seram menyelubungi Alina dan rakan-rakan, mereka kemudian terus menaiki kereta dan menuju ke hotel.
Semasa dalam perjaanan, Alina sempat membuat carian tentag kedai Adik Manja dan alangkah terkejutnya dia bahawa terdapat banyak kisah misteri yang dikongsi tentang kedai makan berkenaan di dalam talian.
