MMToon

DIGANGGU LELAKI TANPA KEPALA DI BUKIT PUTUS

Oleh GHAZALI ALIAS

PULANG ke kampung sewaktu musim perayaan merupakan sebuah momen menyeronokkan meskipun terpaksa berdepan kesesakkan lalu lintas yang bakal memakan masa berjam-jam.

 

Situasi itu juga dirasai oleh Rizman (bukan nama sebenar) yang setiap tahun pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

 

Merupakan lelaki asal Jemapoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, perjalanan pulang dari Kuala Lumpur biasanya hanya memakan masa sekitar satu ke dua jam tetapi ia boleh menjadi empat jam sekiranya ketika musim perayaan.

 

Kata Rizman, bercerita tentang balik kampung dia pernah mengalami pengalaman negeri ketika kali pertama pulang beraya menaiki kereta untuk beraya.

 

Kongsinya, pada ketika itu dia memilih untuk pulang lewat malam dua hari sebelum Aidilfitri kerana mahu mengelak kesesakkan lalu lintas.

 

“Sebelum ini setiap kali pulang beraya saya akan menaiki bas dan selepas memiliki kereta saya memang teruja ingin pulang ke kampung memandu buat kali pertama.

 

“Namun, berdasarkan pengalaman , saya jangkakan pulang lewat malam akan lebih lancar kerana semua orang sudah pulang lebih awal pada waktu siang,” katanya ketika dihubungi Panorama baru-baru ini.

 

Tambahnya, pada hari kejadian, dia memulakan perjalanan sekitar pukul 12 tengah malam, dari tempat tinggalnya di Ampang, Kuala Lumpur.

Katanya, pada mulanya perjalanan dari Kuala Lumpur lancar, namun laluan mula sesak di lebuhraya di kawasan Nilai. Hal ini membuatkan Rizman sedikit bengang kerana dia mahu sampai ke rumah awal untuk bersahur bersama keluarga.

 

Dalam perasaan resah dia meneruskan perjalanan, kemudian jalan kembali lega selepas dia memasuki sempadan lebuhraya Seremban.

 

“Awalnya saya ingatkan semua orang perfikiran seperti saya untuk pulang lewat, tetapi rupanya kesesakkan di Nilai itu berpunca daripada kemalangan jalan raya.

 

“Teruk juga kejadian itu saya lihat ada darah di atas jalan dan sekujur badan yang ditutup dengan surat khabar,” ujarnya.

Selepas itu, Rizman berhenti sebentar di kawasan rehat dan rawat (RNR) di Seremban untuk ke tandas, kebetulan di situ dia juga menerima panggilan daripada ibu.

 

Jelasnya, dalam panggilan tersebut, ibunya bertanya tentang masa perjalanan dan Rizman memberitahu sudah tidak lama.

 

Dia juga menceritakan tentang kemalangan di Nilai dan hal itu membuatkan ibunya risau dan menyuruh Rizman supaya berehat dahulu di RNR dan menyambung perjalanan di waktu siang.

 

Oleh kerana tidak mahu sampai lewat, Rizman memberitahu ibunya bahawa dia akan meneruskan perjalanan sebelum mematikan telefon.

“Saya meneruskan perjalanan kemudian sampai ke laluan bukit putus, namun setibanya di sana saya terkejut kerana jalan sesak dengan kenderaan dan tidak bergerak.

 

“Saya cuba mengharunginya tetapi setelah sejam saya hanya sampai ke persimpangan jalan
bukit putus lama, kerana bengang saya putuskan untuk melalui jalan tersebut,” kongsinya.

 

Selain Rizman ada beberapa kereta yang mengikuti jalan tersebut bersamanya, namun perjalanannya masih lancar kerana tidak banyak yang melalui jalan tersebut.

Katanya lagi, jalan lama itu memang jarang digunakan, malah ketika dia melaluinya, kawasan di sana sunyi dan hanya ada beberapa kereta di depan.

 

Tanpa disedari oleh Rizman, kereta yang ada didepannya sudah tidak kelihatan dan dia sendirian melalui selekoh-selekoh di jalan lama tersebut.

Tiba- tiba dia ada terbau sesuatu yang hanyir seperti darah, meskipun takut dia cuba memberanikan diri untuk meneruskan perjalanan.

 

“Saya cuba melajukan kenderaan untuk mengejar kenderaan di depan tetapi tidak ada satu kelibat kereta pun kelihatan.

 

“Kemudian saya sedar sudah lama saya melalui jalan tersebut, masih tidak sampai ke persimpangan keluar ke jalan utama,” ujarnya.

Dia mulai cemas dengan keadaan itu dan cuba membaca ayat-ayat yang patut untuk melindungi diri dari gangguan makhluk halus.

 

Tidak lama kemudian dia melihat ada kelibat kenderaan yang berhenti di tepi jalan, awalnya dia agak lega tetapi perasaan berubah cemas kerana selepas melihat berdekatan kereta tersebut ada sosok lelaki tanpa kepala.

Rizman yang takut menekan pedal minyak untuk meneruskan perjalanan, mulutnya tidak berhenti membaca ayat kursyi supaya dilindungi daripada perkara tidak dingini.

 

Tidak lama kemudian, Rizman menemui jalan keluar yang mana membuatkan hatinya lega kerana melihat banyak kenderaan kembali di jalan raya.

 

Selepas tiba di kampung, Rizman menceritakan perkara terjadi kepada ibunya dan dia diberitahu hal itu mungkin kerana badi melihat kemalangan dan mayat yang membuatkan makhluk halus tertarik kepadanya.

 

Malah, jalan bukit putus lama juga dikenali sebagai kawasan yang seram kerana pelabgai kisah mistik dan kemalangan negeri pernah berlaku di situ.

 

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Imej janaan AI

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!