MMToon

AMAL ILMU SALAH UNDANG BINASA

Oleh GHAZALI ALIAS

MENGAMALKAN sesuatu perkara secara membuta tuli akhirnya mengundang binasa, itu ungkapan yang menggambarkan apa telah dilalui Alina (bukan nama sebenar) dalam kehidupannya.

Berasal dari Sarawak, dia awalnya merupakan gadis biasa yang tinggal di sebuah kampung kecil di Kuching.

Namun begitu, sepanjang membesar, Alina sering dibandingkan dengan kakaknya yang jauh lebih cantik berbanding dirinya.

Tidak hanya mendengar dari mulut ibu bapa, dirinya juga bagaikan hilang dalam kabus apabila bersama kakaknya ketika berada dalam keraian kampung.

Orang akan kata, kakak cantik, putih, tetapi saya seolah tidak wujud. Malah, ibu dan ayah juga sering memuji kakak yang hanya tua setahun dari saya.

“Hal ini membuatkan saya lebih suka menyendiri tetapi jauh di sudut hati tidak dinafikan rasa cemburu amat tebal,” katanya kepada Panorama baru-baru ini.

Tambah anak bongsu dari dua beradik itu, api cemburunya semakin bertambah apabila lelaki yang disukai Alina turut jatuh hati dengan kakaknya.

Mengakui tidak suka dengan keadaan itu, Alina lebih memilih untuk tidak banyak meluang masa dengan keluarga melainkan tinggal dengan nenek yang menetap selang beberapa rumah.

Bersama nenek, Alina tidak merasa seperti dibezakan dan mendapat kasih sayang tanpa berbelah bahagi.

Pada suatu hari, Alina yang ketika itu mengemas bilik neneknya terjumpa sebuah buku lama yang tersimpan di atas almari.

Berasa curiga dengan buku itu, dia kemudian membukanya dan melihat ada tulisan seperti ayat pelindung, seri wajah, mata cantik dan sebagainya.

“Saya lihat seperti tulisan orang lama dan menganggap ini mungkin amalan orang dulu-dulu untuk menjadikan diri berseri dan menarik.

Tanpa pengetahuan nenek, saya mengambil buku tersebut dan membawanya ke rumah untuk membaca lagi isinya,” ujarnya.

Katanya lagi, dia tertarik dan mula menghafal ayat-ayat amalan untuk nampak cantik dan menaikkan seri wajah.

Setiap hari, dia mengamalkan ayat itu seperti arahan dalam buku yang mengatakan perlu di baca pada siraman terakhir mandi.

Selang beberapa minggu, Alina mula merasai perubahan dari segi penerimaan orang di sekeliling dan ramai mula memuji dirinya.

Pada masa sama, dia merasa ada sesuatu yang aneh apabila sering rasa seperti diperhatikan oleh seseorang.

Malah, setiap kali dia dekat dengan anak-anak kecil, mereka akan menangis terutama bayi baru lahir seperti ada benda menakutkan mereka.

Pada waktu malam pula, Alina sering bermimpi perkara pelik termasuk melihat ada susuk makhluk hitam yang memeluk dirinya sehingga membuatnya lemas.

Tidak tahan dengan mimpi yang berulang dan perasaan seperti diekori seseorang, Alina kemudian membawa buku tersebut ke rumah neneknya dan bertanyakan tentangnya.

Apabila nenek melihat buku tersebut, dia terkejut dan bertanya bagaimana saya menjumpainya.

“Nenek memberitahu bahawa buku itu merupakan satu kesilapan yang pernah dilakukannya sewaktu remaja dahulu,” kongsinya.

Neneknya mengatakan, ia adalah ilmu salah yang dituntut olehnya daripada moyang kerana ingin nampak cantik pada pandangan orang lain.

Namun, setiap ilmu mempunyai khadam sendiri yang akan melekat pada pengamal dan menyesatkan serta memesongkan hati mereka.

Nenek Alina juga sudah lama tidak mengamalkan ilmu tersebut.

Disebabkan Alina sudah terlanjur mengamalkannya, nenek telah membawa dia untuk berubat bagi melepaskan khadam yang melekat pada dirinya.

Dalam proses berubat, Adila memberitahu ia amat sakit, seolah-olah mencabut kulit pada daging, khadam itu tidak mahu melepaskan dirinya. Namun, selepas beberapa bacaan ayat suci makhluk itu akhirnya pergi.

Sejak itu, Alina tidak lagi mengamalkan ilmu tersebut dan belajar menerima diri seadanya.

Malah, ibu dan ayahnya juga lebih memberi perhatian kepada dia agar tidak merasa terasing dalam keluarga.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2025, MMTOON
Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)

error: Content is protected !!