MMToon

ANAK BERKAWAN DENGAN JIN DI RUMAH

Oleh GHAZALI ALIAS

SAAT dimaklumkan tentang berita perpindahan tempat kerja ke Kuching Sarawak, pemuda itu agak berat hati untuk menerimanya kerana dia sudah selesa hidup di Kuala Lumpur.

Tambahan pula, dengan urusan perpindahan bukan sahaja dirinya tetapi keluarga dan anak-anak semua itu agak melecehkan.


Namun, memandangkan perpindahan itu susulan kenaikan pangkat, dia terpaksa menerimanya dan menguruskan perpindahan tersebut termasuk mencari kediaman di sana.

Kongsi bapa kepada dua cahaya mata, Razak (bukan nama sebenar), dalam mencari rumah sewa di Kuching, dia hanya melakukannya secara dalam talian menerusi laman sosial, Facebook.

Saya cuba cari rumah yang agak murah di sana dan secara tidak sengaja melihat satu iklan di sebuah profil komuniti.

“Saya menghubungi nombor agen pada iklan berkenaan, dan bersetuju untuk menyewanya selepas melihat gambar yang dikirimkan olehnya,” katanya ketika dihubungi Citarasa baru-baru ini.


Tambahnya, selepas semua urusan selesai, dia dan keluarga berpindah ke Kuching lebih awal untuk menguruskan keperluan di sana termasuk mengemas rumah.

Kediaman yang tidak jauh daripada tempat dia bekerja itu merupakan sebuah rumah teres yang kelihatan sudah lama tidak dihuni meskipun pada kawasan perumahan itu ramai penduduknya.


Tanpa berfikir panjang dia dan keluarga memasuki rumah tersebut dan memulakan sesi mengemas dan membawa masuk barang-barang rumah.

Pada awalnya tiada yang aneh tentang rumah tersebut, semuanya baik-baik sahaja, namun selepas beberapa hari tinggal di situ, Razak merasakan ada sesuatu.


Katanya, mulanya pada setiap malam dia sering terdengar ada suara seolah kanak-kanak bermain dengan bunyi guli di atas lantai serta bola yang di baling ke dinding.

Ada ketikanya juga dia terdengar seperti ada orang memasak dan perkara itu juga di sedari oleh isterinya.


“Apa yang lebih aneh anak bongsu saya yang berumur 3 tahun juga sering berkurung dalam bilik dan apabila kami mengintip, kami terlihat dia seperti bercakap dengan seseorang, tetapi apabila kami tegur dia hanya diam.

“Malah, apabila waktu malam, dia juga sering keluar ke ruang tamu dan bermain berseorangan, awalnya saya merasakan itu perkara biasa kanak-kanak berimaginasi tetapi lama-kelamaan dia mula terang-terangan bercakap dan ketawa sendiri seolah ada orang lain bersamanya,” ujarnya.


Sehingga pada suatu hari, Razak berkongsi, semasa dia bercuti dan dirumah, dia secara tidak sengaja melihat anaknya duduk di hadapan bilik dengan pintu sedikit terbuka.

Apabila diperhatikan dia terkejut apabila melihat ada kelibat tangan keluar dari bilik seolah ingin menggapai tangan anaknya.


Razak yang terkejut terus menempik memanggil anaknya dan kemudian tangan tersebut terus menghilang.

Anaknya yang bengong terus melihat bapanya dan menangis, dia kemudian mendapatkan anaknya dan menenangkannya.

Susulan hal-hal aneh tersebut, Razak kemudian mendapatkan bantuan Ustaz untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku pada rumah sewanya itu.


Kongsinya, Ustaz memberitahu bahawa rumahnya ada penghuni lain iaitu kaum jin yang sudah lama duduk di rumah tersebut.

Rumah itu sudah lama ditinggal dan menjadi sarang keluarga jin, dan selama ini anaknya yang bercakap seorangan selama ini sebenarnya berkomunikasi dengan anak-anak jin berkenaan.

Ustaz cuba merukyah rumah kami dan berjaya membuatkan jin tersebut keluar.

“Alhamdulillah kini semuanya baik-baik sahaja, namun Ustaz berpesan supaya rumah perlu sentiasa diisi dengan ibadah serta bacaan ayat-ayat suci al-Quran,” katanya.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2025, MMTOON
Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)

error: Content is protected !!