
Oleh GHAZALI ALIAS
APABILA musim durian tiba, pemuda itu akan mula sibuk menguruskan dusun duriannya yang juga lebat berbuah tiap tahun.
Menjadikan tanaman durian sebagai pendapatan sampingan, dia juga sentiasa mencari peluang untuk memperbanyakkan lagi hasil tanaman dengan membeli kebun baharu.

Dan hal itu dilakukan olehnya pada tahun lalu apabila dia ditawarkan dengan sebuah dusun durian terbiar yang ingin dijiual oleh kenalan rakannya.

Kata pemuda yang hanya ingin dikenali sebagai Rahman, mengetahui kebun durian seluas 5 hektar itu sudah mempunyai pokok matang, dia tidak teragak-agak untuk membelinya.

Dusun tersebut terletak di Negeri Sembilan dan ia berdekatan dengan kawasan hutan dan sungai jernih, memang saya tidak melepaskan peluang untuk membelinya.
“Meskipun kebun tersebut terbiar, terdapat sebahagian kawasan yang kelihatan kemas dan terjaga tanpa semak samun,” katanya.

Tambah bapa kepada tiga cahaya mata itu, meskipun keadaan itu terasa janggal dia tidak mengendahkan perkara itu dan menguruskan dusun tersebut sama seperti dusun yang lain.
Namun begitu, terdapat kejadian aneh yang pernah berlaku kepada dirinya sepanjang dia menguruskan dusun tersebut.

Dan kejadian itu amat memberi kesan kepada dirinya kerana ia melibatkan keselamatan anaknya yang dia pernah bawa ke dusun berkenaan semasa musim durian.
Kongsi Rahman, hal itu terjadi semasa dia membawa keluarga untuk melawat dusun itu untuk melihat hasil buah buat kali pertama selepas membelinya.
Dia dan keluarga teruja kerana di dusun tersebut terdapat banyak pokok durian kampung yang kata rakannya memiliki isi yang enak.

Selepas membeli dusun tersebut saya ada membina satu rumah kebun untuk menjadi tempat persinggahan dan bermalam jika datang ke sini.

“Hari itu awalnya tidak ada apa-apa kejadian aneh yang terjadi sehingga pada hari kedua semasa saya dan anak-anak keluar untuk mengutip buah durian di waktu pagi,” ujarnya.

Katanya lagi, dia dan anak-anak berpecah di sekitar dusun untuk memungut buah durian sebelum berkumpul semula ke rumah kebun.
Selepas bakulnya penuh mengumpulkan buah durian, Rahman memutuskan untuk pulang ke rumah kebun, namun selepas tiba dia mendapati anak keduanya masih belum pulang.

Dia bertanya kepada kedua anaknya yang lain tentang keberadaan anak keduanya, tetapi mereka berdua juga tidak mengetahuinya.

Keadaan bertukar cemas apabila usaha Rahman mencari anaknya di sekitar dusun tidak berjaya dan hal itu membuatkan dia lebih risau.
Namun, selepas waktu menghampiri maghrib, dia kemudian melihat ada sosok manusia yang tertidur di bawah sebuah pohon durian dekat kawasan yang sejak awal sudah rapi dan tidak bersemak.

Memang masa itu sudah hampir maghrib, saya masih mencari anak saya, tiba-tiba ada sosok orang tidur di pohon durian dan apabila dilihat lebih dekat itu anak saya.
“Saya cuba bangunkan dia tetapi tidak sedar, jadi saya dukung dan bawa dia ke rumah kebun kami kemudian menjelang isyak baru dia terjaga,” katanya.

Selepas anaknya sedar, Rahman bertanya kepadanya ke mana dia menghilang dari pagi, namun jawapan anaknya itu amat mengejutkan.

Kata anaknya, semasa dia sedang mengutip buah durian, dia terdengar ada bunyi buah gugur di kawasan lapang dekat dalam dusun kemudian semasa ke sana dia melihat ada dua sosok lelaki berjubah berjalan di situ.

Ceritanya lagi, dia kemudian menegur kedua lelaki berkenaan dan kemudian mereka mengajaknya ke rumah pondok yang terletak berdekatan dengan dusun.

Anaknya kemudian tidak meneruskan ceritanya kerana katanya keadaan selepas itu agak samar-samar, namun apa yang dia ingat semasa tiba di pondok berkenaan dia terasa mengantuk kemudian terlelap.

Rahman bingung dengan cerita anaknya kerana dia mengetahui bahawa dia menemukan anaknya di bawah pokok durian.
Pada keesokan harinya dia menuju ke kawasan yang dimaksudkan oleh anaknya, namun tidak menemui sebarang rumah pondok yang dimaksudkan.

Semasa mencari pondok tersebut saya berselisih dengan pasangan orang tua yang baru pulang menoreh getah dan bertanya tentang pondok berkenaan.

“Mereka juga bingung pada awalnya tetapi apabila saya menunjukkan tempat yang dimaksudkan anak saya mereka agak terkejut,” kongsinya.

Kata mereka, kawasan yang dimaksudkan itu sebenarnya adalah wilayah perkampungan bunian dan orang kampung juga tidak berani ke sana kerana sudah banyak kes kanak-kanak hilang di sana.

Mengetahui hal itu, Rahman menjadi seram sejuk dan kemudian menceritakan hal berkenaan kepada keluarganya dan menasihatkan supaya mereka tidak ke kawasan itu jika kembali berkunjung ke dusun itu lagi.
Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Imej janaan AI.
