MMToon

BAGI SALAM SEBELUM MASUK KAWASAN

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

KATA orang tua-tua kalau rumah atau bilik ditinggalkan lebih daripada tiga hari akan ada makhluk halus datang menumpang.

Mungkin ia menganggap rumah atau bilik tersebut tidak lagi digunakan manusia, maka kesempatan tersebut diambil untuk ruang tersebut dihuni.

Kisah mitos kali ini dikongsi oleh alumni sebuah universiti di negara ini yang berlaku kira-kira 30 tahun lalu.

Menurut bekas peguam berasal dari sebuah negeri di utara, Ramlan Samad, 52, beliau yang meremehkan amalan memberi salam apabila masuk ke bilik yang kosong selama sebulan kerana cuti semester, mendapat pengajaran yang sukar dilupakan hingga saat ini.

Zaman itu darah masih muda, nasihat orang tua kita buat dengar tidak dengar sahaja.Kita rasa amalan itu semua kuno dan semberono.

“Masa itu minggu orientasi, yang mana saya sebagai pelajar senior ditugaskan untuk mengendali pelajar-pelajar baharu di sebuah kolej kediaman yang terkenal dengan kisah menyeramkan,”katanya ketika ditemui di Kuala Selangor baru-baru ini.

Ramlan yang bertubuh agak sasa berkata, pada hari pendaftaran sebelum kedatangan pelajar baharu, beliau dan sahabatnya, Haris Othman ditempatkan di bilik paling bawah menghadap sebuah perhentian bas.

Katanya lagi, lokasi tersebut dipilih kerana mereka inginkan suasana hiruk-pikuk kereta dan orang ramai lalu-lalang.

 

“Namun pada masa itu universiti masih bercuti, penggal baharu akan dibuka lagi 10 hari. Cuma kami yang terlibat dengan orientasi masuk awal ke universiti, mana ada banyak kenderaan.

“Semasa masuk ke bilik yang mempunyai katil berkembar atau ‘double decker’ itu tanpa memberi salam saya dan Haris terus meletak beg pakaian kami di sudut bilik. Saya terus merebahkan badan di katil bawah dan Haris di katil atas,” katanya.

Sebelum taklimat yang akan berlangsung dalam masa sejam Ramlan berkata, beliau dan Haris mengambil kesempatan bersolat dan bersembang tentang keputusan peperiksaan semester yang lepas.

Jelasnya lagi, semasa bersembang ada juga terpacul kisah-kisah seram yang diceritakan oleh senior berlaku di kolej kediaman tersebut.

 

“Ibarat kata, perkara yang tidak berlaku kepada kita tidak menjadi kudis walau sedikit. Lagi pun kolej kediaman itu tidak jauh dari kolej kediaman saya maka kisah seram bukanlah sesuatu yang asing untuk dibimbangi.

Sampai satu tahap saya boleh cakap, kalau makhluk menyeramkan itu menjelma saya akan ‘lipat’ begitu sahaja. Haris siap ketawa mengekek mendengar kata-kata saya itu,”ujarnya.

Sesi taklimat kata Ramlan, untuk hari pertama pendaftaran untuk urusetia minggu orientasi berakhir pada pukul 11 malam.

Suasana malam di kolej kediaman jelas Ramlan, amat sunyi kerana setiap petugas minggu orientasi seramai 60 orang ditempatkan di empat blok berbeza.

 

“Malam itu saya dan Haris tidur lena kerana kepenatan tanpa ada insiden yang menyeramkan.Suasana kolej kediaman pun sunyi tanpa ada suara cengkerik.

“Kami bangun menjelang Subuh dan kesemua petugas berkumpul untuk bersolat dan bersarapan di dewan makan. Hari pertama semua agenda berjalan lancar,”katanya.

 

Semasa sarapan kata Ramlan lagi,tiada rakan-rakan yang bercerita tentang peristiwa pelik di bilik masing-masing.

 

Program hari kedua menurut Ramlan, agak memenatkan kerana berlangsung sesi penyelarasan tugas untuk menyelia pelajar baharu dan berlangsung hingga tengah malam.

 

“Malam kedua di kolej kediaman tersebut, saya dan Haris tidak banyak bersembang kerana ingin berehat secukupnya sebelum melayan kehadiran pelajar-pelajar baharu bersama keluarga mereka keesokan harinya.

Setelah terlena di katil, tiba-tiba tubuh saya seakan ditimpa sesuatu yang amat berat hingga menyukarkan saya untuk bernafas,”katanya.

 

Pada saat itu jelas Ramlan, beliau merasakan seperti kelemasan di dalam air kerana mukanya dihempap makhluk yang tidak berbentuk dan tidak boleh dirasai untuk mengetahui jenisnya.

 

Tubuhnya jelas Ramlan lagi, seperti ditimpa objek yang rata hingga beliau tidak mampu meronta-ronta.

 

“Perasaan saya ketika itu hanya ingat akan mati tanpa sempat bertaubat nasuha. Saya baca apa saja ayat suci Al-Quran yang terlintas di minda.

“Alhamdulillah.Sedikit demi sedikit jisim misteri yang menimpa tubuh saya lenyap begitu sahaja.

 

“Saya segera turun dari katil dan membuka lampu. Haris pun sebenarnya ada kisahnya sendiri turut terjaga,”katanya.

 

Ramlan memberitahu, Haris mendengar dengan jelas beliau seperti mengigau dan meronta-ronta di katil bawah kira-kira setengah jam.

Namun jelas Ramlan, Haris tidak berani untuk bangun kerana dia sendiri seperti terpaku di ruang pembaringan di katil atas kerana melihat lembaga hitam setinggi dua meter di hujung katilnya.

 

“Kami berdua memutuskan untuk membuka lampu bilik dan selepas sejam bercerita tentang gangguan yang berlaku sebentar tadi.

 

“Selepas membaca beberapa surah dan berselawat kami kembali ke katil masing-masing untuk tidur dengan harapan tiada lagi peristiwa menyeramkan berlaku,”jelasnya.

Malangnya, ‘ribut’ tidak lagi reda kerana ‘makhluk’ misteri datang semula dan menghempap Ramlan sekali lagi.

 

Kali ini kata Ramlan, dia melawan dan meronta sekuat hati hingga kakinya menyepak katil Haris di atas berkali-kali.

 

“Haris pun meloncat dari katilnya dan menenangkan saya yang seperti sedang menahan sesuatu yang amat berat sedang menghimpit.

Saya pun tersedar dalam keadaan berpeluh dan segera mengajak Haris keluar dari bilik tersebut dan menuju ke arah bilik urusetia yang terletak tidak jauh dari bilik kami,”katanya.

 

Dalam kedinginan dini hari Ramlan berkata, beliau dan Haris tidur di atas lantai di dalam bilik urusetia yang mempunyai pendingin hawa.

 

Kata Ramlan lagi, beliau teringat kata Haris yang berharap makhluk yang berat tersebut tidak mengikut mereka hingga ke bilik urusetia.

 

“Mungkin makhluk itu marah kerana kami tidak bagi salam kepadanya, sebab itu dia marah dan perhambat kami keluar.

 

“Bila hari sudah siang, kami kembali ke bilik dan memberi salam dengan tertib dan meminta maaf kepada ‘penghuni’ bilik itu. Alhamdulillah tiada lagi gangguan sehingga habis seminggu program orientasi,” jelasnya mengakhiri cerita.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Imej janaan AI


 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!