MMToon

BERIKAN AKU SEGELAS AIR

Solihin menggeliat malas di sofa ruang tamu. Beberapa kali dia melurus serta merenggang jari jemari. Entah kenapa tubuhnya terasa cukup lemah dan lesu. Nak kata dia ada buat kerja berat tidak pula, tapi memang sehari dua ini badannya cepat berasa letih.

Dia toleh ke luar tingkap. Bunyi hujan lebat yang menimpa zink rumahnya bingit kedengaran. Lantas dia merapatkan tingkap yang sedikit terbuka untuk mengelakkan daripada tempias menerjah masuk.

Tiba-tiba TOKKK.. TOKKK.. TOKKK..

Kedengaran pintu diketuk dengan kuat. Solihin kaget. Fikirnya siapa pula yang datang malam-malam buta begini.

Lantas dia membuka pintu, namun sekali lagi dia hairan kerana sebaik sahaja pintu dibuka langsung tiada sesiapa di situ. Puas dia meninjau ke kiri ke kanan, satu bayang umat manusia pun tidak kelihatan.

Mungkin perasaan aku saja agaknya, getusnya sambil mengunci pintu. Dia sambung duduk di sofa sambil matanya khusyuk melihat siaran rancangan di kaca TV.

Bila difikirkan semula timbul rasa menyesal kerana tidak mengikut ayah dan ibunya ke majlis kenduri di rumah pak ciknya yang terletak di pekan Kuala Kangsar tadi. Kalau tidak pasti dia tidak berseorangan.

Solihin toleh jam yang tergantung di dinding. Sudah hampir 1.30 pagi. Dia berharap agar ayah dan ibunya cepat pulang. Entah kenapa rasa takut menyelubungi segenap sanubarinya.

Apa yang dibuat langsung rasa tidak kena. Sekejap dia duduk, sekejap dia bangun, namun dia tetap berasa resah dan tak keruan, seperti ada sesuatu yang bermain di benaknya ketika itu.

Dia selak helaian buku tulis di meja berdekatan. Lega! Nasib baiklah dia sempat siapkan kerja sekolah tadi jika tidak terpaksalah dia berjaga sampai larut malam.

Bila difikirkan semula ada juga kebaikannya kerana tidak mengikut ayah dan ibunya sebab dia tahu sangat sikap mereka. Kalau sudah berjumpa dengan saudara mara pasti ada banyak cerita dibualkan. Silap haribulan awal pagi baru mereka sampai ke rumah.

Solihin usap perutnya yang berkeroncong lapar. Dalam hati dia berdoa agar mereka ada membawa pulang sedikit juadah untuknya di rumah, jika tidak terpaksalah dia masak mi segera untuk alas perut. Sedang otaknya ligat berfikir sambil menanti kepulangan ayah dan ibunya, tiba-tiba.

TOKK… TOKKK… TOKKK

Sekali lagi kedengaran pintu diketuk dengan kuat. Kali ini bunyinya jelas kedengaran kerana hujan di luar sudah beransur reda.

Mungkin mereka sudah balik agaknya, getusnya dalam hati. Sebaik sahaja pintu dibuka sekali lagi dia hairan. Seperti sebelumnya tidak nampak kelibat sesiapa pun di luar. Pelik! Tak mungkin dia salah dengar kerana bunyi ketukan tersebut cukup kuat sehingga mengejutkan lamunannya.

Baru sahaja dia hendak menutup pintu tiba-tiba terdengar bunyi suara batuk dan berdehem, lantas dikuaknya pintu kembali. Jelas kelihatan seorang lelaki berpakaian kemeja lusuh sedang berjalan di depan rumahnya.

Laa…Pak Andak ke! Saya ingatkan siapalah tadi.”

Lelaki separuh abad itu tidak menjawab. Matanya liar memandang sekeliling dan raut wajahnya pula seakan gelisah seperti mencari sesuatu.

Beri aku segelas air, haus pula rasanya,” katanya dengan suara sedikit garau.

Solihin bergegas ke dapur mengambil segelas air. Sebaik sampai terus diberikannya kepada lelaki tersebut.

Hampir setengah gelas juga air itu diteguknya sebelum meletakkan gelas berkenaan berhampiran Solihin.

“Pak Andak dari mana malam-malam ini?” Tanya Solihin sambil mengusap mukanya.

“Aku dari kebun. Nak balik tapi hujan lebat,” katanya garau.

Solihin pandang lelaki itu dengan seribu persoalan. Tak pernah lagi rasanya dia dengar orang di kampungnya pergi ke kebun pada waktu malam, biasanya mereka keluar waktu pagi dan sebelum Asar sudah pulang ke rumah.

“Kenapa pula tengah malam macam ini baru pulang Pak Andak? Lewat sangat dah ini,” tanya Solihin lagi.

Lelaki yang dipanggil Pak Andak itu memandangnya dengan wajah serius. Nampak seolah dia tidak selesa dengan pertanyaan tersebut.

Aku nak balik awal tadi tapi hujan lebat. Lepas tu bila dah gelap susah pula nak cari jalan keluar,” jawab lelaki tersebut sambil memicit-micit dahinya.

Tidak banyak yang dibualkan mereka berdua. Walaupun banyak yang ingin ditanyakan Solihin, namun mulutnya seakan terkunci.

Lelaki yang digelar Pak Andak itu pula lebih banyak mendiamkan diri. Dia hanya menjawab jika ditanya. Selebihnya diam membatu sambil resah memandang sekeliling.

Sedang fikirannya menerawang memikirkan situasi tersebut, tiba-tiba lelaki itu meminta diri untuk pulang.

Aku balik dululah, hujan pun dah berhenti ini, katanya dengan tergesa-gesa sambil melangkah meninggalkan Solihin.

Belum pun sempat Solihin membuka mulut, lelaki tersebut sudah hilang di dalam gelap malam. Dia lantas mengambil gelas yang diberikan kepada lelaki itu sebelum meletakkan di dapur. Dan sebaik sahaja dia ingin menutup pintu, matanya terlihat cahaya lampu kenderaan menuju masuk ke pekarangan rumahnya.

“Assalamualaikum” Suara ayahnya dari kenderaan sebaik sahaja enjin kenderaan yang dinaikinya dimatikan.

“Waalaikumsalam” Jawab Solihin sambil tercegat di muka pintu.

Solihin segera menyambut bungkusan makanan yang dijinjing ibunya. Setelah menutup pintu dia lantas meletakkan bungkusan makanan itu di atas meja.

“Kenapa emak lama sangat di rumah Mak Teh?”, Tanya Solihin sambil mengambil pinggan kosong yang tersusun di rak berhampirannya.

Sebenarnya kami dah lama sampai tadi, tapi tiba-tiba dapat pula berita tergempar. Eh, kamu tahu tak Pak Andak kamu dah meninggal dunia sekejap tadi?” Tanya ibunya dengan suara sedikit kuat.

Solihin tergamam. Nasib baik pinggan yang dipegangnya tidak terlepas jatuh ke lantai.
“Errr. Bila pula Pak Andak meninggal mak?” Tanyanya inginkan kepastian.

Malam ini tadi. Kata Mak Andak kamu lepas Zuhur tadi dia masuk ke kebun selepas itu sampai ke Isyak masih tak muncul-muncul.”

“Orang kampung carilah di kebun masa hujan lebat. Jumpa Pak Andak kamu jatuh di sana. Memang dah ajal dia,” kata ayah panjang lebar.

Serta-merta Solihin terdiam. Tidak tahu bagaimana dia ingin memulakan cerita menerangkan sendiri apa yang terjadi tadi.

Tiba-tiba badannya menggigil dan berasa seram sejuk apabila terpandangkan baki minuman dalam gelas di meja berhampirannya. Iya, itulah minuman yang diminum oleh Pak Andaknya tadi.

Kisah ini telah disiarkan diakhbar Mingguan Malaysia pada 9 Julai 2023 . Imej janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!