
Biarpun sudah 20 tahun berlalu, namun tekak lelaki berusia lebih separuh abad itu masih terasa keenakan nasi goreng daging yang dimakannya ketika menetap di sebuah kampung di Pantai Timur..
Rasa, tekstur dan aroma nasi goreng daging itu cukup sempurna bagi Zam (bukan nama sebenar) dan dia tidak kisah untuk makan menu sama pada setiap hari.

Begitu pun, ada kisah seram yang membelenggu warung itu dan dikaitkan dengan kematian seorang pemuda di kampung tersebut.
Akibatnya, kedai makan yang hanya dikenali sebagai warung Mak Jah itu dibakar oleh penduduk kampung kerana mengaitkan pemiliknya dengan ilmu hitam.

Membuka bicara, Zam berkata, dia pertama kali makan di warung itu pada tahun 1999 selepas berpindah ke kawasan tersebut.
“Memandangkan saya baharu berpindah di situ, maka saya mahu meninjau kawasan sekitar dan berkenalan dengan penduduk kampung.

Saya kemudian terlihat warung Mak Jah yang ketika itu dipenuhi orang ramai yang sedang menjamu selera.
“Saya yakin pasti kedai itu sedap dan tanpa berfikir panjang terus mencuba menu yang disajikan di warung tersebut,” kata Zam.
Nasi goreng daging menjadi menu paling laris di warung kecil itu. Selepas mencuba menu tersebut, Zam terkejut kerana tidak pernah makan nasi goreng daging seenak itu.

Rasa seperti masakan ibu kita sendiri, namun jauh lebih enak. Tukang masaknya adalah Mak Jah sendiri.
“Dia memberitahu bahawa menu tersebut adalah signatur di warungnya yang merupakan resepi turun-temurun,” kata Zam.
Sejak itu, Warung Mak Jah menjadi ‘port’ makan paling disukai Zam selama bertahun-tahun tinggal di situ.

Namun pada 2003, Zam ditukarkan ke jabatan lain dan perlu berpindah ke ibu kota.
Ketika itu, Zam terfikir bahawa dia pasti akan merindui masakan di Warung Mak Jah kerana mungkin sukar menikmati juadah seenak itu di bandar.
Sebelum berpindah ke Kuala Lumpur, Zam mendapat tahu bahawa ada yang tidak kena dengan Warung Mak Jah sehingga menjadi perbualan penduduk kampung.
Kekecohan timbul selepas salah seorang pemuda di kampung itu yang dikenali sebagai Din dikatakan ternampak Mak Jah melakukan satu upacara pelik di kawasan hutan berdekatan warungnya.

Upacara itu juga melibatkan darah yang banyak, dipercayai darah manusia. Din terus memaklumkan perkara itu kepada penduduk kampung khususnya pelanggan tetap Mak Jah.

Selepas insiden itu, Din dikatakan mula mengalami kejadian aneh seperti sering bermimpi tubuhnya dicincang oleh seorang wanita menyerupai Mak Jah. Tidak lama kemudian, Din ditemui meninggal dunia secara tiba-tiba di rumahnya.

“Orang kampung mulai mengaitkan Mak Jah dengan ilmu hitam sebagai pelaris, bahkan ada yang memberitahu bahawa nasi goreng daging Mak Jah itu barangkali dimasak dengan menggunakan daging manusia.
“Beberapa hari selepas memulakan tugas di Kuala Lumpur, saya mendapat maklumat bahawa warung Mak Jah sudah pun dibakar oleh penduduk kampung.

Mak Jah bagaimanapun tiada di warungnya ketika kejadian dan penduduk kampung percaya dia sudah melarikan diri dan hilang entah ke mana,” katanya.

Biarpun masih terkenang keenakan masakan Mak Jah, namun Zam berasa seram sejuk apabila teringat kejadian yang menimpa Din dan kebarangkalian termakan daging manusia.

“Apa-apa pun, saya tidak tahu kisah itu benar, kebetulan atau cuma satu kisah dongeng bagi menakut-nakutkan penduduk kampung,” ujar Zam sebelum mengakhiri bicara.
