
Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
USIA muda merupakan zaman kita diwajibkan ke sekolah untuk belajar membaca,menulis dan mengira dan ia fasa yang penting untuk menentukan masa depan kerjaya yang menjadi punca rezeki seseorang.

Kisah Mitos kali ini mengisahkan seorang lelaki berusia lebih setengah abad berasal dari sebuah negeri di utara yang menderita kerana taksub dengan ilmu pengasih yang dipelajari selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) pada penghujung 1980an.
Menurut Shahril Ali,53,hati muda sememangnya membuak-buak bukan sahaja untuk menuntut ilmu akademik malahan ilmu pengasih dan penunduk bagi membolehkan hajat di hati mudah dimakbulkan.

Zaman muda atau zaman rock metal masing-masing kawan bila bersembang mesti tidak hendak kalah dalam pelbagai topik termasuk pelajaran mahu pun perempuan.
“Masalahnya dalam bab memikat perempuan yang disebut awek pada era itu, kalau kita sendiri muka tidak berapa kacak maka banyak lebih kepada sembang kosong dan bergebang semata-mata,”katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Selangor baru-baru ini.

Shahril berkata, pada satu hari ketika berbual perkara merapu sambil bermain gitar di bangsal,seorang rakan memberi idea untuk mereka menuntut ilmu pengasih dari seorang tua yang handal dalam ilmu-ilmu keduniaan di kampung sebelah.
Katanya lagi, orang tua yang berasal dari tanah seberang itu telah lama menetap dan berkeluarga dengan rakyat tempatan.

“Saya namakannya dia sebagai Wak Misran sahaja. Beliau terkenal kerana pernah melerai pergaduhan melibatkan beberapa orang samseng seorang diri dengan ilmu batin tanpa perlu mengeluarkan peluh.

Kesemua samseng yang dipegangnya menangis dan meraung seolah dicengkam makhluk perkasa.Kisah yang menjadi lagenda bandar itu menyebabkan kami nekad menuntut ilmu dengannya,”katanya.
Shahril berkata, pada hari yang ditetapkan iaitu pada Khamis malam Jumaat selepas solat Maghrib,dia dan dua rakannya Samad dan Remy menaiki motosikal masing-masing menuju ke teratak Wak Misran kira-kira 3 kilometer dari kampung mereka.

Ketika sampai ke teratak Wak Misran ceritanya lagi, mereka disambut lolongan anjing hitam yang tiba-tiba lalu di hadapan mereka.
“Remy yang berasa gentar tiba-tiba bersuara dan mencadangkan kami membatalkan niat untuk menemui Wak Misran.

Kata Remy dia tidak sedap hati, kerana bimbang ada ‘gangguan’ makhluk tidak kelihatan yang mungkin dilihat anjing hitam tersebut,” katanya.
Namun jelas Shahril lagi, beliau berjaya memujuk Remy untuk tidak pulang dengan mengatakan setiap perjuangan memerlukan keberanian.

Sedang mereka kecoh-kecoh di luar rumah katanya lagi, tiba-tiba pintu rumah Wak Misran ternganga dan terpacul orang tua itu berlenggeng berkain pelikat sambil mempelawa kami masuk.
“Setelah masuk dan duduk di kerusi rotan berkusyen, saya pun menyatakan hasrat kehadiran kami bertiga malam itu.

Wak Misran ketawa dan berkata, dia sudah tahu niat kami datang ke rumahnya.Ini membuktikan beliau bukan calang-calang orangnya,” katanya.
Orang tua berusia lebih 60 tahun itu menjelaskan, ilmu pengasih yang diajarnya mempunyai risiko tersendiri jika gagal atau pun berjaya.

Shahril berkata, Wak Misran memberi sekeping kertas dan pensil kepada kami dan mengarahkan ayat-ayat yang disebut disalin.
“Setelah menyalin ayat tersebut kami diarahkan menghafalnya apabila pulang nanti.

“Selepas ayat tersebut dihafal dan nama bakal kekasih diseru bersama,kami diminta berpuasa tiga hari berturut-turut sama ada bermula Isnin hingga Rabu atau Khamis hingga Sabtu,”katanya.
Selepas melayan Wak Misran bersembang dan berbicara tentang pantang larang ilmu pengasih tersebut hingga pukul 12 tengah malam Shahril berkata,mereka pun pulang dengan hati berbunga-bunga terbayang bakal kekasih masing-masing.

Antara pantang-larangnya jelas Shahril,ilmu pengasih tersebut tidak boleh diamalkan untuk berbuat maksiat dan kami diarahkan untuk memperisterikan gadis yang disebut dan dimaksudkan dalam ayat tersebut.

Pada Isnin minggu berikutnya Shahril berkata, dia telah memilih seorang gadis cantik berumur setahun muda daripada dirinya untuk dikenakan ilmu tersebut.

“Orang muda memang tidak sabar untuk membuktikan ilmu yang dipelajari menjadi atau tidak. Gadis yang bernama Ain itu memang cantik dan tinggal tidak jauh dari rumah saya.
Setelah saya berjaya selesai puasa tiga hari dan membaca ayat yang diarahkan Wak Misran. Ain telah memberi tindak balas yang mengejutkan dengan menghantar surat melalui rakannya.

“Dalam surat tersebut Ain meminta saya bertemu dengannya di sebuah taman bunga di pekan berhampiran.Tiba-tiba saya menjadi cuak dan bimbang dengan tindak balas ilmu tersebut,” katanya.
Ujar Shahril lagi,menjelang pertemuan dengan Ain jantungnya berdebar-debar kerana bakal bertemu dengan gadis cantik sedangkan dirinya tidaklah sekacak mana.

Semasa pertemuan yang dijadualkan Shahril berkata,Ain memang sudah jatuh cinta dengannya hingga menyebabkan dirinya menjadi takut dan bimbang untuk membina ikatan percintaan.

“Ain masa itu masih di tingkatan empat dan dia sudah mabuk cinta hingga mengajak saya berkahwin dengannya,sedangkan saya baru habis SPM dan masih menunggu keputusan,”katanya.
Setelah berbincang dengan Remy dan Samad,Shahril berkata,dia mencadangkan kepada Ain untuk memberi masa tiga tahun sebelum mereka berumahtangga.

Bagi mengumpul wang, Shahril berkata dia memohon kerja di sebuah kilang dan Ain meneruskan pengajian hingga peringkat SPM.
“Berlaku kisah memilukan,saya terpisah dengan Ain yang tinggal bersama keluarga ayahnya di Johor untuk bekerja sementara dia menunggu keputusan SPM.

“Saya menerima khabar menyedihkan tiga bulan selepas Ain ke sana apabila dia memberitahu dia dipaksa keluarga untuk berkahwin dengan seorang jurutera di Johor.Ini bermakna saya gagal memperisterikan Ain,maka bermulalah episod duka dalam hidup saya,”ujarnya.

Setelah Ain bernikah dengan jurutera tersebut, Shahril berkata hidupnya menjadi tidak keruan seperti orang yang terkena sumpahan.
Walaupun masih bekerja seperti biasa Shahril berkata,setiap hari tubuhnya tidak bermaya kerana tidak cukup tidur.

“Lebih memeritkan Ain hadir dalam mimpi saya setiap hari dalam keadaan menangis. Saya tidak memahami maksud mimpi tersebut kerana beranggapan Ain sepatutnya gembira setelah berkahwin.

Zaman itu bukan macam zaman sekarang ada aplikasi whatsApp dan media sosial. Kalau hendak berhubung hanya dengan surat atau telefon rumah,maka segala perkembangan seseorang memang sesuatu yang sukar diperolehi,”katanya.
Kesan melanggar pantang larang kerana tidak berkahwin dengan Ain jelas Shahril, akhirnya memakan diri selama lebih 10 tahun.
Ilmu pengasih tersebut jelasnya lagi, menyebabkan dia tidak lagi berminat dengan gadis selain Ain yang kini menjadi milik orang lain.

“Bayangkan, jika saya memandang perempuan lain akan ternampak seperti muka Ain bukan muka perempuan tersebut. Keluarga saya pun pelik kerana saya tidak mempunyai teman wanita lain selepas Ain.
“Akhirnya derita akibat melanggar pantang terubat apabila saya berjumpa seorang ustaz yang pandai mengubat orang yang disihir semasa saya berusia 28 tahun.

“Saya diminta mengamalkan bacaan Asma Al Husna setiap hari selepas solat.Ustaz juga meminta saya berazam melupakan Ain dan mencari jodoh dengan cara yang diredai agama.
“Alhamdullillah,saya berjaya melupakan Ain setelah lebih sedekad bermimpi dan dihantui wajahnya dalam mimpi dan sedar.
“Hikmah kepada kejadian ini,Remy dan Samad tidak berani menggunakan ilmu pengasih tersebut walaupun sekali,setelah mereka melihat saya seperti ayam berak kapur setiap hari.
Apa yang saya bimbangkan jika Ain yang masih mengingati saya setiap saat hingga kini akibat ilmu pengasih tersebut,”ujarnya mengakhiri pertemuan.
Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Imej janaan AI.
