MMToon

DIGANGGU BISIKAN SERAM MAK ‘GUARD’ KILANG

Oleh SAIRUL ZAMRI MISRANI

SEBUT sahaja mengenai kilang, pasti rata-rata tahu mengenai waktu bekerjanya iaitu 24 jam sehari.

Kebiasaannya, waktu bekerja di kebanyakan kilang dibahagi kepada dua atau tiga syif termasuk pagi, petang dan malam.

Bercerita kepada Panorama, Anis (bukan nama sebenar) merupakan antara anak muda yang tidak malu dan pernah bekerja di kilang selepas tamat Sijil Pelajaran Malausia beberapa tahun lalu.

Kata Anis yang juga anak sulung dalam keluarga, dia sebenarnya mahu mencari pengalaman dan wang simpanan seandainya ditawarkan melanjutkan pengajian kelak.

Justeru, Anis tanpa segan silu dia dan beberapa rakannya memohon jawatan kosong sebagai operator pengeluaran di salah sebuah kilang bertempat di Senai, Johor.

“Alhamdulillah Allah permudahkan urusan kami bertiga dan kami boleh mula bekerja selang beberapa hari selepas itu.

“Cuma cabaran bagi saya adalah apabila saya diletakkan di syif malam secara tetap berseorangan, manakala dua lagi rakan di sebelah pagi.

“Tetapi saya tidak kisah sangat, kerana kerja tetap sama, cuma yang membezakan gelap dan terang di luar kilang sahaja,” katanya.

Beritahu Anis yang kini baharu sahaja tamat pengajian di universiti dan sudah bekerja di sebuah bank, dia kerap kali juga dipesan rakan sekerja yang lebih senior untuk berhati-hati jika bekerja pada syif malam.

Ujar gadis tinggi lampai berkulit kuning langsat itu lagi, dia pada awalnya menerima nasihat tersebut tetapi tidak mahu terlalu memikirkan sampai menggangu fokus pada kerjanya.

“Dua minggu pertama kerja, alhamdulillah semuanya okey. Saya mula belajar banyak perkara termasuk komponen-komponen elektronik yang digunakan serta fungsinya.

“Saya juga ada kenal seorang kawan baharu dari Indonesia yang merupakan seorang janda anak dua yang sudah tiga tahun bekerja di kilang tersebut.

“Novi (bukan nama sebenar) juga selalu berpesan kalau mahu ke tandas atau solat di surau lewat malam jangan bersendiri dan dia boleh temankan,” katanya.

Cerita Anis, ada satu hari, kerjanya terlalu banyak sampaikan tidak sempat solat Isyak dan terpaksa melakukannya lewat sedikit sekitar pukul 1 pagi.

Ketika itu, Novi tidak bekerja kerana ada urusan yang perlu diuruskan di luar Johor.

“Jadi bila dah lambat solat, saya terus bergegas ke surau di aras sama dengan production area (kawasan pengeluaran), namun tempatnya yang sedikit jauh ke belakang dan sedikit gelap.

“Masa sedang berjalan seorang diri dan sambil melihat media sosial di telefon pintar, saya dengar dengan jelas suara seorang perempuan seakan wanita tua sayup-sayup memanggil nama saya.

“Anis..Anis..Anis. Tiga kali dia memanggil. Bila saya toleh ke belakang dan kawasan sekeliling
tiada sesiapa pula. Jadi saya teruskan berjalan sampailah ke surau.

“Pada ketika itu saya mula fikir bukan-bukan dan mula teringat pesan rakan sekerja lain sebelum ini. Masa tengah buka kasut sebelum melangkah masuk ke surau, sekali lagi saya dengar nama disebut dan kali ini siap ditiup di sebelah telinga kiri saya,” katanya.

Ujarnya ketika itu, dia sudah mula pelik dengan apa yang berlaku tetapi masih memberanikan diri dan malas nak fikir apa.

“Jadi dia pun masuklah ke surau yang boleh memuatkan hampir 10 muslimat itu dan segera mengambil wuduk serta mula solat.

“Bayangkan ketika saya sedang di rakaat terakhir dan sedang membaca tahiyat akhir, saya dengar sekali lagi suara memanggil nama saya dengan jelas dan kali ini garau seram bunyinya.

“Waktu itu saya memang betul-betul tersentak dan solat sudah mula tidak kusyuk. Cepat-cepat saya habiskan solat dan beri salam.

“Ketika saya memberikan salam di sebelah kiri, jauh di sudut belakang surau saya nampak ada sebuah sosok wanita tua lingkungan 50-an lengkap berpakaian uniform guard (pengawal keselamatan) sedang duduk membelakangi saya berdekatan pintu surau.

“Persoalannya siapa wanita tersebut sedangkan di dalam surau cuma saya bersendiri. Saya fikir mungkin wanita tersebut pengawal keselamatan kilang tempat saya bekerja dan nak solat juga seperti saya,” ujarnya seram.

Jelas Anis yang ketika itu baharu menginjak usia 18 tahun, dia memberanikan diri untuk keluar dari surau tanpa melihat wanita tersebut walaupun terpaksa melepasinya dahulu.

“Masa saya toleh sekali lagi sosok wanita tersebut sudah hilang. Saya pun lega dan cepat-cepat beransur keluar untuk ke kafe.

“Ketika sedang minum, ada beberapa kawan perasan dan menegur muka saya kelihatan pucat seperti demam. Saya sempat cerita apa yang berlaku secara ringkas.

“Rentetan daripada bisikan tersebut, saya jatuh demam tiga hari dan tidak dapat bekerja. Ketika itu juga, saya baru dapat tahu bukan saya sahaja yang ‘ditegur’ makcik tersebut tetapi ramai juga sudah kena,” katanya.

Di hujung cerita, apa yang saya dengar, mak cik itu pernah bertugas di kilang tersebut sebelum ini sebelum menemui ajal dalam sebuah kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja beberapa tahun lalu.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad bertarikh 18 Jun 2023. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!