Oleh SAIRUL ZAMRI MISRANI
ADA pelbagai kerja dalam dunia ini. Setiap daripadanya memerlukan komitmen dan tanggungjawab tersendiri.
Bercakap soal kerja, ada profesion yang menuntut untuk seseorang bekerja syif iaitu sebelah siang dan malam hari.
Itu apa yang dilalui Ridz (bukan nama sebenar) yang ketika ini bertugas sebagai seorang anggota polis di sebuah daerah di Johor Bahru.
Kongsi anak jati kelahiran Pulau Pinang itu, dia baharu sahaja tamat kursus asas kepolisan selama enam bulan dan terus diposting (dihantar) ke Kota Tinggi untuk melapor diri di sana.
“Alhamdulillah habis kursus dan mendapat pentauliahan, saya dan rakan-rakan sejawat mula mendapat tempat bertugas masing-masing.
“Biasalah memang sedih dan gementar ketika itu. Alhamdulillah saya ditempatkan di selatan tanah air.
“Pun begitu saya bersyukur kerana masih lagi dekat dengan keluarga kerana masih lagi boleh memandu kereta atau menaiki bas untuk pulang ke kampung berbanding ditempatkan di Sabah atau Sarawak,” katanya.
Meneruskan perbualan, Ridz memberitahu, tahun pertama berkhidmat, dia sebagai anggota baharu mesti bekerja syif dan kesemuanya ada tiga syif.
Tiga syif tersebut adalah pada sebelah pagi bermula pukul 8 pagi, diikuti 4 petang dan 12 tengah malam yang mana setiap syif dibahagikan kepada lapan jam bekerja.
“Jadi sebagai anggota biasa, saya akur dan okey dengan syif tersebut. Enam bulan pertama bekerja, memang saya banyak dapat syif tengah malam yang mana seorang anggota akan ditempatkan di balai polis untuk bertugas.
“Ada juga anggota yang akan ‘stand by’ atau meronda pada syif sama termasuk yang menjaga sekatan jalan raya,” katanya.

Akui Ridz, ketika awal-awal bertugas, semangatnya lain macam dan langsung tidak kisah jika diletakkan di syif tengah malam sampailah ke awal pagi di balai.
Pun begitu, ada satu peristiwa yang membuatnya ‘trauma’ dan takut setiap kali dijadualkan bekerja syif di tengah malam.
“Balai polis tempat saya bekerja ni sudah lama. Lebih 50 tahun dibina. Lokasinya juga agak sedikit jauh dari pekan atau bandar.

“Tetapi itu tidak menjadi masalah buat saya. Bagi saya, jalankan tanggungjawab sebaik mungkin kerana ia satu daripada ibadah dan amanah.
“Cumanya ada satu peristiwa ketika salah satu malam saya bertugas berseorangan di balai. Saya syak anggota sebelum ini juga pernah mengalaminya.
“Ketika itu saya sedang menulis report (laporan) dan jam dinding tepat pukul 1.30 pagi. Maksudnya baharu sejam tiga puluh minit syif saya bermula.
“Ketika itu saya dengar dengan jelas pintu balai dibuka dan salam diberi. Saya jawab seperti biasa dan katakan apa yang boleh saya bantu.
“Tetapi bila saya mendongak daripada menulis, tiada siapa di pintu tersebut. Sedangkan saya dengar dengan jelas suara perempuan beri salam yang kedengaran sedikit garau,” katanya.
Enggan ambil pusing dan fikir itu cuma halusinasinya, Ridz sambung menulis laporan seperti biasa dan kali ini ‘diganggu’ sekali lagi tetapi dengan cara lain.
Kata anak bongsu daripada lapan beradik berusia 25 tahun itu, dia mendapat panggilan telefon dan menjawab seperti biasa sambil memperkenalkan diri dan menawarkan bantuan.

Bayangkan, jelas di halwa telinga kanan saya, suara garau sama memberi salam berulang kali. Seram dan terus naik bulu roma saya ketika itu.”
“Saya terus bertanya apa yang boleh dibantu, tetapi kali ini disahut dengan hilaian tawa dan menangis teresak-esak meminta tolong di hujung talian,” ujarnya.
Seram dan takut dengan apa berlaku, Ridz meletakkan panggilan dan terus keluar dari balai tersebut untuk ke pagar utama.
Di kesuraman pagi berembun itu, sekali lagi jelas dengan mata kepala Ridz satu sosok tubuh tinggi menyeramkan dengan badan penih berbulu kehitaman tidak terurus sambil mata merah dan melambai-lambai ke arahnya.
Tiga hari Ridz jatuh demam dan dikatakan seorang anggota lain yang baharu habis meronda menjumpainya jatuh pengsan dengan muka pucat.
Mengikut cerita orang kampung, sosok tubuh wanita tua yang dilihat Ridz dan beberapa anggota serta penduduk kampung lain itu merupakan hantu raya atau lebih dikenali sebagai genderuwo dalam bahasa Jawa.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad bertarikh 2 Julai 2023. Ilustrasi janaan AI