Oleh GHAZALI ALIAS
MULANYA hati wanita itu tidak pernah terlintas untuk menyukai bekas kekasihnya yang pernah belajat di sekolah yang sama.
Padanya, pemuda itu hanya rakan satu kelas yang dianggap teman biasa sama seperti pelajar lelaki lain.
Namun, semuanya berubah sekelip mata, hatinya mula berbunga-bunga terhadap pemuda itu yang tidak tahu dari mana puncanya.
Cerita Amelia (bukan nama sebenar) tidak pernah ada apa-apa insiden yang membuatkan dirinya jatuh hati terhadap pemuda itu tetapi dia sendiri tidak tahu kenapa boleh jatuh cinta.

Awalnya saya menganggap dia sebagai seorang lelaki yang menjengkelkan kerana sering mengusik dan ‘mengayat’ ketika di dalam kelas.”
“Dia pernah beberapa kali mengatakan hasrat hatinya, mula-mula saya menolak dengan cara baik, namun lama kelamaan keeana terlalu kerap kata-kata saya menjadi kasar,” katanya ketika dihubungi K2! baru-baru ini.
Tambahnya, melihat perubahan drastik dirinya yang tiba-tiba menjadi angau kepada lelaki itu turut membuatkan rakan-rakan lain menjadi pelik.
Sepanjang menjalin hubungan dengan pemuda yang dikenali sebagai Amir (bukan nama sebenar), wanita asal Tamparuli, Sabah itu mengakui bahawa dia sering berdepan pelbagai kejadian aneh.
Awalnya dia kerap bermimpi didatangi seorang wanita berbaju putih lusuh dengan rambut panjang yang berdiri disampingnya ketika sedang tidur.
Kemudian, dirinya kerap merasakan ada yang memerhatikannya semasa berada di rumah atau di luar.
Malah, setiap malam, kelibat wanita yang ada dalam mimpinya juga sering kelihatan di tingkap bilik.
“Semua itu berlaku ketika saya bersendirian tanpa Amir, namun apabila dia ada, semuanya seolah terlupakan dan pandangan dan fikiran hanya kepada dia.
“Saya pernah bercerita dengan seorang kawan dan dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena atau mungkin Amir telah menggunakan ilmu tidak baik tetapi semua itu tidak saya endahkan,” ujarnya.
Kongsi Amelia lagi, hal aneh yang dirasakan semakin teruk hingga pernah sekali dirinya terasa seperti ditindih ketika tidur dan apabila membuka mata wanita dalam mimpinya ada di atas badannya.
Situasi itu membuatkan dia menjerit bagi histeria hingga membangunkan kedua ibu bapanya yang bimbang akan keadaan wanita itu.
Oleh kerana perkara seumpama itu kerap berlaku, bapanya memutuskan untuk membawa Amelia untuk mendapatkan rawatan ‘orang pintar’.
“Saya masih ingat ketika itu kami bertemu seorang tok batin di kampung sebelah yang dikenali sebagai seorang pengamal perubatan tradisonal.
“Semasa bertemu dengannya, atok mengatakan saya telah terkena ilmu pengasih iaitu minyak dagu,” ceritanya lagi.
Hal itu membuatkan Amelia terkejut dan dikepalanya terlintas ia adalah perbuatan Amir kerana lelaki itu yang pada ketika ini rapat dengan dirinya.
Atok juga memberitahu bahawa wanita yang Amelia sering mimpi dan rasakan kehadirannya adalah jin pendamping minyak tersebut yang ditugaskan untuk mengikat hatinya.
Amelia kemudian menjalani rawatan untuk membuang ilmu minyak dagu yang terkena pada dirinya dan dia mengakui bahawa ia menyakitkan.

Saya tidak ingat apa yang berlaku, cuma mak ada cerita bahawa saya seolah dirasuk dan ketika selesai memisahkan jin itu dari badan saya muntah teruk.”
“Dari mulut saya keluar pelbagai benda kotor seperti potongan rambut dan kuku manusia amag menjijikan,” katanya lagi.
Selepas daripada itu, Amelia tidak lagi merasakan kehadiran wanita berbaju putih tersebut dan dirinya menjadi lebih tenang.
Keesokkan harinya, semasa ke sekolah, dia cuba mencari Amir untuk cuba mendapatkan penjelasan, namun lelaki itu tidak hadir.
Malah, selama seminggu juga Amir tidak kelihatan di sekolah, hingga kami mendapat berita bahawa dia terkena penyakit misteri.
“Apabila mendengar berita itu saya seolah tahu apa yang berlaku kepadanya kerana atok mengatakan bahawa dia telah memulangkan jin tersebut kepada penghantarnya.
“Namun, saya tidak pernah menceritakan hal itu kepada sesiapa di sekolah kerana masih mahu menjaga aib Amir,” ujarnya.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI
