
Oleh RIZAM ZAKARIYA
PELUANG menghuni asrama ketika zaman persekolahan mungkin menjadi antara kenangan yang sukar untuk dilupakan.
Di samping pelbagai kenangan manis, ada juga kisah yang berlaku sehingga menyebabkan mereka yang pernah tinggal di asrama tidak mahu merasainya lagi.

Perkara dimaksudkan adalah pengalaman berhadapan dengan pelbagai kisah mistik dan seram yang sering dikaitkan dengan asrama pelajar.
Ada yang beranggapan ia sekadar kisah turun-temurun yang disampaikan oleh pelajar senior untuk menakut-nakutkan pelajar baharu.

Namun, ada juga kejadian seram yang benar-benar terjadi sehingga mengakibatkan mereka yang pernah melalui tidak dapat melupakannya sepanjang hidup mereka.
Perkara itu diakui sendiri oleh Amri (bukan nama sebenar) ketika dia memasuki sebuah sekolah berasrama penuh di Selangor kira-kira 25 tahun lalu.

Dia yang kini bertugas sebagai seorang guru berkata, kejadian tersebut berlaku ketika dia baru mendaftar sebagai pelajar tingkatan satu di sekolah berkenaan.
“Selepas beberapa bulan memulakan persekolahan di situ, bangunan asrama kami mengalami kerosakan disebabkan kejadian ribut sehingga menyebabkan bahagian bumbung rosak teruk.

“Sebagai penyelesaian jangka pendek, pihak sekolah mengambil keputusan untuk menjadikan sebuah blok bangunan lama sebagai asrama sementara untuk semua pelajar lelaki yang terlibat,” katanya.
Jelas Amri, sebaik semua pelajar menerima arahan untuk berpindah, beberapa cerita kurang enak didengar sudah mula sampai ke telinganya.

Jelasnya, berdasarkan cerita yang disampaikan oleh beberapa orang pelajar senior, bangunan lama berkenaan terletak di bahagian belakang kawasan sekolah, dan dikatakan agak ‘keras’.
Namun ujarnya, semua pelajar tiada pilihan, selain terpaksa menetap di blok tersebut buat sementara waktu bagi menunggu kerja membaiki bumbung asrama selesai sepenuhnya.

“Pihak sekolah memberi cuti khas bagi membolehkan semua pelajar terlibat membersihkan blok bangunan lama tersebut sebelum memindahkan barangan keperluan seperti katil dan tilam.
“Pihak sekolah turut mengadakan bacaan surah Yasin dan solat hajat bagi memohon keselamatan para penghuni selepas waktu solat maghrib daripada sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Jelas Amri lagi, saiz bilik di blok tersebut agak kecil dan hanya boleh menempatkan enam katil dua tingkat dan boleh diduduki 12 orang pelajar dalam satu bilik.
Tambahnya lagi, walaupun bacaan Yasin dan solat hajat telah dilakukan, namun kisah mistik yang disampaikan oleh pelajar senior itu masih bermain-main di pikirannya.

Jelasnya, dia dan beberapa rakan sebilik masih dihantui oleh kisah mistik berkenaan sehinggakan mereka sukar untuk melelapkan mata.
“Oleh kerana terlalu penat dengan kerja-kerja memindahkan barangan, saya akhirnya tertidur di katil yang terletak di tingkat atas.

Kira-kira pukul 2 pagi, saya terjaga daripada tidur dan sukar untuk melelapkan mata disebabkan berasa agak panas kerana kipas berhampiran katil saya rosak.
“Dalam keadaan cahaya yang samar-samar itu, saya terlihat seperti bayangan seorang wanita berdiri di bahagian kaki lima bangunan tersebut sambil menggerakkan kedua-dua tangannya, seakan-akan sedang menari.

“Pada masa sama, kedengaran seakan-akan suara wanita sedang melantunkan nyanyian sambil diiringi muzik tradisional,” katanya.
Jelasnya lagi, dalam keadaan ketakutan, dia mengejutkan semua rakannya yang berada di dalam bilik tersebut dan mereka seolah-olah tergamam selepas melihat kejadian itu.

Kata Amri lagi, perkara itu berlaku kira-kira lima minit sebelum alunan muzik terhenti dan kelibat wanita tersebut berlalu pergi.
“Akibat ketakutan, saya dan rakan-rakan hanya mampu membacakan doa dan ayat-ayat al-Quran untuk dijadikan pendinding daripada sebarang gangguan.

“Keesokan harinya, saya dan semua rakan-rakan di dalam bilik tersebut yang menyaksikan kejadian itu mengalami demam.
“Kami turut menceritakan perkara itu kepada pihak warden asrama sebelum kisah tersebut mula tersebar dalam kalangan penghuni asrama.

“Bagi mengelak daripada kejadian itu berulang, pihak sekolah menjemput seorang ustaz untuk membantu memulihkan semangat kami, selain melakukan ‘pendinding’ agar kejadian tersebut tidak berulang,” katanya.
Sebagai langkah tambahan katanya, pihak sekolah turut memasang bacaan ayat suci al-Quran menggunakan pembesar suara di pada waktu malam sepanjang tempoh mereka tinggal di blok asrama sementara itu.

Ujarnya, walaupun tiada lagi kelibat wanita tersebut muncul selepas itu, namun pengalaman menyaksikan kejadian mistik itu terus terpahat di dalam pikirannya dan rakan-rakan yang lain.
Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI
