
Oleh SAIRUL ZAMRI MISRANI
MENGGALAS tanggungjawab sebagai eksekutif pemasaran dan jualan di sebuah syarikat swasta memerlukan Zam (bukan nama sebenar) bekerja tanpa mengira masa.
Selain bertugas di luar berjumpa dengan pelanggan, kerjaya Zam juga sering masuk ke pejabat menyelesaikan kerja-kerja tertunggak.
Bercerita kepada Panorama, Zam yang berusia 35 tahun berkata, pejabatnya yang terletak di Kapar, Klang, Selangor sebenarnya baru sahaja menyertai syarikat tersebut sekitar tiga tahun lalu.
“Sejujurnya, saya memang jarang masuk ke pejabat. Boleh dikatakan saya hanya masuk ke pejabat sekali atau dua kali sahaja seminggu dan selebihnya memang berada di luar bertemu pelanggan.

Masuk ke pejabat pun kadangkala disebabkan urusan kerja yang tertangguh termasuklah mesyuarat bersama ketua jabatan,” katanya.
Meneruskan perkongsian, Zam memberitahu, ada waktunya dia akan menyiapkan laporan kerja sehingga lewat malam dan berseorangan tanpa rakan sepejabat.
Ujarnya, ketika awal-awal bekerja, semuanya baik-baik sahaja dan dia selesa bekerja meskipun terpaksa pulang lewat.
“Kalau hari saya bekerja itu tiada jumpa mana-mana pelanggan, saya akan masuk ke pejabat dan siapkan apa yang patut.
“Jadi, biasanya saya akan pulang lewat dan pernah balik hampir tengah malam kerana leka menyiapkan kerja,” ujarnya.
Pun begitu, sejak satu perkara tidak diingini berlaku terhadapnya, Zam nekad untuk tidak lagi pulang lewat sampai tengah malam.
Katanya, dia pernah diganggu dengan satu lembaga gemuk berwajah hitam dan berambut panjang ketika sedang asyik menyiapkan kerja di hadapan komputer.

Itu pengalaman misteri yang saya tidak akan pernah lupakan. Saya masih ingat ketika itu sekitar pukul 11 malam dan saya sedang sibuk menyiapkan laporan jualan bulanan.
“Hari saya diganggu itu adalah hari Jumaat yang mana keesokan harinya saya bercuti. Jadi, alang-alang bercuti esoknya, saya ambil keputusan untuk pulang lewat sedikit.
“Ketika sedang sibuk menaip, kerusi yang saya duduk tiba-tiba ditarik dengan kuat sehingga membuatkan saya hampir jatuh rebah ke lantai. Saya sempat lihat kiri dan kanan tetapi tiada apa-apa.
“Mulanya, saya fikir mungkin ada rakan sekerja yang singgah ke pejabat atau memang pulang lewat seperti saya. Tetapi hati saya kuat mengatakan memang saya seorang sahaja yang berada di pejabat ketika itu,” katanya.
Menyambung bicara, Zam memberitahu, pada mulanya dia malas ambil pusing dengan apa yang berlaku, tetapi akhirnya tidak tahan kerana diganggu berulang kali.
Kata Zam, tidak setakat ditarik kerusi, dia turut diketuk lembaga tersebut pada bahagian kepala dan belakang badan, selain ditiup pada kedua-dua belah telinga berulang kali.
“Masa mula-mula diusik, saya memang malas layan sebab fokus nak siapkan kerja. Tetapi bila dah melampau, saya pun mula naik angin dan membebel sendiri.
“Lampu di pejabat juga menjadi mangsa. Sekejap ditutup, sekejap dibuka. Jadi, kerja yang saya nak siapkan memang terganggu.
“Geram dengan apa yang dilakukan, saya menjerit kemarahan seolah-olah mengertak makhluk berkenaan untuk jangan kacau saya. Saya juga arahkannya untuk muncul dan tunjukkan diri jika betul berani,” tuturnya.
Jelas Zam lagi, beberapa minit memarahi dan seakan-akan hilang akal, dia sekali lagi diganggu lembaga besar tersebut.
“Jelas di depan mata, saya dapat lihat satu lembaga hitam berpakaian putih dengan rambut panjang dan mata merah merangkak melintasi saya.

Sambil merangkak, lembaga itu juga mendengus seakan-akan bersuara dan memarahi saya kembali. Kuku dan rambutnya yang panjang mengurai juga betul-betul menyeramkan.
“Paling saya ingat, sebelum lembaga tersebut menghilangkan diri, ‘dia’ sempat tertawa mengilain beberapa kali, sekali gus membuatkan saya tidak berfikir panjang sebelum cabut lari keluar dari pejabat,” katanya.
Akui Zam lagi, sejak itu, dia sudah tidak lagi pulang lewat sampai ke malam dan sanggup membawa kerja yang tertunda untuk disiapkan di rumah.
Zam juga ada mendengar daripada sumber terdekat lain bahawa pejabatnya itu merupakan bekas tapak rumah penjagaan warga emas dan ada kes pengasuh di situ menggantung diri dipercayai tertekan dengan kerjanya.
Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad bertarikh 17 September 2023. – Ilustrasi janaan AI
