
TATKALA terkenang kisah seram yang dialami semasa baru berkahwin dengan suaminya, Lan (bukan nama sebenar) kira-kira tujuh tahun lalu, jantung Siti akan berdegup kencang kerana segalanya masih segar dalam ingatannya.
Membuka bicara, Siti memberitahu dia diganggu ketika kali pertama bermalam di rumah ibu mentuanya yang terletak di sebuah kampung di Johor.

Ibu mentua Siti mendiami sebuah rumah usang yang terletak agak jauh dari rumah jiran-jiran lain. Disebabkan itu, Siti yang sememangnya seorang penakut bimbang sekiranya dia terpaksa tinggal seorang diri.
Ketika kejadian seram itu, semua ahli keluarga suaminya terpaksa pergi ke bandar untuk melawat bapa saudara Lan yang sakit tenat.

“Rumah bapa saudara Lan terletak kira-kira 40 minit dari rumah ibu mertua saya. Mereka (ahli keluarga Lan) mahu melawat bapa saudara sebaik sahaja selesai menunaikan solat maghrib.
“Memandangkan agak kepenatan, saya beritahu Lan mahu berehat sahaja di rumah.

“Biarpun pada mulanya agak bimbang, namun Lan meyakinkan saya bahawa tiada apa yang perlu saya dikhuatiri dan meminta saya tidur sahaja di rumah,” kata Siti.
Pada malam itu, selepas mandi dan menunaikan solat, mata Siti terasa ‘berat’ dan dia mahu terus tidur.

Ketika mahu mematikan lampu bilik, matanya tiba-tiba melihat kelibat seorang lelaki botak yang berjalan mundar-mandir betul-betul di tepi tingkap bilik tidurnya.
Jantung Siti mula berdebar, namun beberapa saat kemudian, kelibat itu tiba-tiba hilang.

“Saya fikir itu cuma mainan perasaan atau orang kampung yang kebetulan ada di situ. Saya terus mematikan lampu dan baring di atas katil.
“Namun, sebaik sahaja meletakkan kepala di atas bantal, saya melihat kelibat itu lagi di tempat sama.

“Kali ini, ia tidak lagi berjalan mundar-mandir, sebaliknya merenung tepat ke mata saya.
“Saya tidak dapat melihat wajahnya, saya hanya nampak kepalanya yang botak dan mata berwarna merah,” kata Siti.

Siti yang terlalu terkejut kemudiannya menjerit dengan kuat dan terus membuka lampu.
Kelibat itu terus hilang, dan Siti berlari keluar dari biliknya menuju ke ruang tamu.

“Saya terus keluar dari bilik dan tiba-tiba melihat kelibat mak ngah Lan yang sedang tidur di ruang tamu.
“Ujar mak ngah, dia juga agak keletihan dan memilih untuk berehat di rumah saja. Saya berasa lega apabila mengetahui tidak berseorangan dan terus menceritakan tentang perkara yang dialami kepadanya.

“Mak ngah kemudian menawarkan diri untuk menemani saya tidur di bilik sementara menunggu Lan dan ahli keluarga lain yang pulang ke rumah,” kata Siti.
Siti berbaring dan cuba untuk melelapkan mata. Namun selepas 30 minit, matanya masih segar dan ketika dia menoleh kepada mak ngah, dia melihat wanita itu sudah tertidur.

Siti yang masih ketakutan memegang erat tangan mak ngah sambil cuba memejamkan matanya.
Tidak lama kemudian, dia terdengar suara Lan dan ibu mentuanya yang sudah pulang ke rumah.

Jarum jam ketika itu menunjukkan pukul 1.30 pagi. Siti melihat mak ngah sudah tiada di sisinya, barangkali sudah keluar untuk sambung tidur di bilik tetamu.
“Sebaik sahaja melihat Lan, saya terus menceritakan kejadian seram yang berlaku kepada Lan.

“Namun, Lan memandang wajah saya dengan penuh kehairanan dan memberitahu bahawa mak ngah ada bersama mereka sekeluarga ketika melawat bapa saudara yang sakit.
“Wajah saya bertukar pucat dan mata terus memandang mak ngah. Mak ngah juga memberitahu bahawa dia bersama Lan dan ibu mertua saya sepanjang malam.

“Dia juga memakai pakaian lain dan berbeza dengan ‘mak ngah’ yang tidur bersama saya itu.
“Saya menggigil ketakutan dan meminta Lan menempah hotel kerana tidak mahu bermalam di situ,” kata Siti.
Keesokan paginya, Siti mendapat tahu bahawa rumah ibu mentuanya itu sememangnya berhantu.

Malah, ibu mentuanya juga pernah beberapa kali diganggu, sekali gus menyebabkan wanita itu memilih untuk tinggal bersama abang Lan di Pahang.
Rumah tersebut kini menjadi rumah ‘tinggal’ dan Siti sama sekali tidak boleh melupakan pengalaman menyeramkan itu.
