
Oleh RIZAM ZAKARIYA
HARI Raya Aidilfitri sememangnya saat yang dinanti-nanti oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia termasuklah di Malaysia.
Bagi Azri (bukan nama sebenar), Aidilftiri menggamit 1,001 kenangan manis yang tidak mungkin dilupakan tatkala dapat bertemu dengan sanak-saudara dan rakan taulan yang sudah lama tidak bersua muka.
Namun, di sebalik kemeriahan mengambut hari lebaran itu, ada satu kisah seram yang tidak mungkin dapat dilupakannya setiap kali menjelang Aidilfitri.
Cerita Azri, kejadian tersebut berlaku pada malam menyambut Aidilfitri kira-kira 25 tahun yang lalu ketika dia mengambut hari lebaran tersebut di kampungnya di Pahang.
Katanya, pada malam tersebut dia bersama beberapa rakannya bertungkus-lumus untuk membakar lemang sebagai juadah di pagi raya.
“Pada tahun tersebut, Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat dan pada malam sebelum hari raya, saya dan beberapa raya bergotong royong untuk membakar lemang di rumah seorang rakan kami.

Memandangkan pengumumkan berkenaan hari raya yang disiarkan di televisyen menyatakan Hari Raya Aidilfitri jatuh pada keesokan harinya, suasana menjadi agak kelam-kabut kerana kami terpaksa menyediakan bahan mentah untuk membakar lemang serta-merta.
“Selepas bahan mentah tersedia dan kayu api sudah dinyalakan, kami hanya dapat memulakan proses membakar lemang sekitar pukul 10 malam,” katanya.

Kata Azri lagi, sudah menjadi kebiasaan, proses membakar lemang menggunakan kayu api akan mengambil masa antara empat hingga lima jam sebelum lemang benar-benar masak.
Tambahan pula katanya, jumlah buluh lemang yang dibakar pada malam tersebut mencecah 100batang, menyebabkan tempoh masa yang diperlukan untuk menyiapkan keseluruhan lemang menjadi agak lama.

Walaupun terpaksa berpanas menghadap bara kayu api berjam lamanya, namun dengan semangat ingin menyambut Aidilfitri, mereka akhirnya berjaya menyelesaikan proses membakar lemang tersebut kira-kira pukul 3 pagi.
“Selepas mengambil bahagian masing-masing, saya pun mula beredar untuk pulang ke rumah dengan menaiki motosikal berseorangan.

Walaupun jarak antara rumah saya dan rumah rakan saya itu kira-kira tujuh kilometer dan terpaksa menempuh laluan kelapa sawit dan belukar, namun saya sudah terbiasa dengan keadaan tersebut.

“Cuma pada malam kejadian, ada perkara yang aneh berlaku apabila motosikal saya tiba-tiba terasa berat dan kelajuan juga menjadi semakin perlahan walaupun laluan tersebut rata dan tidaklah berbukit.

“Apabila enjin menjadi semakin berat, saya memberhentikan motosikal di tepi jalan bagi memeriksa sama ada berlaku kerosakan atau sebaliknya.

“Ketika itulah saya melihat ada kelibat lembaga berpakaian putih dengan rupa muka yang hodoh dan berambut panjang sedang bertenggek di belakang motosikal saya,” katanya.

Cerita Azri lagi, akibat terkejut dengan apa yang dilihatnya itu, dia terjatuh ke tepi bahu jalan dan ketika itulah dia melihat lembaga tersebut mula terbang dan mengilai sebelum menghilang di celah- celah pokok besar di kawasan belukar.
Tanpa berfikir panjang, dia terus menyambar motosikal yang masih berada di situ dan memecut laju menuju ke rumahnya sambil membacakan beberapa surah daripada al-Quran sebagai pendinding daripada terus diganggu makhluk tersebut.

Sebaik tiba di rumahnya, dia terus masuk berlari masuk ke dalam bilik tanpa mempedulikan lemang yang masih ada di dalam raga motosikalnya.
“Keesokan harinya, saya tidak dapat beraya kerana demam dan ia berlarutan selema beberapa hari sebelum semangat saya kembali pulih.

“Kejadian tersebut tidak pernah saya ceritakan kepada sesiapa termasuk ahli keluarga dan rakan- rakan sehingga ke hari ini.
“Sejak daripada kejadian itu, saya tidak pernah lagi keluar berseorangan pada waktu lewat malam kerana bimbang kejadian sama berulang kembali,” katanya.
Sehingga kini, setiap kali tiba malam hari raya, dia pasti akan teringat kejadian yang menyeramkan itu dan ia menjadi satu pengalaman yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI
