MMToon

DIGANGGU SAKA PESAKIT AYAH

Oleh GHAZALI ALIAS

MEMBESAR sebagai anak kepada pengamal perubatan menjadikan pemuda itu sudah terbiasa dengan hal ehwal berkaitan dunia mistik.

Hampir setiap hari, ramai orang akan meminta khidmat bapanya untuk mendapatkan rawatan tradisional daripada sekadar berurut hingga merawat kerasukkan.

Menurut jejaka asal Alor Gajah, Melaka, Asri (bukan nama sebenar), sebagai anak lelaki sulung dia sentiasa mengikut ayahnya mengubat orang terutama di sekitar kampung halamannya.

“Ayah bekerja sendiri, kadangkala saya yang akan jadi pembantu untuk menolong ayah dan menjadi pemandu untuk menghantar dia ke rumah pesakit.

Sepanjang perjalanan kadangkala ada pelbagai halangan yang kami tempuh antaranya penampakkan sosok makhluk ghaib, malah ada ketikanya tiba-tiba kereta akan berbau wangi setanggi,” katanya ketika dihubungi Panorama baru-baru ini.

Tambah bapa kepada seorang cahaya mata itu, hal tersebut kadang kala membuatkan dia rasa takut, namun lama kelamaan menjadi terbiasa.

Katanya lagi, meskipun sudah lali dengan gangguan kecil makhluk halus, ada satu kejadian yang sehingga kini masih diingat oleh Asri.

Kisahnya berlaku semasa awal-awal dia menjadi pemandu untuk menghantar ayahnya ke rumah pesakit.

Ketika itu, dia perlu ke sebuah kampung yang agak terpencil dan melalui kawasan hutan serta semak samun.

“Malam itu, ayah mendapat panggilan ada orang minta tolong anaknya kerasukkan makhluk halus.

“Memandangkan ayah rabun silau, dia meminta saya untuk memandu kereta ke rumah pesakitnya yang berada di sebuah kampung di Lubuk China,” ujarnya.

Kongsinya lagi, sebelum memulakan perjalanan, ayah sudah berpesan supaya jangan menegur apa-apa yang terlihat atau terbau sepanjang menuju ke sana.

Dia juga ada memberikan sebilah keris yang mana jika ada sesuatu yang aneh berlaku dia berpesan supaya mengeluarkan ia dari sarung.

Setibanya di rumah pesakit, ayah terus melakukan tugasnya untuk merawat individu yang sedang menjerit seperti orang histeria.

Asri ketika itu hanya menunggu di dalam kereta sementara bapanya selesai mengubat pesakit.

Sehingga tiba-tiba ada seorang perempuan yang tiba-tiba muncul dan memasuki tempat duduk belakang kereta.

“Saya ketika itu terkejut, entah dari mana munculnya seorang perempuan berpakaian. baju kurung hitam datang dengan berselendang di kepala dan rambut menutupi sebahagian mukanya.

“Ketika itu tiba-tiba terasa seram sejuk, saya cuba bertanya siapa dia tetapi wanita itu hanya tergelak seperti mengilai kemudian menangis,” ceritanya.

Katanya lagi, setelah berulang kali ditanya dan masih mendapat respon sama, Asri kemudia merasakan ada yang tidak kena dengan perempuan tersebut.

Dia kemudian teringat akan keris yang diberikan bapanya, dan semasa dia cuba mengambilnya di papan pemuka kereta, wanita itu terus menjerit mengatakan ‘jangan’.

“Jangan kau ambil keris itu, panas, aku panas, cakap dekat ayah kau budak tu jangan dikacau dia milik keluarga aku.

Aku nak ingatkan kau jangan kacau, kalau tidak aku akan buat lagi teruk,” kata perempuan itu sambil ketawa.

Meskipun merasa takut, Asri tetap mencapai keris tersebut dan mengeluarkan ia dari sarung.

Wanita itu menjerit meronta dan sekelip mata hilang dari pandangan yang menjadikan keadaan kembali seperti sedia kala.

Dengan segera, Asri terus keluar dari kereta dan masuk ke dalam rumah tempat bapanya mengubat orang.

Setibanya di dalam rumah, dia terkejut melihat wanita yang diubati ayahnya sama seperti yang di dalam kereta sebentar tadi.

Selepas semua urusan bapanya selesai, Asri kemudian memberitahu bapanya tentang apa yang berlaku semasa perjalanan pulang.

“Bapa memberitahu saya bahawa perempuan itu tadi kerasukkan kerana dia diganggu saka keluarga yang mahu berdamping dengannya.

“Kemungkinan makhluk yang memasuki kereta itu tadi juga adalah sakanya, namun ayah berpesan supaya tidak merasa takut selain kepada Allah SWT,” katanya.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!