MMToon

DIGANGGU SAKA TIDAK BERTUAN

Oleh  LIYANA RAMLI

SAKA atau pendamping cukup sinonim dengan masyarakat Melayu pada zaman dahulu yang kononnya bertujuan untuk menjaga keluarga dan harta. Seorang pemuda, Rizal Mohd. Rahim, 30, berkongsi kisah seram yang menghantui dirinya akibat diganggu oleh pendamping belaan yang tidak diketahui siapakah tuannya.

Katanya, dia mula diganggu makhluk itu selepas meminta bantuan neneknya untuk menjaganya ketika sakit akibat kemalangan yang menimpa dirinya sewaktu berumur 23 tahun. Rizal berkata, setelah keadaannya beransur pulih, neneknya meminta izin untuk pulang ke kampung, tetapi pada hari itu suatu kejadian aneh berlaku apabila dia melihat kelibat neneknya sedang menekan hujung ibu jarinya.

Dalam keadaan separuh sedar, Rizal bertanya, bukankah neneknya sudah pulang ke kampung?

“Nenek kata nak balik kampung?, Kenapa nenek tekan ibu jari kaki saya?,” katanya kepada wanita tua yang kelihatan sama persis seperti neneknya.

Selepas itu katanya, dia terus tersedar dan bergegas ke ruang tamu rumahnya.

Saya lihat di ruang tamu ada adik lelaki sahaja dan terus bertanya tentang keberadaan nenek. Kata adik, nenek saya sudah pulang lima jam lepas. Disebabkan keadaan badan saya sangat lesu ketika itu, saya mengajaknya untuk teman saya tidur di dalam bilik. Kebetulan, apabila baring, posisi katil saya memang menghadap cermin.

“Saya nampak ada kelibat putih yang mahu masuk ke dalam badan, tetapi pada waktu itu, saya tidak dapat melawan balik kerana diri rasa seperti ditekan.”

Katanya, dua kali dia melihat lembaga itu mencuba untuk memasuki badannya dan dia seakan menjerit meminta adik lelaki menolongnya.

Apabila saya lihat melalui cermin yang lembaga untuk cuba memasuki badan saya lagi, saya menjerit meminta tolong tetapi pelik kerana adik tidak mengendahkan saya. Saya rasa macam ada sesuatu menyerap masuk ke dalam badan lalu tersedar. Saya tetap menjerit dan akhirnya adik mendengar suara saya.”

Rizal berkata, adiknya tidak nampak kelibat putih yang seakan memasuki tubuhnya. Jelas Rizal, sejak itu, dia selalu mengalami mimpi buruk seperti dibelit ular hitam, jatuh daripada bangunan dan sebagainya. Menurut beliau, badannya selalu rasa lesu serta tak bermaya dan paling teruk selalu rasa tidak khusyuk dalam solat.

Bukan itu sahaja, kadang-kadang apabila dia duduk bersendirian di rumah, dia sering melihat kelibat lembaga hitam seakan memperhatikan dirinya.

“Kadang-kadang sewaktu saya ingin makan di meja makan, saya ternampak seakan ada seseorang yang sedang memerhatikan saya dari tangga rumah,” katanya.

Menurut Rizal, keluarganya sudah menetap di rumah itu hampir 10 tahun dan sering mengalami gangguan-gangguan mistik.

Dahulu, sewaktu tinggal di rumah lama, banyak juga gangguan mistik yang dialami, sehingga ada jiran-jiran memberitahu nampak seperti nenek saya duduk di luar rumah. Saya pun sebenarnya tak faham apa yang berlaku kerana waktu itu nenek berada di kampung.”

Menurutnya, dia pernah berubat dengan pengamal perubatan Islam, tetapi dirinya masih belum pulih sepenuhnya.

“Saya ada juga berjumpa dengan orang yang pandai berubat, kata mereka, makhluk yang berdamping dengan saya ialah saka kepunyaan nenek. Tetapi, saya rasa pelik dan tidak percaya kerana nenek saya masih hidup, setahu saya jika saka ini akan berpindah milik kalau tuannya sudah meninggal dunia,” katanya.

Dia kini masih dalam proses untuk membuang saka yang menghantui dirinya kerana tidak tahan diganggu.

“Saya harap proses membuang saka ini dipermudahkan kerana sudah tidak sanggup lagi menanggung kesakitan, tambahan perkara ini  bercanggah dengan hukum Islam,” katanya.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad • Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!