
BERTUGAS dalam bidang perhotelan tidak pernah menjadi impian Lan (bukan nama sebenar). Namun, sudah tertulis bahawa rezekinya di situ, dan sedar tak sedar, tahun ini merupakan tahun ke lapan dia bergelar staf hotel.

Namun, sewaktu berkhidmat sebagai staf bahagian housekeeping, Lan memberitahu dia pernah berdepan kejadian menyeramkan sewaktu bertugas di salah sebuah hotel di selatan tanah air.

Ujar Lan, kejadian menyeramkan itu juga menyebabkan salah seorang rakan sekerjanya ketika itu yang hanya dikenali sebagai Azam sanggup berhenti kerja selepas beberapa kali terserempak kelibat seorang wanita berkebaya merah yang menyeramkan.
Membuka bicara, Lan berkata kejadian pertama berlaku ketika dia sedang bertugas untuk membersihkan bilik di tingkat sembilan.

Waktu itu, saya ada terdengar cakap-cakap orang tentang pelbagai kejadian di tingkat 10 seperti wanita berkebaya merah dan suara wanita menangis di salah sebuah bilik di situ.
“Namun, memandangkan ia tidak pernah berlaku kepada saya, saya tidak begitu mempercayai perkara itu,” katanya.
Namun, pada hari kejadian, Lan tiba-tiba terdengar jeritan daripada salah seorang rakan sekerjanya iaitu Nad yang ketika itu ditugaskan untuk membersihkan kesemua bilik di tingkat 10.

Terkejut, dia bergegas naik untuk melihat Nad, yang ketika itu sudah pengsan. Beberapa hari kemudian, Nad memberitahu dia menjerit lalu pengsan selepas ternampak kelibat seorang wanita berkebaya merah tanpa kepala, yang berlari laju ke arahnya ketika dia sedang berdiri di hadapan lif untuk turun ke ruang lobi hotel.
“Trauma dengan kejadian itu, Nad memohon kepada pengurus untuk tidak sesekali menjejakkan kaki ke tingkat 10 lagi,” kata Lan.

Bukan sahaja Nad, malah beberapa tetamu yang pernah menginap di tingkat 10 juga pernah memaklumkan bahawa mereka diganggu dengan suara-suara aneh dan sering kali memohon untuk ditukarkan ke tingkat lain.

Pada satu hari, Lan menjadi satu-satunya petugas housekeeping yang perlu membersihkan bilik di tingkat 10. Tidak mahu fikir bukan-bukan, Lan menerima arahan tersebut dengan tenang dan meneruskan kerja seperti biasa.

Pada mulanya, tiada apa-apa yang pelik berlaku kepada Lan, namun setibanya di salah sebuah bilik yang ada di situ, dia tiba-tiba melihat seorang wanita berkebaya merah yang dimaksudkan, dan wanita itu tidak berkepala.

“Tiba-tiba wanita itu berjalan ke arah saya dan tanpa berfikir panjang saya terus berlari turun ke bawah dengan menggunakan tangga kecemasan,” katanya.

Akibatnya, Lan demam panas selama beberapa hari dan cuba melupakan kejadian menakutkan itu.
Beberapa bulan selepas kejadian itu, seorang petugas baharu iaitu Azam pula ditugaskan untuk membersihkan bilik di tingkat 10.

Memandangkan Azam sudah kerap mendengar gangguan yang dialami membabitkan tingkat itu, dia menerima arahan itu dengan rasa berat hati.
Lan yang kasihankan Azam kemudian menawarkan untuk menemani lelaki itu. Setibanya di tingkat 10, Lan terus pergi ke bilik pertama dan memulakan tugas seperti biasa.

Tiba-tiba, telefon dalam bilik itu berdering tanpa henti. Sangka Lan, itu pasti kerja rakan-rakannya yang lain, untuk sengaja menakut-nakutkannya.
“Saya menjawab panggilan tersebut, dengan niat mahu sama-sama bergurau senda dengan pemanggil.
“Namun, saya pula yang terkejut apabila terdengar suara wanita menangis di corong telefon, dan semakin lama suara itu semakin kuat.
“Kejadian sama turut berlaku kepada Azam, yang terus menyebabkan dia nekad berhenti kerja,” kata Lan.

Gangguan demi gangguan yang berlaku di hotel tersebut telah menyebabkan ramai pekerja enggan terus bekerja di situ, sehingga ia akhirnya ditutup beberapa tahun lalu.
Sehingga kini, Lan masih tidak tahu siapa wanita misteri berkebaya merah itu dan kaitannya dengan hotel tersebut.
Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Imej janaan AI.
