
Oleh SITI SARAH NURUL LIYANA
SOFIA (bukan nama sebenar) sememangnya tidak gemar dengan aktiviti lasak dan terdedah dengan cuaca panas.
Namun atas tuntutan kredit kurikulumnya, dia terpaksa juga mengikuti program perkhemahan yang dia anjur sekolahnya.
Dari pada masa anak muda berketurunan Melayu-Cina itu tiba di lokasi perkhemahan di sebuah hutan di Mersing, Johor, moodnya sentiasa dalam keadaan buruk.

Ada kalanya, hatinya mencemuh dan merungut dengan keadaan di dalam hutan yang disifatkan sebagai kotor.
Akui pelajar di tingkatan lima itu, hatinya sentiasa berharap dia berada di kawasan percutian yang persis syurga dunia berbanding di hutan itu.

Tidak salah bila orang gelarkan saya sebagai ratu lilin sebab saya semenangnya tidak suka terdedah dengan panas.
“Inikan pula berlengas dan berpeluh di dalam hutan. Saya memang tak suka sungguh!,” katanya kepada Panorama.

Ketika melakukan ekspedisi jungle trekking, Sofia dan rakan-rakannya berhenti sebentar di tepi sungai untuk merendam kaki sebentar sebelum meneruskan perjalanan.
Tiba-tiba, anak kedua daripada tiga adik beradik tersebut terdengar namanya sayup dipanggil guru pengendali program.

Dalam fikiran Sofia, berkemungkinan guru tersebut mahu memberikannya pelepasan dari melakukan aktiviti lasak seterusnya.
Ini kerana dia telah membuat pemohonan tersebut dengan alasan dia mengalami senggugut yang agak teruk.

Anehnya, jalan ke arah gurunya itu sangat mudah dan tidak berliku seperti jalan yang mereka lalui ketika jungle trekking.
Menurut Sofia, buat seketika, hatinya terdetik mengapa mereka tidak melalui laluan tersebut lebih awal lagi, malah diberi laluan yang penuh belukar dan pokok-pokok runtuh.

Jalan di hadapan saya sangat cantik dan membuatkan saya terus tertanya-tanya tentang apa yang ada di hadapan saya lagi.
“Tidak sedetikpun saya tertanya kenapa jauh sangat cikgu. Saya terlalu terpesona dengan cantiknya laluan tersebut,” ujarnya.
Tiba-tiba Sofia terdengar suara wanita menangis di sebalik belukar yang tebal di depannya.

Alangkah terkejutnya Sofia apabila dia ternampak seorang wanita dalam usia 40 tahun duduk seorang diri dalam keadaan tidak terurus.
Wanita itu memakai baju kurung yang sudah lusuh dan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.
Tambah Sofia, dia aneh kenapa wanita terbabit berkeadaan begitu biarpun kawasan sekitarnya indah bagaikan syurga dunia.

“Saya keliru dengan situasi yang berlaku. Jadi saya terus tanya wanita.
“Rupanya, dia sesat kat tempat itu dan sampai sekarang dia masih belum jumpa jalan keluar,” ujarnya.
Mendengar kata-kata itu, Sofia terus menawarkan diri untuk melaporkan hal itu dengan guru-gurunya agar wanita itu boleh dibantu.

Namun, gadis itu baru tersedar bahawa dia sendiri bukan sahaja sudah jauh dari lokasi guru dan rakan-rakannya, malah tidak ingat jalan balik.
Dalam keadaan panik, Sofia menangis membayangkan nasibnya akan sama dengan wanita tersebut.

Wanita itu beritahu bahawa dia dipanggil ke kawasan itu kerana dia ada buat hajat agar dapat ke kawasan yang lebih baik berbanding hutan itu.
“Jadi ‘penjaga’ hutan tunaikan hasrat itu. Dia juga rasa saya ‘dijemput’ atas sebab yang sama,” ujarnya.

Dalam keadaan terdesak, Sofia menjerit meminta bantuan sementara itu, wanita itu terus termenung.
Namun nasib menyebelahi Sofea apabila dia terdengar laungan azan yang kuat dan mendayu-dayu.

Dengan segera dia lari ke arah suara Azan tersebut tanpa menoleh ke belakang.
Dia yakin suara azan itu adalah laungan rakan-rakan yang sedang mencarinya.
Telahannya tepat apabila dia ternampak rakan-rakannya sedang menangis sambil ditenangkan oleh guru-guru terlibat.

Ujar Sofia, dia menceritakan pengalamannya itu kepada guru-guru dan rakan-rakan.
Namun apabila mereka berpatah balik, wanita itu sudah tiada dan kawasan itu juga sudah berubah menjadi hutan biasa.

Ramai yang masih skeptikal dengan saya kerana ingat saya mahu beri lebih alasan untuk tidak lakukan aktiviti dalam hutan.
“Hanya segelintir rakan baik yang menyuarakan kesyukuran atas keupayaan saya untuk kembali dengan selamat,” katanya.
