MMToon

DIKEJAR BOLA BERCAHAYA PUTIH DARI BANGLO USANG

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

 

ZAMAN muda remaja merupakan tempoh terbaik untuk belajar dan mencari pengalaman sebelum mengambil langkah lebih jauh melayari kehidupan.

 

Kisah Mitos kali ini melibatkan seorang lelaki pertengahan abad yang ingin berkongsi pengalaman hidupnya 30 tahun lalu semasa menjalani kehidupan sebagai seorang remaja bandar di sebuah negeri di Lembah Klang.

 

Sebagai seorang remaja,Yusri Yusof, 50, berkata,banyak perkara baharu yang ingin diteroka dan dicuba termasuk perkara mistik.

Apabila aktiviti sukan ekstrem seperti bermain papan selaju dan mendaki bukit sudah jemu dan bosan dilakukan, timbul idea saya dan dua kawan saya, Abul dan Along, untuk meneroka aktiviti lebih meningkatkan adrenalin.

 

“Kisah ini berlaku semasa kami bertiga masih menunggu peluang untuk melanjutkan pelajaran selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Masa terluang memang banyak, hingga timbul idea gila menangkap atau mengambil gambar hantu,” katanya ketika ditemui di Kuala Selangor baru-baru ini.

Yusri yang berbadan agak sasa berkata, kawasan bandar tempat dia tinggal memang banyak banglo agam yang tidak berpenghuni yang kelihatan menyeramkan apabila disimbahi cahaya bulan.

 

Jelasnya lagi, dia dan dua rakan tanpa berfikir panjang merancang untuk melaksanakan misi ibarat filem Mission Impossible tersebut pada malam Jumaat tepat pukul 12 tengah malam.

 

“Awal 1990an kereta tidak sebanyak zaman sekarang, menjelang tengah malam suasana bandar mula lengang kerana aktiviti perniagaan dan sosial sudah berkurang.

“Pada malam Jumaat tersebut, Abul memandu kereta Proton sedan milik bapanya. Saya pula membawa kamera filem yang saya beli dengan harga RM300 untuk merakamkan aktiviti-aktiviti perkhemahan di hutan.

 

“Zaman 1990an mana ada kamera digital canggih yang murah macam sekarang. Kamera telefon bimbit memang sesuatu yang hebat jika wujud era tersebut,” katanya.

 

Pada malam yang ditetapkan kata Yusri,memang sesuai dan sempurna kerana bulan mengambang penuh,rumah banglo yang disasarkan mereka terletak di atas bukit, berpagar dan agak jauh dari rumah-rumah lain.

 

Sebelum memilih banglo tersebut Yusri memberitahu, banyak cadangan diberikan kawan-kawannya untuk memilih lokasi benar-benar menyeramkan.

“Sebelum pemilihan banglo usang itu dibuat,7 lokasi telah dipilih dan ditulis dalam kertas kecil dan digulung untuk cabutan undi oleh saya sebagai ketua kumpulan tidak bertauliah itu.

 

“Antara lokasi yang dipilih adalah kawasan tanah perkuburan, kilang lama, lokasi orang mati dibunuh dan bangunan projek terbengkalai,” katanya.

 

Pemilihan secara undi yang dibuat ujar Yusri,dipenuhi gelak ketawa seolah-olah kami bermain sejenis permainan.

 

Sedangkan kata Yusri,misi yang ingin mereka lakukan bukanlah mempunyai faedah dari sudut agama dan moral.

 

“Namun jiwa remaja memang ingin selalu memberontak untuk melakukan sesuatu yang tidak boleh diterima akal.

 

“Apa yang penting gajet dan pengangkutan untuk melaksanakan misi yang pelik itu sudah disiapkan maka kami tidak boleh berundur lagi,”katanya.

Pada malam yang ditunggu-tunggu itu,kereta yang dinaiki mereka kata Yusri, diletakkan di tepi jalan 20 meter jaraknya dari rumah yang disasarkan.

“Niat kami meninjau daripada luar rumah sahaja, rupa-rupanya pagar rumah itu tidak berkunci.

 

“Lalu terjadi perbincangan singkat antara kami,sama ada mengambil gambar daripada luar atau masuk ke dalam banglo usang tersebut,”katanya.

 

Akhirnya kata Yusri, mereka bertiga memberanikan diri masuk ke halaman banglo yang diterangi cahaya bulan purnama.

 

Gayanya kata Yusri macam pencuri,namun misi mereka hanyalah untuk menangkap gambar hantu tidak kira bagaimana rupa dan suaranya.

“Sebelum masuk ke halaman rumah,saya mengambil gambar secara rambang di tingkat atas banglo.Harapan saya apabila filem siap diproses ada gambar ‘sesuatu’ yang akan muncul di kertas putih.

 

“Setelah masuk, kami menuju ke pintu kaca yang dipenuhi debu. Tujuan kami untuk mengambil gambar ruang tamu dan dapur kemudian kami akan terus cabut lari,”ujarnya.

 

Nasib kami baik, ruang tamu tersebut tidak mempunyai langsir dan dengan bantuan lampu suluh kecil kelihatan set sofa ditutup dengan kain putih.

 

Suasana di dalam rumah yang penuh bersawang katanya,menunjukkan rumah itu sudah lama tidak dikunjungi.

 

“Masa Abul menyuluh dan saya mengambil gambar ruang tamu segalanya lancar. Terdapat lukisan potret pemandangan di dinding bahagian ruang tamu rumah itu.

 

“Tiba-tiba Along menepuk belakang saya dan Abul. Katanya dia terdengar suara orang memberi salam.

 

“Saya yang sedang mengambil gambar sempat bertanya, perempuan atau lelaki yang memberi salam. Lalu jawab Along yang sedang cemas dia dengar suara tersebut adalah suara perempuan tua,”jelasnya lagi.

Dia dan dua kawannya itu jelas Yusri, pada mulanya menggelabah dan bercadang untuk melarikan diri segera.

 

Namun Yusri berkata,pada saat itu saya dan Abul terfikir mungkin Along berkhayal sebab hanya dia sahaja yang mendengar suara tersebut.

 

“Walaupun Along sudah mendengar suara, kami tetap tidak berganjak hingga misi mengambil gambar sebanyak mungkin selesai.

Along yang mula ketakutan merapatkan dirinya dengan saya.

 

“Saya yang rimas, memarahinya kerana kuat berangan dan banyak menonton video cerita hantu. Sebab itu terdengar suara yang bukan-bukan,”katanya.

Sedang mereka bergerak ke belakang banglo Yusri berkata, Along sekali lagi bersuara dan menarik tangannya hingga kamera yang dipegang nyaris terjatuh.

 

Kali ini jelas Yusri, Along tidak bersuara dan menunjukkan sesuatu di atas pagar.

 

“Masalahnya saya dan Abul tidak nampak apa-apa hingga saya menampar lembut mukanya dan menyuruhnya membaca surah al Ikhlas.

“Entah apa yang dia nampak sampai kelam-kabut kami hendak mengambil gambar hantu yang diharapkan muncul di dalam filem yang bakal diproses nanti,”katanya.

 

Setelah mengambil gambar di bilik belakang dan dapur melalui tingkap mereka Yusri bertiga terus bergerak keluar pagar rumah banglo itu.

Kali ini bukan sahaja Along yang nampak kata Yusri lagi,dia dan Abul juga nampak bola cahaya berwarna putih di atas tingkat dua rumah banglo tersebut.

Sehabis daya cerita Yusri lagi, mereka berlari ke kereta dalam masa tidak sampai lima saat kerana bola cahaya berwarna putih itu seakan bersedia memburu mereka.

 

“Kereta yang dipandu entah berapa laju ditekan pedal minyaknya oleh Abul.Sedar-sedar kami sudah berada di depan restoran mamak.

“Saya,Along dan Abul terdiam hampir setengah jam di dalam kereta.Memikirkan apa akan jadi jika bola putih bercahaya itu berjaya menghampiri kami bertiga,”katanya.

 

Yusri yang sudah berkeluarga berkata, sebenarnya tiada satu pun gambar hantu atau penampakan yang berjaya ‘ditangkap’ oleh kameranya.

Hasil filem yang diproses katanya lagi,semua gambar yang terhasil gelap dan tiada sebarang imej,membuktikan bukan mudah teknologi manusia menangkap imej alam ghaib atau halimunan.

 

“Zaman ini dengan kamera yang canggih imej menyeramkan mampu dirakam itu pun secara tidak sengaja.Jika ada yang boleh melihat hantu atau alam ghaib mungkin hijabnya diizinkan Allah dibuka.

 

“Contohnya Along,semasa dia menunjukkan ke arah pagar rupanya dia melihat makhluk hitam besar berbulu lebat bertenggek di atas pagar banglo tersebut,”ujarnya lagi mengakhiri bicara.

 

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Imej janaan AI

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2025, MMTOON
Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)

error: Content is protected !!