MMToon

DIRASUK 7 PUTERI ULEK MAYANG TEPI PANTAI

Oleh SITI SARAH NURUL LIYANA

ZUHAIRI (bukan nama sebenar) memiliki impian besar, iaitu menggabungkan elemen kontemporari dengan tarian tradisional Ulek Mayang.

Sebagai anak muda yang berasal dari Kuala Lumpur, Zuhairi berasa terpanggil untuk menepis stigma terhadap tarian tradisional yang semakin terpinggir ditelan zaman.

Membesar di ibu kota, Zuhairi mengakui bahawa beliau tidak mempercayai perkara ghaib dan menganggap tindakan kerajaan yang pernah mengharamkan Ulek Mayang sebagai kolot.

Saya bukan jenis yang mudah percaya kepada perkara ghaib. Dalam dunia seni tari, saya percaya kepada usaha, latihan dan inovasi. Apabila saya mendapat ilham untuk menggabungkan elemen kontemporari dengan Ulek Mayang, saya tahu saya akan melangkaui sempadan yang sering dielakkan oleh orang lain,” katanya.

Ketika pemuda berusia 22 tahun itu membentangkan ideanya, ramai dalam kalangan rakan penari menolaknya mentah-mentah kerana enggan terlibat dengan unsur-unsur syirik dan khurafat.

Penolakan itu bagaikan satu tamparan kepada egonya. Namun, Zuhairi yang berpegang pada pendirian bahawa seni itu bebas, nekad membuktikan bahawa ideanya bernas.

Tanpa pengetahuan kumpulannya, dia mengambil cuti pendek dan pergi sendiri ke Kuala Terengganu untuk memahami ‘roh’ Ulek Mayang yang sering diperkatakan.

Selepas melakukan sedikit kajian, Zuhairi mengunjungi Pantai Batu Buruk pada waktu malam agar tindakannya tidak disedari pengunjung lain.

“Saya mahu menghidupkan kembali semangat tarian itu dan menyuntik nafas baharu ke dalamnya.

Saya merakam pergerakan saya supaya ia boleh dijadikan koreografi yang bakal saya persembahkan kepada kumpulan saya nanti,” katanya.

Rakaman audio lama Ulek Mayang daripada telefonnya memecah keheningan malam sekitar pukul satu pagi.

Angin bertiup kencang, pasir terasa dingin, dan bulan sabit yang cerah menerangi laut yang hitam pekat seperti dakwat.

Zuhairi membuka langkah sambil memejamkan mata, mulutnya mengulangi mantera dalam lagu tersebut dan dengan sengaja membiarkan ilham datang dengan sendiri.

Menurutnya, tiba-tiba Zuhairi tidak lagi berasa berpijak di atas tanah, dan udara sejuk menyentuh cuping telinganya.

“Tiba-tiba saya tidak dapat mengawal badan saya. Langkah saya menjadi gemalai, sangat berbeza daripada tarian hip hop yang biasa saya lakukan.

“Saya terasa seperti ada tujuh puteri menari di sekeliling saya. Wajah mereka tidak jelas, tetapi bau mereka sangat harum semerbak,” katanya.

Walaupun seolah-olah dirasuk, Zuhairi tidak berasa takut kerana menganggap ia sebagai sumber ilham yang sedang ‘turun’ kepadanya.

Namun, Zuhairi mula cemas apabila tidak dapat menghentikan pergerakan menari walaupun masa telah berlalu berjam-jam lamanya.

Geraknya yang mulanya lembut dan gemalai tiba-tiba menjadi semakin pantas hingga membuatkannya tidak sempat menarik nafas.

Akibat kepenatan, Zuhairi menjerit dalam hati supaya tarian itu dihentikan, namun mulutnya tidak henti-henti menyanyikan lagu Ulek Mayang.

Setelah sekian lama merintah dan hampir putus nyawa, tiba-tiba wajahnya terasa seperti ditampar.

Katanya, dia akhirnya berjaya membuka mata, langkahnya terhenti dan mulutnya berhenti menyanyi.

“Ketika itu hari dah siang dan tidak ada sesiapa di sekeliling saya. Saya dengan segera melihat rakaman video.

“Alangkah terkejut apabila tidak ada saya pun dalam rakaman tersebut, hanya muzik dan pantai,”katanya.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad • Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2025, MMTOON
Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)

error: Content is protected !!