Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
PEPERIKSAAN besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk pelajar tingkatan lima dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) bagi pelajar tingkatan enam menuntut fokus yang tinggi bagi mencapai keputusan cemerlang.
Namun untuk mendapat keputusan terbaik, usaha yang melebihi kemampuan diri boleh memberi kesan negatif kepada fizikal dan mental pelajar.Kisah Mitos yang ingin diceritakan ini berlaku kira-kira 33 tahun lalu di sebuah sekolah menengah yang terletak di Utara Semenanjung.

Menurut seorang usahawan dari Sungai Besar Selangor, Suratman Solahan, 52, peristiwa yang berlaku semasa musim peperiksaan STPM awal 1990-an itu masih membekas di mindanya sehingga kini.
Hidup ini memang keras. Bukan sahaja zaman ini, malah zaman saya belajar di sekolah menengah dahulu, ibu bapa terlalu menekan anak-anak untuk berjaya.
“Kegagalan bukan satu pilihan, kerana tanpa sijil hendak bekerja dengan jawatan yang bagus pun susah. Situasi ini menyebabkan ramai kawan saya di asrama berada dalam kemurungan,” katanya.
Suratman berkata, sepanjang musim peperiksaan tersebut, dia perasan perubahan yang dihadapi oleh salah seorang sahabatnya yang berada dalam kelas aliran sains.

Katanya lagi, sahabat yang dinamakan sebagai Eddie itu tampak ceria dan bersemangat untuk hadir kelas persediaan atau bahasa asramanya, kelas ‘prep’.
“Masuk hari ketiga selepas kertas Bahasa Malaysia, dia mula menjadi ‘perengus’ dan tidak boleh menjadi bahan gurauan rakan-rakan.

Kawan-kawan asyik menonton televisyen pada waktu petang, dia suruh tutup televisyen dengan alasan musim peperiksaan. Memang ramai yang stres kerana peperiksaan,” katanya.
Sikap yang dipaparkan Eddie kata Suratman, ibarat manusia yang tersampuk oleh jin atau dirasuk syaitan.
“Walaupun saya kelas aliran sastera, namun hubungan saya dengan Eddie baik-baik sahaja. Namun sejak musim peperiksaan bermula, ada sahaja perangai kawan-kawan yang ditegurnya tanpa segan silu,” katanya.

Cerita Suratman lagi, sejak STPM bermula, Eddie macam orang sakit mental, selalu bercakap seorang diri dengan dinding.
Keadaan yang semakin meruncing tersebut menyebabkan beberapa rakan yang agak besar dan sasa menemuinya untuk sesi luahan hati.
“Saya sebagai salah seorang ‘rakan pembimbing sebaya’ turut menyertai kumpulan seramai enam orang itu.

Perbincangan dalam suasana tenang pada pukul 11 malam itu bertukar tegang, apabila Eddie dengan tegas mengatakan dia baik-baik sahaja.
“Oleh kerana tidak mahu menimbulkan kekecohan, kami tinggalkan Eddie yang mula menggenggam penumbuk sambil renungan tajam,” ujarnya.
Selepas pulang ke asrama, Suratman berkata, mereka terus bermesyuarat untuk membincangkan kejadian semasa bersemuka dengan Eddie sebentar tadi.

“Tengah kami berbincang dengan khusyuk pada pukul 11.30 malam itu, tiba-tiba terdengar bunyi tapak kaki berlari di koridor.
“Bunyi tapak kaki semakin kuat, seolah-olah berlaku kejadian kejar mengejar di luar dorm tempat kami berbincang,” ujarnya.

Setelah keluar menyiasat, rupa-rupanya beberapa pelajar tingkatan enam sedang mengejar Eddie yang berseluar dalam hingga ke tingkat tiga asrama.
Dalam keadaan separuh bogel itu, Eddie masuk ke kawasan asrama puteri, sekali gus menimbulkan masalah yang lebih kronik.

Tiba-tiba terdengar jeritan di tingkat tiga yang berbunyi….. jangan terjun Eddie…. jangan…. nanti pecah kepala engkau.
“Daripada tingkat tiga, satu objek jatuh tersangkut di atas ampaian yang dipenuhi pakaian basah hingga menyebabkan semua orang panik,” katanya.
Cerita Suratman lagi, tiba-tiba muncul sepasang tangan sasa berpaut di atas tembok koridor.
“Eddie dalam keadaan susah payah dan lemah itu terjelepuk jatuh setelah berjaya memanjat koridor di tingkat dua.

“Setelah sah Eddie tidak cedera dan mula sedar dari ‘kegilaannya’, seorang sahabat yang agak alim membacakan ayat suci al-Quran dan meniupnya ke ubun-ubun Eddie.
“Tubuhnya menggelepar seperti ayam disembelih dan tersandar di tepi dinding. Wataknya seperti orang tersedar daripada mimpi yang panjang,” jelasnya lagi.
Apabila suasana kembali tenang pada malam itu, Suratman berkata, Eddie sudah mampu bercakap dengan rasional seolah-olah dia tidak tahu apa yang berlaku.

Eddie yang ‘sedar’ daripada rasukan syaitan itu memberitahu, dia begitu tertekan untuk berjaya dalam STPM.
“Apa yang berlaku kepada Eddie amat menginsafkan rakan-rakan yang mengambil STPM. Stres yang melampau perlu dikawal dengan melakukan ibadah yang ditetapkan selaras ajaran Islam,” jelasnya.
