MMToon

DIRASUK LEPAS AMBIL BATU DARI BUNIAN

Oleh FADILA AWALUDIN

BIARPUN sudah 12 tahun berlalu namun, Zulkefli Malik atau mesra disapa sebagai Zul masih tidak dapat melupakan pengalaman seram ketika meraikan tamat pengajian di universiti.

Cerita Zul, kejadian itu berlaku ketika dia bersama rakan sekelasnya melakukan aktiviti perkhemahan di kawasan air terjun di Kuala Kangar, Perak.

Zul bersama 10 orang rakan sekelasnya bersetuju untuk mengadakan perkhemahan bagi meraikan semesta akhir mereka sebelum masing-masing membawa haluan hidup sendiri.

“Kami sampai di lokasi hampir menjelang tengah hari. Sebelum itu kami membersihkan tapak khemah dengan buang daun kering dan ranting dan pilih lokasi berhampiran dengan sungai.

Semuanya seronok gelak ketawa sebab air sungai sangat jernih dan ada banyak pokok-pokok tinggi. Sebelum itu, penjaga kawasan itu ada pesan supaya jangan ambil apa saja yang nampak menarik seperti batu atau daun, buang sampah, buang air merata, atau melastik burung.

“Waktu tu semua pun sudah seronok, jadi ada yang tidak ambil peduli sangat nasihat penjaga kawasan sementara ada juga yang sibuk bersiap masak makan tengah hari,” katanya.

Waktu itu Zul melihat Azim (bukan nama sebenar) sedang berjalan-jalan di kawasan sungai sendirian dan jauh dari kumpulan rakan yang lain.

Disebabkan Azim dilihat seperti menghampiri kawasan hutan, Zul terus memanggil rakannya itu kerana bimbang akan tersesat.

Lepas makan malam kami berkumpul mengelilingi unggun api sambil bercerita dan menyanyi. Ketika itu baru sedar Azim tiada bersama kami.

“Kami pun cepat-cepat tengok kawasan sekeliling dan melihat Azim duduk kaku di atas batu berhampiran sungai memandang ke dalam hutan.


“Semua pelajar lelaki cepat-cepat bawa Azim ke khemah, tetapi tiba-tiba badan Azim mengejang dan dia mula menjerit dengan suara garau dan meronta-ronta,” katanya.


Situasi cemas itu membuatkan pelajar perempuan ketakutan dan ada yang menangis.

Mujur ketika kejadian ada seorang ustaz muda yang turut mengadakan perkhemahan di kawasan berhampir membantu mereka.

“Waktu ustaz membaca ayat al-Quran, perlahan-lahan Azim menjadi tenang. Ustaz nasihat supaya kami bergilir-gilir untuk berjaga malam bersama dengannya sehingga esok pagi kerana bimbang perkara buruk berlaku,” ujarnya.

Seperti yang dijangka, Azim yang sebelumnya tidur di dalam khemah didapati hilang pada keesokan hari.

Zul, bersama rakan-rakan dan ustaz menghabiskan masa sekitar satu jam sehinggalah Azim tiba-tiba muncul di kawasan batu tempat dia duduk malam semalam.

Azim sekali lagi tiba-tiba berteriak dan menampar-nampar wajahnya berulang kali ketika ustaz membaca ayat al-Quran sebelum pengsan.

“Setelah sedar, ustaz bertanyakan kepada Azim sama ada dia mengambil sebarang objek atau apa saja. Azim pun tunjuk sebiji batu bersinar berwarna kebiruan yang diambil dari dalam beg untuk diberikan pada ustaz,” katanya.

Ustaz kemudian menasihati Azim untuk mengembalikan semula batu itu pada kedudukan asal dan meminta Zul dan rakan-rakan untuk segera pulang.

Kejadian itu memang agak pelik sebab Azim dijumpai di kawasan yang berhampiran dengan khemah, tetapi tidak melihatkan sewaktu proses pencarian.

Menurut ustaz, batu itu ada ‘tuannya’ dan diambil dari alam lain, dan entah macam mana Azim boleh melihat batu itu sehingga dia diggangu makluk halus.

“Kejadian itu juga buat saya sentiasa berjaga-jaga ketika melakukan di kawasan hutan dan takut perkara sama berulang lagi,” ujarnya menutup cerita.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad . Ilustrasi janaan AI

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!