MENDAKI gunung merupakan hobi pemuda itu yang sering dilakukan pada masa lapang tidak kira secara berseorangan atau bersama rakan-rakan.
Rata-rata gunung di sekitar Malaysia sudah didaki olehnya, malah dia juga pernah menyelesaikan misi G7 Malaysia iaitu cabaran mendaki tujuh gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia yang memiliki ketinggian lebih dari 2,000 meter.
Menurut Hazim (bukan nama sebenar), dalam semua gunung yang pernak ditawan terdapat satu lokasi pendakian yang memberi dia sebuah pengalaman yang menyeramkan.
“Kejadian ini berlaku semasa saya dan rakan-rakan mendaki di sebuah gunung di Indonesia, Gunung Lawu, Jawa Tengah.

Memang ramai yang bercerita bahawa tempat itu agak mistik, tetapi saya percaya jika niat kita baik tiada masalah akan berlaku, namun ada sesuatu yang tidak kami duga terjadi selepas kami selesai mendaki,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.
Tambahnya, sepanjang pendakian bersama empat orang rakan melalui jalur Singolangu, perjalanan mereka lancar dari awal hingga turun dari mendaki.
Selepas pulang ke inap desa, kejadian aneh mula berlaku, dia merasakan tidak sedap hati melihat salah seorang rakannya, Alan (bukan nama sebenar) bersikap aneh sejak turun dari gunung.
Alan kelihatan banyak mendiamkan diri, mukanya pucat dan tidak bercakap di sepanjang perjalanan dari gunung ke inap desa.
Awalnya, Hazim merasakan mungkin Alan kepenatan kerana aktiviti mendaki, namun setelah seharian tidak keluar dari bilik, dia merasa bimbang dengan keadaan rakannya.
“Kami sampai inap desa pada pukul 3 petang dan sejak itu Alan hanya terperap dalam bilik, hingga ketika masuk waktu maghrib kami mendengar suara dia menjerit.

Hal itu membuatkan kami terkejut dan terus berlari ke bilik Alan untuk melihat apa yang berlaku dan tidak kami sangka dia sedang dirasuk makhluk halus,” ujarnya.
Ceritanya lagi, keadaan alam pada ketika itu dia sedang duduk di bucu katil, apabila Hazim memasuki bilik dan rakan-rakan, Alan memandang mereka dengan pandangan tajam dan kemudian ketawa.
Dua lagi rakan mereka cuba menyedarkan Alan, namun dia meronta dan ketawa dengan lebih kuat.
Hazim kemudian cuba mendapatkan bantuan dengan menghubungi pemilik rumah inap desa dan mereka bernasib baik kerana di kawasan tempat mereka tinggal ada seorang orang pintar.

Tidak lama setelah mendapatkan bantuan, orang pintar yang juga merupakan imam masjid di sana cuba untuk merawat
Alan. “Semasa dalam proses ruqyah, imam cuba bercakap dengan makhluk berkenaan dan bertanya mengapa dia mengganggu Alan.
“Makhluk itu mengatakan bahawa Alan ada mengambil sesuatu miliknya di gunung dan meminta supaya ia dipulangan semula,” kongsinya.
Selepas mendapat kesepakatan, makhluk itu keluar dari badan Alan dan tidak lama kemudian dia Kembali sedar.
Hazim cuba bertanya kepada Alan, apa barang yang dia ambil dari gunung, awalnya dia tidak faham apa yang dimaksudkan.
Apabila dingatkan semula, Alan menyedari dia ada mengambil sebiji batu ketika berada di Pos 5, Cokro Paningalan.
Cerita, Alan dia tidak berniat mahu mengambil batu itu dengan sengaja, cuma perkara itu dilakukan kerana mengamalkan petua untuk menahan sakit perut.
“Alan berkata dia pernah diberitahu untuk menahan diri dari sakit perut (buang air besar) ada petua suapaya dia mengambil batu dan menyimpa di dalam poket, namun dia tidak menyangka bahawa batu itu mempunyai pemilik.
“Bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diigini, keesokkan harinya kami kembali ke gunung Gunung Lawu dan mengembalikan semula baru tersebut di tempat ia diambil,” katanya.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI