MMToon

DISAKAT PENUNGGU SIMPANG KERANA INGKAR NASIHAT IBU

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

SETIAP kali musim perayaan kita pasti mendengar kisah jalan jem atau kesesakan jalan raya yang amat teruk semasa para perantau mula bergerak pulang ke kampung masing-masing.

Walaupun pihak berkuasa dan pihak lebuhraya menyediakan pelan atau jadual untuk orang ramai bergerak ke destinasi mengikut waktu yang sesuai namun jika berlaku kemalangan suasana sesak tidak dapat dielak sama sekali.

Kisah Mitos kali ini melibatkan pengalaman pelik dan seram seorang pengguna jalan raya bersama keluarga ketika menggunakan jalan dalam untuk pulang ke rumahnya di Banting 10 tahun lalu.

Menurut Salman Ahmad,52, dari Sungai Manggis, Banting, dia dan keluarga bertolak dari Taiping, Perak kira-kira pukul 8 malam selepas beraya selama empat hari bersama ibu bapa dan adik-beradik.

Masa itu lebuh raya yang ada hanyalah lebuh raya utara-selatan PLUS Malaysia Berhad (PLUS). Sekarang sudah ada West Coast Expressway (Lebuhraya Persisiran Pantai Barat).

“Walaupun lebuh raya bertambah kesesakan tetap berlaku hari ini. Bayangkan situasi dulu sebelum ada lebuh raya, memang bercinta dengan kesesakan jalan raya setiap kali pergi dan balik dari kampung,”katanya ketika ditemui di Banting baru-baru ini.

Salman berkata, kisah yang ingin diceritakan bukan bertujuan untuk menakutkan sesiapa tetapi untuk berkongsi pengalaman hidupnya sebagai panduan dan pedoman.

Katanya lagi, setelah bersalam-salaman dengan ibu bapa dan adik-beradiknya, dia dan isteri serta empat anak berusia setahun hingga 12 tahun bergerak pulang menuju destinasi dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Emak saya ada berpesan supaya saya balik sebelah siang tetapi saya balas kata-katanya, sebelah malam kenderaan sudah tidak banyak menghala ke Lembah Klang.

“Semasa memandu kata-kata emak terngiang-ngiang di telinga saya kerana tidak mendengar nasihatnya itu,”katanya.

Jelasnya lagi, sambil berbual kosong dengan isterinya dia fokus dengan pemanduan sehingga kenderaan miliknya masuk ke lebuh raya PLUS.

Selang beberapa lama cerita Salman, isteri dan anak-anaknya sudah tertidur lena mungkin disebabkan kedinginan daripada pendingin hawa bersuhu 16° Celsius.

“Sampai sahaja di Ipoh kenderaan yang lancar dari Terowong Menora tetapi bergerak perlahan seperti siput. Betullah kata emak malam ini ramai orang balik ke Kuala Lumpur.

“Dalam hati terfikir, emak sudah macam Nujum Pak Belalang boleh meramalkan trafik malam ini,”katanya.

Dalam keadaan dirinya runsing dengan suasana sesak tersebut dia berkata, isterinya terjaga dan menyarankan kami masuk jalan dalam di Simpang Pulai.

Tanpa berfikir panjang jelas Salman lagi, dia pun keluar dari tol Ipoh Selatan tersebut dan keluar ke Simpang Pulai.

“Alhamdullillah! jalan tidak berapa sibuk. Walaupun kereta banyak tetapi trafik lancar. Pada saat itu saya berharap ia terus lancar hingga ke selatan.

“Sekali lagi kesesakan berulang selepas Kampar. Jalan cuma tidak sesak kira-kira 40 kilometer(km) selepas itu kenderaan mula bergerak beransur-ansur,”katanya.

Salman yang bekerja sendiri berkata, isterinya mencadangkan kami menggunakan jalan pantai barat setelah trafik seakan tidak bergerak jauh sedangkan jam sudah hampir 12 tengah malam.

Ceritanya lagi, selepas mengenal pasti jalan yang dilihat tidak banyak kenderaan masuk, dia memecut laju ke arah kawasan berhutan dan terdapat dua tiga rumah yang bercahaya suram.

“Kali ini jalan betul-betul kosong seolah-olah bandar Kuala Lumpur dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik Covid-19.

“Isteri saya yang tidur kini terjaga dan memilih lebih banyak berdiam diri sejak saya menghala ke jalan dalam yang agak sunyi di sepanjang laluan menghala Teluk Intan,”ujarnya.

Sedang dia asyik menekan pedal minyak katanya lagi, isterinya bertanya mengapa jalan tersebut tidak ada rumah orang dan hanya ada ladang kelapa sawit di sekelilingnya.

Apabila isterinya bertanya demikian dia memberitahu, baru dirinya terperasan ada sesuatu yang tidak kena dengan laluan tersebut.

“Saya mula cemas kerana jalan yang saya lalui itu adalah jalan yang sama lanskap di kiri kanan jalan tersebut.

“Saya baru perasan saya sudah tiga kali melalui sebuah rumah lama berwarna kuning yang seperti sudah lama ditinggalkan. Ia terletak di sebelah kanan tidak jauh dari ladang kelapa sawit yang saya lalui.

“Pada saat itu perasaan saya bercampur baur antara kesal dan takut kerana enggan mendengar kata emak menyuruh kami balik sebelah siang,”katanya.

Selepas tersedar dia melalui jalan yang sama berkali-kali Salman berkata, dia dan isteri mula membaca surah kursi dan surah yang terlintas di fikiran masing-masing.

Pada saat itu katanya lagi, anak-anaknya yang tidur di kerusi belakang dan seorang anak yang berusia setahun di pangkuan isterinya masih tidur dengan lena.

“Selang beberapa minit saya seperti tersedar daripada pukau dan mampu kembali fokus kepada destinasi yang dituju dengan melihat papan tanda jalan yang seakan ‘hilang’ akibat gangguan tadi.

“Di kiri kanan saya sudah boleh melihat kawasan perumahan dan kedai makan yang masih ditutup kerana cuti hari raya,”katanya.

Jam di tangan katanya, sudah menunjukkan pukul 1 pagi semasa dia berhenti di sebuah restoran mamak tidak jauh dari bandar Teluk Intan.

Salman yang ketika masih dalam keadaan cuak berkata, ada beberapa orang lelaki tempatan sedang minum.

“Salah seorang lelaki berusia dalam 60an memandang saya dengan pelik sambil bertanya dari mana hendak ke mana dengan mesra.

“Dalam kelesuan saya menceritakan pengalaman ‘tersesat’ di jalan dalam setengah jam yang lalu kepada lelaki tersebut.

Lelaki tersebut dengan muka terkejut seraya berkata dalam loghat Perak yang pekat mengapa saya lalu di situ pada waktu begini.

“Katanya lagi, ramai yang sudah ‘diusik’ oleh penunggu kepala simpang yang dilalui oleh Salman tadi. Malahan ada yang hampir kehabisan minyak kerana asyik lalu jalan yang sama,”katanya.

Tambahnya lagi, beliau amat terkejut mendengar cerita daripada lelaki tempatan tersebut dan saat itu dia terbayang wajah ibunya.

Sebaiknya kata Salman, kita mendengar nasihat ibu dan bapa kita dalam menjalani kehidupan seharian terutama pada musim perayaan ini.

Bagi Salman, pengalaman diganggu di jalan tikus menyebabkan dia lebih berhati-hati merancang perjalanan dan paling penting dia menasihatkan pengguna jalan raya jangan masuk jalan yang tidak dilalui kenderaan lain.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. – Imej janaan AI.

 

 

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!