MMToon

DISAPA MAMBANG DI MAMBANG DIAWAN

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

MENJADI rutin harian bagi Ismail, 25, (bukan nama sebenar) untuk berulang dari rumahnya di Kampung Sungai Lesong ke tempat kerjanya di sebuah bengkel besi di Mambang Diawan, Kampar.

Lelaki yang berbadan tegap dan berkulit putih ini telah lama bekerja di bengkel itu selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ternyata, keputusannya tidaklah sebaik mana menyebabkan dia tidak menyambung pengajian lebih tinggi kerana ayah dan ibunya sekadar bekerja kampung selain perlu menyara dirinya yang merupakan anak tunggal dalam keluarga.

“Aku sebenarnya tidak ingin menyusahkan ayah dan ibu, jadi ambil keputusan untuk bekerja sahaja di bengkel itu kerana berdekatan dengan rumah kira-kira sembilan kilometer sahaja dari kediaman selain kadar gaji yang diterima agak baik.

“Aku masih bujang, masih tiada komitmen cuma perlu bekerja syif sama ada pada waktu siang atau malam. Selain itu, bekerja disitu jimat belanja kerana tinggal di rumah keluarga selain hanya menggunakan motosikal Honda C70 milik ayah,” katanya kepada K2 di sebuah gerai makan baru-baru ini.

Cuma sepanjang perjalanan dari rumahnya ke bengkel tempatnya mencari rezeki, jalannya agak gelap kerana kurangnya tiang lampu selain dikelilingi hutan yang agak menyeramkam dan kolam bekas lombong biji timah terutama pada waktu tengah malam.

Kenderaan tidak banyak melalui jalan itu pada waktu malam selain banyak kedai yang ditutup kerana kebanyakan penduduknya tidur awal. Ironi, Mambang Diawan ialah pekan kecil yang dahulunya dikenali Batang Tonggang.

Lelaki berketurunan Jawa yang peramah dan suka membantu orang ini biasanya akan bekerja syif siang seminggu dan syif malam pada minggu seterusnya. Dia bercuti setiap Jumaat.

“Rutin bekerja seperti biasa. Alhamdulillah aku masih menjaga solat selain sejak mula ‘baligh’ dan jika ada duit lebih akan berikan kepada ibu bapa dan setiap kali gaji akan belanja mereka makan di restoran.

“Duit banyak mana pun habis jadi mengapa kita belanjakan kepada perkara yang tidak perlu,” ujarnya.

Penulis mengenali Ismail sejak dia berusia 20 tahun lagi dan dia memang dikenali sebagai seorang pemuda yang ringan tulang dan suka membantu sesiapa sahaja tanpa mengharapkan sebarang balasan. Dia masih belum berkahwin kerana takut tidak dapat memberikan yang terbaik kepada bakal isterinya dan keluarganya.

“Tipu aku tidak ingin berkahwin tetapi gaji aku tidaklah sebanyak mana untuk tanggung anak orang jadi tunggulah dulu bila dah cukup bajet nanti, jika engkau nak ‘sponsor’ aku ‘on’ sahaja,” katanya sambil ketawa.

Namun, lelaki yang kerap menunaikan solat fardu secara jemaah di surau dan masjid ini sekiranya berkesempatan ini sering bermimpi bertemu dengan mambang (bidadari) yang mengajaknya berkahwin dan menetap bersamanya di alam bunian.

“Bidadari itu merupakan seorang wanita yang cantik rupawan, berkulit amat putih dan mempunyai rambut ikal mayang. Dia berkata masih bujang dan bernama Seri ingin mengambil aku sebagai suami kerana dia kata aku baik, tidak tinggal solat dan mesra dengan ramai orang.

“Aku kata bukan seorang yang kaya dan tidak berduit pula tetapi Seri tetap ingin menjadikan aku sebagai suami dan mengajak tinggal bersama. Dia kata aku tidak perlu keluar belanja kerana semuanya disediakan.

“Kata Seri ketuanya akan memilih pemuda baik dari alam nyata untuk dijadikan suami kepada gadis di kampung dan hidup bersama sehingga meninggal dunia,” katanya.

Ismail bertanya kepada Seri sekiranya dia berkahwin dengan Seri adakah dia tidak boleh kembali ke alam nyata lagi dan bagaimana untuk menyara anak-anak sekiranya mereka dikurniakan zuriat.

“Seri berkata semua tu tidak menjadi masalah kerana mereka juga seperti manusia bekerja dengan mempunyai ladang pertanian, penternakan dan kenderaan sendiri. Malah mereka ada gunakan duit sendiri dan amalkan sistem barter dalam kehidupan seharian cuma syarat utamanya ialah tidak boleh pulang kembali ke alam bumi,” katanya.

Bagaimanapun, Ismail menganggap pertemuan dengan Seri itu hanya sekadar mainan tidur dan bukan satu perkara yang nyata hanya fatamorgana.

“Namun, aku kerap bermimpi dengan Seri yang sering merayu untuk berkahwin dengan aku. Serba salah jadinya dan aku pun menceritakan perkara itu kepada emak. Emak berkata tolak pelawaan Seri dengan baik dan memang itu yang aku buat tetapi dia masih tidak ingin menerimanya.

“Kata emak satu hari nanti pasti Seri akan berjumpa denganku nanti untuk mendapat kepastian tetapi itu perkara yang mustahil kerana dunia kami yang berbeza,” katanya.

Namun, satu hari, Ismail menjalani rutin seperti biasa iaitu bekerja syif malam namun dia pulang agak lewat iaitu pada pukul 12 tengah malam.

“Aku kena ot pada malam itu jadi layankan sahajalah kerana boleh dapat duit lebih. Semasa menunggang motosikal aku perlu melalui jalan gelap dan mempunyai banyak pokok hutan.

“Secara tiba-tiba, enjin motosikal aku tiba-tiba mati sebelum meletakkan kenderaan itu ditepi jalan untuk menelefon kawan untuk mengambil pulang ke rumah. Secara tiba-tiba aku ternampak bidarari cantik yang keluar kawasan hutan yang gelap seperti di awan-awangan keluar menuju ke arah aku.

“Aku terkesima dan dia memperkenalkan diri sebagai Seri. Suasana pada masa itu amat dingin sekali walaupun tidak hujan selain amat wangi sekali biarpun tahi lembu dan kerbau ada merata-rata,” katanya.

Katanya, bidadari yang sungguh cantik itu masih mempelawanya untuk berkahwin dengannya dan berharap pelawaan itu dapat dipenuhi.

“Namun, aku terpaksa menolaknya kerana lebih suka menetap di alam nyata berbanding bunian. Seri menerimanya namun berharap aku terus dengan peribadi sebegini dan terus membuat hubungan baik dengan manusia.

“Peliknya, Seri beritahu dalam beberapa hari nanti aku akan mendapat satu khabar gembira yang tidak diduga. Aku hanya tersenyum sebelum rakanku sampai untuk mengambilku untuk pulang ke rumah.

“Rupa-rupanya apa yang dikatakan Seri itu benar-benar berlaku kerana emak telah menerima tanah warisan seluas lima ekar milik arwah bapanya yang baru meninggal beberapa bulan lalu di Tanjung Malim. Harga tanah itu dianggarkan ratusan ribu ringgit.

“Emak tukarkan geran tanah itu kepada aku kerana satu-satunya zuriatnya selain persediaan awal kerana umurnya yang lanjut. Aku bersyukur dan berfikir adakah Seri hanya hadir sebagai ujian untuk menguji perlakuanku supaya terus konsisten dan istiqamah dan tidak dibuai serta alpa dengan kemewahan pada masa depan,” katanya.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Imej janaan AI

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!