
Oleh GHAZALI ALIAS
SELEPAS tamat pengajian, Bella (bukan nama sebenar) terus memutuskan untuk mencari pekerjaan untuk membantu meringankan beban keluarga.
Menangguhkan hasrat untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah, gadis asal Ipoh, Perak itu berhijrah ke Kuala Lumpur dan menetap di rumah ibu saudaranya yang masih bujang.

Bagaimanapun, usahanya untuk mencari pekerjaan masih belum berhasil, meskipun dia sudah menghantar banyak permohonan jawatan kosong.
“Selama tiga bulan saya menetap di rumah mak su (ibu saudara) tetapi masih tiada rezeki hingga saya nekad untuk menerima apa-apa sahaja pekerjaan dengan kelayakan yang lebih rendah.

Hingga pada suatu hari, seorang kenalan mengajak saya untuk bekerja di restoran milik bapa saudaranya, yang ketika itu mencari seorang pelayan dan juruwang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad, baru-baru ini.
Tambahnya, walaupun gajinya tidak besar, sedikit sebanyak dia lega kerana pekerjaan itu dapat membiaya dirinya untuk hidup di ibu kota.
Semasa awal-awal bekerja di sana, Bella tidak pernah merasakan apa-apa yang pelik, malah dia juga sangat sibuk kerana ramai pelanggan yang datang setiap hari.

Namun, selang beberapa bulan, dia mula merasakan sesuatu yang aneh, tambahan selepas dia sering pulang lewat kerana diberikan amanah untuk menyiapkan laporan jualan selepas kedai tutup.
“Kejadian pertama yang saya alami adalah semasa tinggal sendiri selepas kedai tutup, ketika itu rakan-rakan lain sudah pulang dan majikan tidak datang untuk mengambil wang jualan harian.

“Ketika saya sedang membuat laporan jualan, saya terdengar seperti ada orang memasak di dapur, awalnya saya fikir ada rakan kerja yang belum pulang tetapi selepas menjenguk, tiada sesiapa di sana.
“Begitu juga di bahagian hadapan, ada seolah orang menarik kerusi, ketika itu saya sudah merinding, namun kerana mahu siapkan laporan, saya abaikan,” ujarnya.
Kongsinya lagi, perkara itu kerap berulang terutama ketika dia tinggal sendiri pada waktu malam.

Bella ada bercerita dengan rakan sekerja dan majikannya tentang perkara itu, namun mereka hanya tertawa dan mengatakan itu mungkin perasaan dia sahaja.
Bagaimanapun, pada suatu hari keadaan menjadi lebih teruk dan menyeramkan apabila Bella sudah mula melihat ada kelibat orang yang memerhatikan dia dari jauh.
Katanya, pernah suatu hari, dia sudah siap membuat laporan, dia ternampak ada satu lembaga di dapur.

“Merinding saya ketika itu, manakan tidak tiada sesiapa selain saya di kedai pada waktu itu.
Dengan cemas saya terus keluar serta mengunci pintu, namun ketika dalam perjalanan ke stesen bas untuk menunggu grab, saya cuba menoleh ke arah kedai dan melihat kelibat lembaga itu di tingkap kaca,” kongsinya.

Jelasnya lagi, dia tidak dapat melihat jelas bagaimana sosok lembaga itu dengan jelas, namun apa yang membuatnya takut dia melihat seolah matanya merah.
Sejak hal itu, Bella tidak berani untuk pulang lewat dan akan meminta rakannya untuk menemaninya setiap kali dia ditugaskan menyiapkan laporan jualan.

Sejak ditemani rakan, Bella tidak lagi mengalami kejadian aneh, namun perkara itu sekali lagi terjadi ketika dia terpaksa tinggal sendiri kerana rakannya mempunyai kecemasan.

Kali ini, dia bukan hanya melihat lembaga itu dari jauh, malah di dapat melihat jelas sosok makhluk itu.
“Kejadian ini memang tidak dapat saya lupakan, sosok makhluk itu kelihatan persis majikan saya, tetapi matanya merah.

“Ekoran kejadian itu, saya mengalami demam panas dan selepas sembuh saya terus berhenti kerja dan pulang ke kampung halaman,” ujarnya.
Kongsinya lagi, dia tekad tidak mahu bekerja di sana kerana semasa demam dia di bawa berubat dengan seorang orang alim kerana penyakitnya itu tidak kebah walaupun sudah ke pelbagai klinik.

Katanya, orang alim itu memberitahu bahawa dia ‘keteguran’ oleh hantu raya yang mana dipercayai sudah lama ditempatkan di kedai tersebut.
Katanya, makhluk itu bertuan dan kemungkinan ia milik empunya kedai kerana kebiasaannya ada orang membela hantu raya untuk menjaga kedai dan juga sebagai pelaris.
Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad bertarikh 10 September 2023. Imej janaan AI
