MMToon

DUA MINGGU RUMAH PUSAKA DIGANGGU PENDAMPING

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
KEMATIAN pasti akan dihadapi oleh setiap makhluk yang bernyawa, tidak lewat atau cepat sesaat jika sudah tiba masanya. Walaupun ada hartawan yang sanggup berhabis wanguntuk memastikan kesihatannya kekal, namun sebagai seorang

Muslim, kita perlu menerima qada dan qadar sudah tertulis di Loh Mahfuz.

Kisah mitos kali ini bukan berniat memburukkan sesiapa, tetapi untuk dijadikan pedoman dan iktibar dalam kehidupan seharian.

Peristiwa yang berlaku 10 tahun lalu ini diceritakan oleh seorang usahawan dari Kuala Selangor yang ingin dikenal sebagai Sharif Alang, 52.

Menurut Sharif, peristiwa menyeramkan yang ingin diceritakan melibatkan keluarga terdekat yang meninggal secara mengejut.

Kematian Pak Long Mat memang menjadi topik hangat dalam keluarga dan orang kampung kerana dia kuat bekerja dan sihat, walaupun sudah masuk ‘enam siri’ atau lebih 60 tahun.

“Dia meninggal di rumahnya pada waktu pagi selepas sarapan. Memang kecoh apabila dia tiba-tiba rebah,” katanya.

Sharif berkata, anak sulung arwah tidak mahu membuat ‘post-mortem’ untuk mengetahui punca kematian Pak Long Mat atas alasan mayat akan terseksa.

Katanya lagi, kekecohan berlaku dalam keluarga mereka sehingga urusan pengkebumian jenazah tertangguh selama beberapa jam. “Urusan mandi jenazah hingga ke kubur turut mengambil masa kerana tubuh arwah menjadi berat.

Sebelum ini, perkara tersebut saya saksikan dalam drama, tetapi kali ini saya lihat sendiri peristiwa aneh itu,” katanya.
Sharif memberitahu, proses pengebumian yang kelam-kabut kerana hujan lebat dan liang lahat penuhi air seolah-olah memberi petanda buruk.

Jelasnya lagi, setelah urusan pengebumian selesai, semua yang hadir pulang termasuk anggota keluarga Pak Long Mat.
“Malam pertama selepas kematian Pak Long Mat, gangguan bermula di rumah pusaka miliknya.

Mak Long Semah dan anak-anaknya seramai lima orang dan cucu lebih 10 orang tidur dalam kepenatan, sebelum dikejutkan dengan ketukan pintu rumah bertalu-talu.

“Ketukan kuat pada pukul 12 tengah malam itu menyebabkan semua yang ada dalam rumah terjaga. Apabila pintu rumah dibuka, tiada siapa di depan rumah tersebut,” katanya.

Sharif memberitahu, selang sejam dari ketukan pertama, pintu rumah pusaka tersebut diketuk dengan lebih kuat lagi.

Namun kali ini, anak sulung Pak Long Mat mencapai golok milik arwah bapanya untuk digunakan, jika makhluk yang berada di luar rumah menyerang.

“Malangnya, tiada siapa pun di luar pintu. Keadaan ini menimbulkan perasaan takut dan amarah kepada semua anak, cucu Pak Long Mat.

“Mak Long Semah menceritakan kepada saya, semua anak dan cucunya bergilir-gilir berjaga kerana bimbang ketukan misteri berulang kembali,” ujarnya.

Keesokan harinya, Mak Long Semah dan anak sulungnya berjumpa orang tua yang arif dalam ilmu perubatan tradisional untuk mengadu tentang peristiwa seram tersebut.

Orang tua itu berkata, peristiwa mistik tersebut berpunca daripada amalan Pak Long Mat yang terpesong daripada ajaran Islam.

Makhluk pendamping tersebut yang mengganggu, bukannya roh balik rumah tengok keluarga kata orang tua itu (yang juga telah meninggal dunia).

“Pak cik tua itu berkata, gangguan akan berlaku selama dua minggu, maka bersabarlah. Itu saja yang mampu dilakukan oleh keluarga malang tersebut,” katanya.

Cerita Sharif lagi, orang tua berpengalaman itu berkata, pendamping atau disebut pengapit memang perkara syirik menyekutukan Allah.

Orang tua tersebut berkata, bagi memastikan keluarga Pak Long Mat tidak menjadi ‘mangsa’ gangguan hingga memudaratkan diri, mereka dinasihatkan untuk membaca al-Quran dan sentiasa beribadat.

“Bagi memastikan ketukan tidak muncul pada waktu tengah malam, orang kampung turut membuat rondaan dan berjaga sepanjang tempoh dua minggu tersebut.

Jelas Sharif, Gangguan tersebut berlaku selepas waktu Isyak hingga tengah malam beberapa kali dalam masa dua minggu itu.

Mak Long Semah yang tidak tahan dengan keadaan menyeramkan itu pernah menjerit memarahi makhluk yang berjalan di atas atap tersebut.

“Kata Mak Long Semah, kalau kamu hendak berlari ke sana sini buatlah, tetapi jangan kacau anak cucu aku.

“Apabila dijerit oleh Mak Long Semah, makhluk yang entah bagaimana rupanya itu, pandai pula berhenti berlari. Memang gangguan itu merunsingkannya,” katanya.

Peristiwa mistik yang berlaku mengingatkan Sharif kepada pengalaman dirinya ketika bapa saudaranya itu masih bernafas.
Jelas Sharif, memang kuat bekerja di kebun tanpa pertolongan Mak Long Semah atau anak-anaknya.

“Kebun sayur dan dusun duriannya sentiasa bersih. Pokok-pokok yang ditebang tidak memerlukan bantuan mesin, jentolak atau jengkaut.

“Ada juga saya dengar cerita budak kampung nampak dia mencabut tunggul pokok dengan tangannya,” katanya.
Tambahnya, kisah tersebut wajar dijadikan pengajaran dan bukannya menjadi cerita sensasi kedai kopi semata-mata.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. – Ilustrasi janaan AI

 

 

 

 

 

 

 

 

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!