MMToon

ENTITI WANITA HODOH BERAMBUT PANJANG

 

Oleh SAIRUL ZAMRI MISRANI

MUNGKIN sebelum ini anda pernah membaca mengenai kisah entiti atau lembaga yang ‘menumpang’ dalam gambar yang diambil.

 

Perkara tersebut juga tidak sangka dialami dan dilalui sendiri Mia (bukan nama sebenar) dalam foto keluarga ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

Perkongsiannya dalam laman sosial Facebook miliknya turut mendapat perhatian pengikut dan rakan platform maya tersebut.

“Sumpah seram dan kami baru perasan. Sebelum ini bila tengok memang tak pernah perasan.

 

“Belek punya belek semula gambar dalam telefon bimbit, tak sangka kelibat wanita berambut panjang dengan wajah hodoh hitam legam bertenggek di belakang badan saya,” katanya seram.

Menurut Mia lagi, menjadi kebiasaan dia dan adik beradik lain termasuk keluarganya besarnya untuk pulang ke kampung di Alor Gajah, Melaka untuk beraya bersama.

 

Katanya, rumah kampung tersebut merupakan peninggalan pusaka Allahyarham datuk dan neneknya yang sudah lama meninggal dunia dan kini didiami salah seorang ibu saudaranya.

“Biasalah pagi raya mesti ada sesi bersalaman dan bermaafan. Dalam gambar itu, saya sedang bersalaman dengan mak. Tiada apa yang pelik pun terjadi masa itu.

 

“Tapi bila berulang kali tengok foto tersebut, bukan main terkejut dan menjerit kami adik beradik bersama saudara lain.

 

Bayangkan dalam salah satu gambar saya sedang bersalaman dengan mak, di belakang badan saya ada seorang perempuan berambut panjang dengan berbaju sedikit putih lusuh bertenggek turut melihat kamera.

 

“Sempat juga saya dan adik beradik lain bertanya siapa gerangan yang menempel di belakang saya itu.

 

“Setahu kami adik beradik dan saudara lain tidak ada yang berambut panjang melebihi paras bahu. Kalau ada yang tak bertudung pun, rambut mereka tak panjang sebegitu,” ujarnya.

 

Membuatkan perkara tersebut bertambah pelik dan tertanya-tanya, tegas Mia tiada seorang pun ahli keluarga besarnya yang memakai baju raya berwarna putih pada kali ini.

 

Tambah Mia, sebagai bukti gambar tersebut bukan rekaan atau suntingan, dia turut memaparkan gambar dari sudut belakang ketika dia sedang bersalaman, yang diambil oleh sepupunya yang lain.

“Saya beritahu pasal gambar aneh tu pada ayah dan sepupu. Ayah saya tak cakap apa-apa walaupun dia memang boleh nampak ‘benda-benda’ itu. Dia kata tak ada apalah. Mungkin ada yang nak tumpang lalu.

 

“Sementara tu, sepupu-sepupu lain semua rasa seram. Kepala ‘dia’ macam terbenam, hanya nampak suku je.

 

“Sebelum ini pernah tengok berita pasal gambar yang ‘ditumpang’ makhluk misteri, tak sangka jadi dekat keluarga kami pula,” ujarnya yang berusia 28 tahun.

Beritahu Mia, rumah pusaka peninggalan arwah datuk dan neneknya itu memang agak seram dan ada cerita tersendiri memandangkan kedua-dua mereka merupakan dukun dan pandai mengubat orang.

 

“Dulu masa kecil, sepupu pernah tinggal di rumah ini dengan datuk dan nenek.

“Dia cerita, selalu sangat nampak makhluk seram seperti pocong dan pontianak. Disebabkan itu, datuk dan nenek ‘pagarkan’ rumah ini,” katanya yang mengakui kali pertama berdepan pengalaman seram.

 

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad bertarikh 29 Mei 2023. Imej janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!