MMToon

GADIS NAMPAK KELIBAT KELUARGA BUNIAN DI ASRAMA

Oleh RIZAM ZAKARIYA

KISAH mengenai alam bunian bukanlah satu perkara asing dalam kalangan masyarakat Melayu di negara ini.

Malah, alam bunian sering kali dikaitkan dengan kejadian mistik terutamanya apabila berlaku kejadian orang hilang di kawasan hutan.

Walaupun perkara itu sukar dibuktikan secara saintifik, namun sebagai seorang Muslim yang berpegang teguh terhadap ajaran Islam, Azura (bukan nama sebenar) tetap mempercayai kewujudan makhluk halus tersebut.

Malah, kepercayaannya semakin kuat apabila dia sendiri berhadapan dengan situasi pernah ‘diganggu’ dengan keluarga bunian.

Membuka cerita, dia yang kini bertugas dalam sektor awam di Putrajaya berkata, kejadian tersebut berlaku ketika diamenuntut di sebuah universiti swasta di Batang Berjuntai, Selangor kira-kira 15 tahun lalu.

“Ketika itu, saya baru mendaftar sebagai pelajar di universiti berkenaan. Sebagai pelajar baharu, saya diberikan keutamaan untuk menginap di asrama.

“Di universiti berkenaan, blok asrama pelajar merupakan bangunan pangsapuri empat tingkat dengan setiap unit mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“Saya ditempatkan bersama lima lagi rakan yang juga pelajar baharu. kami datang daripada bidang pengajian berbeza,” katanya.

Menurut Azura, sepanjang tiga bulan pertama berada di asrama, tiada sebarang kejadian aneh berlaku sehinggalah terjadi perkara pelik ketika minggu peperiksaan hujung semester.

“Pada suatu malam, saya terjaga awal iaitu kira-kira pukul 1 pagi kerana dengar bunyi seakan-akan kerusi meja makan ditarik sorong beberapa kali.

“Selain itu, saya ada dengar suara seakan-akan orang sedang berborak, selain bunyi sudu dan pinggan berlaga seolah-olah ada orang sedang menikmati hidangan.

“Dari celah pintu bilik, saya dapat lihat bayang orang mundar-mandir dari ruang tamu ke dapur beberapa kali, selain turut mendengar bunyi seakan-akan ada orang membasuh pinggan.

“Pada sangkaan saya, mungkin ada rakan serumah menggunakan meja makan untuk mengulang kaji pelajaran sambil makan, jadi saya sambung semula tidur,” katanya.

Menurutnya lagi, perkara itu berlarutan selama beberapa hari, sekali gus menyebabkan dia mula bertanya kepada rakan-rakannya mengenai perkara itu.

Namun apa yang menghairankan, semua rakan serumahnya mengulang kaji pada awal malam selepas solat isyak dan hanya bangun pada waktu subuh untuk solat.

Disebabkan itu, perasaan takut mula menyelubunginya, selain fikiran semakin tidak tenteram kerana memikirkan perkara bukan-bukan.

Paling menakutkan apabila ada dengar seakan-akan kanak-kanak bermain, selain beberapa orang mengalunkan bacaan al-Quran.

“Apa yang menghairankan, hanya saya menyedari kejadian aneh tersebut. Jadi, saya ambil keputusan untuk tidak menceritakan kejadian yang berlaku kepada rakan-rakan serumah kerana tidak mahu mereka ketakutan.

“Sebaik tamat minggu peperiksaan, saya terus ambil keputusan untuk pulang ke kampung dan menceritakan kejadian yang berlaku kepada ibu bapa,” katanya.

Ibu bapa terus membawa saya berjumpa dengan seorang ustaz yang memang terkenal dengan kebolehan menyelesaikan masalah berkaitan gangguan makhluk halus.

Menurut ustaz berkenaan, kejadian yang berlaku itu disebabkan oleh kehadiran orang bunian yang menghuni beberapa rumah di blok asrama terbabit termasuk rumah yang didiaminya.

Jelas ustaz tersebut lagi, orang bunian tersebut merupakan makhluk beragama Islam dan mereka mendiami asrama itu disebabkan rumah asal mereka di kawasan berkenaan, namun telah dirobohkan ketika projek pembinaan universiti berkenaan.

Kata ustaz, bunyi orang membaca al-Quran itu merupakan ‘ahli keluarga’ bunian yang tinggal di asrama tersebut.

“Manakala bunyi pinggan mangkuk dan sudu pula disebabkan mereka sedang menjamu selera.

“Bagaimanapun kata ustaz berkenaan, orang bunian tersebut sudah berjanji atas nama Allah SWT bahawa mereka tidak akan mengganggu mana-mana penghuni asrama.

“Malah, mereka hanya ingin menumpang di situ kerana tapak asrama tersebut merupakan perkampungan asal mereka,” katanya.

Mendengar penjelasan tersebut, Azura menjadi semakin tenang dan yakin tiada kejadian menyeramkan akan berlaku disebabkan orang bunian tersebut juga merupakan makhluk seagama dan berpegang pada janji.

Sejak itu, dia hanya mendiamkan diri setiap kali terdengar bunyi pelik pada waktu malam di asramanya sehinggalah dia berpindah ke rumah sewa pada semester ketiga pengajiannya.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!