
Oleh FADILA AWALUDIN
PELUANG menyambung pengajian di universiti bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga, tetapi turut meninggalkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Saleha.
Mengimbau kenangan tujuh tahun lalu, Saleha yang kini bekerja di ibu kota mengakui tidak dapat melupakan kejadian seram dialaminya ketika menuntut di salah sebuah pusat pengajian tinggi di utara tanah air.

Menurut wanita berusia 27 tahun itu, segalanya bermula apabila menjadi penghuni salah satu bangunan asrama yang sebelumnya dibiarkan kosong disebabkan urusan baik pulih.

“Awalnya tiada sebarang kejadian aneh sehingga masuk minggu keempat di asrama. Waktu itu mula pelbagai kejadian seperti bunyi seperti ada suara kanak-kanak ketawa dan waktu malam pula tiba-tiba bau wangi muncul sementara setiap pukul 12 tengah malam pasti terdengar bunyi seperti batu yang dibaling pada tingkap.

Awalnya saya tidak fikir apa-apa sehinggalah rakan sebilik bernama Noor menceritakan pengalamannya diganggu ketika sedang berada di tandas. Ceritanya, rakan sebilik saya melihat seperti ada wanita berambut panjang sedang menyisir rambut berhampiran dengan singki.
“Dalam keadaan cahaya yang samar-samar, dia tidak dapat melihat wajah wanita itu. Kemudian wanita itu perlahan-lahan berpaling kepadanya dan alangkah terkejut apabila melihat wanita itu tidak memiliki muka dan berwarna putih. Disebabkan takut dia terus berlari ke bilik rakannya,” katanya memulakan bicara.
Saleha memberitahu, pada malam kejadian dia tiada di bilik kerana terpaksa pulang ke kampung disebabkan ada kematian ahli keluarga. Selepas mendengarkan cerita rakan biliknya, Saleha mula tidak senang hati jika tinggal bersendirian di dalam bilik.
Disebabkan itu setiap malam Saleha akan memastikan Noor ada di bilik sebelum maghrib. Bagaimanapun pada suatu malam, Saleha cuba menghubungi Noor beberapa kali, namun tiada jawapan.

Saya mula rasa gelisah kerana sudah hampir pukul 10 malam, tetapi Noor masih belum ada di bilik. Waktu saya ingin keluar untuk bertanyakan kepada rakan-rakannya, tiba-tiba Noor muncul di pintu. Saya pun bertanyakan mengapa balik lambat, tetapi Noor tiada menjawab. Sebalik dia diam membisu tanpa memberikan sebarang reaksi dan terus duduk di bangku meja belajar.

“Saya fikir Noor penat jadi saya biarkan saja. Saya kemudian meminta Noor tutup lampu jika dia sudah bersedia untuk tidur kerana saya ingin tidur dahulu. Ketika saya sedang berbaring di katil, Noor kemudian bangun dan duduk perlahan-lahan di katilnya sambil matanya tajam merenung ke arah saya.

“Saya bertanya kepada Noor, tetapi dia tidak menjawab sebalik tersenyum kemudian ketawa sehingga mengeluarkan suara seperti pontianak mengilai. Disebabkan takut saya terus berlari dan keluar bilik dan cuba pergi ke bilik sebelah.

“Tetapi, alangkah terkejut apabila saya melihat Noor sedang berjalan di koridor bersama dua tiga rakannya. Saya pun cepat-cepat pergi ke arah Noor menceritakan kejadian itu dan meminta beberapa orang rakan penghuni asrama lain untuk turut melihat makhluk apa yang ada di dalam bilik itu,” katanya.

Makhluk yang menyerupai Noor itu hilang, tetapi yang ada cuma bau busuk seperti bangkai sehingga menyebabkan Saleha dan Noor tidak boleh tidur di bilik mereka.

Keesokan pula, Saleha dan Noor membuat aduan kepada warden asrama, tetapi anehnya bau busuk itu sudah tiada. Apabila warden memeriksa keadaan bilik, alahkah terkejutkan apabila mereka menjumpai bangkai tikus yang sudah mereput.

“Saya tidak tahu bagaimana perkara itu berlaku kerana sebelum ini kami tidak pernah mengalami sebarang bau busuk atau melihat tikus berkeliaran. Kemudian sebelah malam pula kami diganggu bau busuk dan kehadiran serangga yang mengeluarkan bunyi yang sangat bising.

Kemudian warden datang kerana mendengar bunyi bising dan membantu untuk membuang serangga yang dikatakan belalang pelesit. Dalam keadaan kecoh itu, ada seorang pelajar yang tiba-tiba berteriak sambil tangannya menunjuk ke arah tingkap.

“Saya pun melihat ke arah tingkat dan mendapati ada wanita dengan wajahnya yang hitam seperti kesan terbakar, berambut panjang sementara matanya berwarna merah merenung tajam ke arah saya sambil tersenyum,” katanya yang kemudian pengsan tidak sedarkan diri.

Sebaik saja sedar, Saleha telah dibawa pulang ke rumahnya oleh keluarga dan diminta untuk dirawat secara perubatan Islam.
“Katanya saya lemah semangat, sebab itu pengsan. Saya juga dapat tahu pada malam kejadian berlaku kejadian histeria beramai-ramai dan salah seorangnya ialah Noor.

Syukur seminggu selepas kejadian, saya dan Noor pulang akhirnya semula ke asrama. Disebabkan bimbang kejadian sama berulang, warden menasihatkan agar bilik kami itu dikosongkan dan berpindah ke bilik lain.
“Selepas itu kami tidak lagi mengalami hal misteri dan bilik itu dibiarkan kosong. Apa yang saya tahu, khabarnya bilik itu masih dibiarkan tanpa penghuni sehingga ke hari ini,” katanya.
