
Oleh SAIRUL ZAMRI MISRANI
PERCUTIAN bersama keluarga mahupun rakan-rakan pasti menjadi satu momen yang akan dikenang sampai bila-bila.
Pun begitu, pengalaman seram atau misteri yang berlaku sepanjang percutian terutamanya dalam bilik hotel boleh membuatkan ‘mood’ bercuti hilang.

Itulah apa yang dialami oleh Nadia (bukan nama sebenar) ketika bercuti bersama dua rakan baiknya di sebuah pulau terkenal di Terengganu baru-baru ini.
Beritahu wanita berusia 30 tahun itu, bilik hotel tersebut telah ditempah tiga bulan awal selepas melihat ulasan positif daripada pengunjung sebelum ini.

Katanya, dia memilih hotel tersebut kerana lokasinya dekat dengan pantai dan pelbagai tarikan lain seperti kedai makan.
“Sebelum ini saya pernah sekali ke pulau tersebut bersama keluarga sekitar lima tahun lalu, namun menetap di hotel berbeza.
“Cuma kali ini, saya dan rakan-rakan sepakat untuk duduk di hotel ini. Lagipun harga untuk tiga hari dua malam adalah sangat berpatutan,” katanya.

Meneruskan cerita, Nadia memberitahu, saat masuk ke bilik hotel berkenaan, dia dan rakan-rakannya berasa seperti tidak sedap hati.
Katanya, keadaan bilik yang sedikit gelap membuatkan mereka bertiga memandang antara satu sama lain.

“Saat kami melangkah masuk ke bilik, perasaan suram dan seram itu tiba-tiba hadir. Kami memandang antara satu sama lain.
“Disebabkan letih menempuh perjalanan agak jauh dari ibu kota, kami bertiga tertidur selepas waktu asar sehingga pukul 7 malam,” katanya.

Pada malam itu, dia dan rakan-rakan keluar berjalan di Kawasan pantai untuk menikmati makan malam dan melihat pertunjukan api.
Lebih kurang pukul 11.30 malam, dia dan rakan-rakan pulang ke bilik hotel untuk menonton televisyen sambil berbual.

“Tepat pukul 12.30 tengah malam, saya masih tidak mengantuk kerana mungkin sudah tidur di sebelah petang.
“Dua lagi rakan sudah tidur di katil yang sama. Saya pula tidur seorang di atas katil yang berdekatan dengan tandas.

“Sambil melihat telefon pintar, tiba-tiba saya terdengar bunyi seakan-akan plastik sampah dari bilik air.
“Pintu bilik air itu dekat dengan saya. Lama juga saya dengar bunyi itu dan perasaan seram semakin kuat. Saya rasa semakin lama ia makin kuat.
“Ketika itu, memang rasa hendak jerit dan kejutkan rakan-rakan saya,” katanya.

Meneruskan cerita, Nadia memberitahu, dia tidak dapat tidur sehingga ke pukul 3 pagi. Dia cuba untuk tidur, namun seakan-akan ‘diganggu’ dengan bunyi menyeramkan itu.
Memberanikan diri, Nadia tangkas bangun dan masuk ke dalam tandas untuk melihat apa yang berlaku tanpa membuka lampu.

Alangkah terkejutnya saat membuka pintu, dia ternampak susuk hitam berambut panjang dengan mata merah membara.
Wajah lembaga itu betul-betul di hadapan tong sampah dan sedang makan sampah di dalamnya.

“Saat itu saya rasa hampir hendak pengsan apabila melihat lembaga hitam itu. Apa yang saya nampak, ‘dia’ sedang makan tuala wanita.
“Saya menjerit sekuat hati kerana trauma dengan apa yang terjadi. Rakan-rakan juga tersedar dan bertanyakan perkara yang terjadi.

“Ketika itu saya hanya menuding jari ke arah tandas dan rakan-rakan terus membuka lampu. Ketika masuk ke tandas, mereka lihat sampah-sarap berterabur dan bersepah,” katanya.
Beritahu Nadia lagi, keesokan harinya, dia dan rakan-rakan terus ke kaunter pendaftaran hotel untuk menukar ke bilik lain.

“Menerusi cakap-cakap pekerja pembersihan di hotel tersebut, bilik tempat kami menginap itu memang berpuaka. Kejadian sama juga pernah berlaku beberapa kali sebelum ini kepada penginap lain,” ujarnya.
